Kabaret merupakan game visual novel yang dihasilkan oleh pembangun tempatan, Persona Theory Games. Ia menceritakan tentang seorang lelaki yang bertukar menjadi raksasa dan beberapa raksasa lain yang terkenal dalam mitos Asia Tenggara. Bunyi menarik betul tidak? Nak tahu lebih lanjut, teruskan membaca review kami untuk Kabaret.
Plot
Anda akan dikenalkan kepada Jebat. Dia bekerja sebagai pemandu penghantaran yang tinggal bersama ibunya yang sakit, yang nampaknya percaya bahawa dia merupakan seorang messiah. Selain daripada itu, tiada benda penting baginya, tiada hobi, rakan mahupun cita-cita. Selepas satu pergaduhan, dia mendapati bahawa ibunya telah membunuh diri. Berasa kecewa, dia melarikan diri untuk melakukan penghantaran lain sebelum menyaksikan jenayah dan diserang oleh makhluk seperti burung.

Apabila dia sedar, dia terapung di sungai dan perasan dia bukan lagi manusia. Kelihatan seperti ular, Jebat dirawat oleh seorang lelaki bertopeng bernama The Caretaker yang membawanya ke The Kabaret, tempat di mana raksasa hidup dengan selamat. Di situ, dia diberi tugas sebagai Tea Master, menghidangkan teh kepada “penghuni” dan mendengar masalah dan kekesalan mereka, seperti seorang pelayan bar mistik yang menyajikan cocktail.
Walau bagaimanapun, lebih banyak kuasa jahat sedang bekerja. Dengan kekurangan makanan, penduduk mula merusuh terhadap The Caretaker. Tidak lama lagi akan diadakan pilihan raya untuk menentukan siapa yang akan menjadi pemimpin baru Kabaret dan bergantung kepada pilihan yang dibuat Jebat, nasib kediaman aneh itu boleh berubah selama-lamanya.

Makhluk mitos Asia Tenggara
Antara benda yang kami suka tentang Kabaret ialah gaya seni seperti batik dan kulit wayang. Ia membuatkannya kelihatan unik malah suasana kelihatan seram. Dengan pelbagai makhluk yang diperkenalkan, kita akan mengetahui mengenai rahsia dan agenda mereka. Kadang-kadang ia membuatkan kami takut dan fikir jika kita akan masih hidup pada pengakhirannya.

Lebih banyak anda bercakap dengan raksasa ini, kita mengetahui bahawa setiap daripada mereka dahulunya manusia dan apabila mendengar penyesalan masa lalu mereka, anda akan bersimpati kepada mereka. Pelbagai jenis makhluk yang anda oleh temui dalam game ini. Contohnya Ekek, Pontianak, Tikbalang, Nabau, Kuman Thong dan banyak lagi! Oh ya, ada sedikit elemen “romance” dalam game ini, jadi kalau nak tahu, kenalah main nanti.

Gameplay
Memandangkan Kabaret cuma game visual novel, tidak begitu banyak gameplaynya selain daripada tekan untuk ke dialog seterusnya. Tetapi ada beberapa mini game yang anda boleh mainkan. Lebih menarik sekali, game mini ini semua berdasarkan permainan tradisional Asia Tenggara.

Kami seronok betul semasa bermain congkak dan persembahan tarian. Kedua-duanya mudah dimainkan dan mempunyai sedikit cabaran. Kalau anda kalah, plot masih lagi diteruskan cuma ada beberapa akibat yang anda kena hadapi. Tetapi permainan Guli agak susah untuk kami mainkan, sampai ada seorang mati kerana kami tidak pandai bermain Guli.
Mengenai persembahan, anda bertindak sebagai stagehand, anda juga mendapat peluang untuk mendengar muzik vokal yang sangat menarik. Semuanya dirakam menggunakan alat muzik tradisional Asia Tenggara. Kalau anda ingin tahu, ia dihasilkan oleh band Indonesia, Sambasunda, dan komposer Malaysia, Tay Cher Siang.

Sedikit komen
Game semuanya lancar dan kami sukakannya tetapi ada sesuatu yang kami tidak berpuas hati, iaitu ketiadaan manual save dalam game. Yang ada hanyalah ciri auto-save. Kebanyakan game visual novel yang kami main, pasti ada manual save. Jadi mudah untuk kita kembali semula ke save yang lalu sebelum membuat keputusan lain. Kadang-kadang kami was-was jika game itu sudah save ataupun belum kerana tiada penunjuk mengenai save file.

Pendapat
Kabaret merupakan visual novel yang menyampaikan cerita dongeng Asia Tenggara dengan baik dan ia sememangnya menyeronokkan. Dengan kisah misteri, muzik hebat dan seni yang menyerlah, tidak rugi untuk anda mencuba game ini. Bukan selalu kita boleh berborak dengan Pontianak dan Rangda.
Kabaret kini boleh dibeli melalui Steam dan Xbox!
@gamersantaimy
The Review
Kabaret
PROS
- Gaya seni unik dan terperinci
- Cerita fantasi yang ditulis dengan baik
- Penyampaian mitos Asia Tenggara yang baik
CONS
- Tiada manual save
Discussion about this post