Pada 12 Mei 2023, Netflix akan menayangkan Black Knight – siri sains fiksyen Korea Selatan yang berdasarkan webtoon ‘Delivery Knight‘ oleh Lee Yoon-gyun. Siri ini berlatarkan dunia yang dilanda pencemaran teruk sehingga kehijauan flora dan fauna kini digantikan oleh padang pasir tandus manakala topeng oksigen merupakan keperluan harian oleh manusia.
Kita akan mengikuti seorang “deliveryman/penghantar barang” bernama 5-8 (Kim Woo-bin), yang bertanggungjawab untuk menghantar sumber seperti tabung oksigen dan melindunginya daripada pencuri dan individu bahaya. Sempena itu, kami berpeluang menghadiri persidangan akhbar khas untuk melihat apa yang Black Knight sediakan.
Inilah pengenalan anda kepada dunia Black Knight!
Sinopsis

Dalam Korea versi distopia yang musnah akibat pencemaran udara, kelangsungan hidup manusia bergantung pada Black Knight — yang jauh berbeza daripada penghantar barang tipikal anda.
Pada 40 tahun yang lalu, sebuah hentaman komet menyebabkan semenanjung Korea musnah dan hanya 1% yang terselamat. Semua bahan hidup menjadi terhad dan manusia tidak boleh bernafas tanpa topeng kerana udara yang tercemar. Mereka yang terselamat diklasifikasikan mengikut kod QR, manakala mereka yang tidak menerima kod itu hidup sebagai pelarian tanpa identiti.

Wira terhebat pada era ini adalah ‘deliveryman/penghantar barang’. Walaupun oksigen bersih hanya boleh diterima melalui penghantaran, tetapi deliveryman’ wujud untuk menghalang serangan daripada pencuri dan individu bahaya untuk menghantar oksigen dan barang-barang lain dengan selamat. Kini mereka adalah harapan semua orang.
5-8 (Kim Woo-bin) ialah seorang deliveryman legenda yang dianggap paling kuat di kalangan mereka. Selepas melihat pembunuhan pelarian beramai-ramai pada sembilan tahun lalu, dia mengimpikan dunia tanpa ‘Cheonmyeong Group’ yang merupakan dalang di sebalik kejadian itu. Secara rahsia, dia membantu pelarian dengan 10 rakan lain yang berkongsi niat yang sama dengannya.

Seorang pelarian remaja bernama Sa-wol (Kang You-seok) tinggal secara rahsia di rumah Jeong Seol-ah (Esom), yang menyelamatkannya ketika dia masih muda, tetapi impian Sa-wol adalah untuk menjadi deliveryman dan menerima identiti sendiri. Pada suatu hari, seorang samseng menyerang Seul-ah (adik Seol-ah), dan Sa-wol cedera parah di kepala. Tepat pada masanya, 5-8 menyelamatkan Sa-wol, yang memutuskan untuk mengikuti jejak langkah penyelamatnya.
Pada masa yang sama, Ryu-Seok (Song Seungheon), CEO kepada Cheonmyeong Group, berhadapan dengan bapanya Chairman Ryu, mengenai rancangan untuk memindahkan penduduk miskin ke lokasi lain. Dia tidak ingin berkongsi dunia impian dengan warga pelarian, jadi bakal melaksanakan sebuah rancangan jahat untuk merealisasikan cita-citanya.

Dunia yang dicipta oleh Pengarah Cho Ui-seok

Buat mereka yang tidak tahu, siri ini berdasarkan webtoon dengan nama yang sama – yang telah diiktiraf kerana potensinya untuk adaptasi filem dan TV, sehingga memenangi Anugerah E-IP Pitching di Asian Film Market 2019. Pengarah Cho Ui-seok, yang terkenal dengan pengendalian naratif, teknik mise en scène dan aksi tinggi dalam karya, mengambil alih tugas pimpinan untuk menambah kelainan baharu pada jalan cerita yang sudah menarik.
Black Knight mempunyai dunia yang unik dan tidak pernah dilihat sebelum ini. Menurut komen Cho:
“Latar belakang itu sangat inovatif. Ia bukan penghantar barang yang kami kenal – mereka melawan pemburu untuk menghantar oksigen dan bekalan, yang bermakna mereka memainkan peranan paling penting dalam kelangsungan hidup umat manusia. Itu benar-benar menarik perhatian saya.”
Seperti saya tulis di dalam sinopsis, para deliverymen berfungsi sebagai talian hayat kepada orang pada waktu siang, tetapi pada waktu malam mereka berubah menjadi Black Knights untuk membantu pelarian dan mengubah sistem yang tidak adil.

Kim Woo-bin, Song Seung-heon, Kang You-seok dan Esom kata:
“Latar belakang itu sangat menarik kerana saya rasa ini adalah sesuatu yang boleh berlaku pada masa hadapan yang jauh” -Kim Woo-bin.
“Saya sangat teruja, bukan sahaja tentang pandangan dunia, malah juga tentang menggambarkan mangsa yang terselamat dalam dunia distopia” -Song Seung-heon.
“Saya menyukai skala yang luar biasa dan rasa sci-fi pada skrip, dan watak Sa-wol sangat menawan” -Kang You-seok.
“Ia sangat menarik bahawa orang penghantar, yang kita semua kenali, telah menjadi makhluk istimewa yang bertanggungjawab untuk kemandirian seluruh spesies manusia” -Esom.
Barisan pelakon hebat menyerlahkan lagi watak dalam dunia baharu

Kim Woo-bin, yang terkenal dalam karya seperti Master, Our Blues dan Uncontrollably Fond, memegang watak “deliveryman legenda 5-8” yang bertukar menjadi Black Knight apabila malam tiba. Kim menggambarkan watak 5-8, seorang pejuang handal dengan rasa keadilan yang kuat sebagai “individu paling hebat di kalangan Black Knight yang ingin mencapai masyarakat sama rata”.
Pengarah Cho, membuktikan sinerginya dengan Kim Woo-bin dalam Master, dan memuji;
“Woo-bin telah dipilih untuk 5-8, yang kuat dan tabah”.

Song Seung-heon, yang terkenal dengan Voice Season 4: Judgment Hour, Dinner mate, the Player dan Black, berlakon sebagai Ryu Seok; pewaris tanpa belas kasihan kepada Cheonmyeong Group dan ketua de facto kepada dunia baharu dengan kawalan ketat pada bekalan oksigen. Song harus mendalami intipati jahat watak itu dan berkata:
“Ryu Seok mempunyai keyakinan dan visinya sendiri. Dia berpendapat bahawa seseorang tidak boleh membuat telur dadar tanpa memecahkan beberapa biji telur.” (tidak boleh mendapat hasil tanpa pengorbanan).”
Pengarah Cho bertemu semula dengan Song selepas menghasilkan Make It Big (2002) bersama dan meluah kepuasan dalam persembahannya:
“Watak ini merupakan cabaran baharu untuknya, dan dia berjaya mengatasinya.”

Popular kerana persembahannya dalam Payback: Money and Power, Light on Me dan siri Start-Up, Kang You-seok memainkan watak Sa-wol, seorang pelarian remaja yang bercita-cita untuk menjadi Black Knight dan mengagumi 5-8. Sa-wol adalah harapan untuk generasi akan datang dalam dunia pasca-apokaliptik di mana dia menggambarkan Sa-wol sebagai seseorang yang naif tetapi memiliki pendirian tegas.
“Sa-wol sering keliru ketika membuat pilihan tetapi apabila membuat keputusan, dia ikut sepenuhnya. Saya paling menumpu untuk menggambarkan perkembangan peribadinya.”
Terpesona dengan persembahannya, pengarah Cho mengulas, “Kami mempunyai banyak uji bakat dan dia mempunyai pemahaman yang paling mendalam tentang Sa-wol dan menepati personaliti Sa-wol yang tidak dapat diramalkan dan lucu.”

Dengan lakonan hebatnya dalam filem Kill Boksoon dan Taxi Driver, Esom memainkan Mejar Seol-ah yang melindungi pelarian Sa-wol di rumahnya di General District. Esom menggambarkan Seol-ah sebagai watak proaktif yang ingin membina keadilan untuk rakyat. Dia mengimbas kembali:
“Seol-ah mempunyai rasa kewajipan yang kuat jadi saya cuba mengekalkan pendirian yang keras tidak kira apa yang berlaku kepada saya.”
Dunia yang kini dilanda kemusnahan

Sekilas pandang, skala besar dan keaslian dunia Black Knight telah memikat hati saya. Dunia diliputi pasir dan udara tercemar; di mana hanya sebilangan kecil yang terpilih dapat bersembunyi di kubu bawah tanah. Udara bukan lagi untuk semua orang dan dikawal oleh perintah organisasi jahat lagi kejam.
Terdapat juga stratifikasi sosial yang ketat di dunia Black Knight. Pengarah Cho menyatakan ironi dalam plot itu:
“Gangnam seperti Beverly Hills di Korea, tetapi di dunia ini, pelarian harus mencari perlindungan manakala beberapa yang terpilih bersembunyi di bawah tanah – oleh itu, ia jadi struktur piramid terbalik.”

Kawasan bandar yang dahulu merupakan kawasan kejiranan kaya sekarang berfungsi sebagai Refugee District (Daerah Pelarian) di mana ventilator adalah satu kemestian untuk terus hidup. Orang ramai di Refugee District mendapat oksigen dan bekalan dihantar kepada mereka.
Special Region pula berada di bawah paras tanah dari semua pasir tetapi kekurangan cahaya matahari. Core District pula mempunyai udara yang mencukupi untuk tumbuh-tumbuhan. Persekitaran berbeza ini mengikut setiap kelas sosial yang yang terpapar dalam siri.

Ke bahagian visual, kerja VFX adalah satu keperluan untuk menggambarkan Seoul yang lengang dan sunyi. Westworld, studio VFX terbaik Korea di sebalik siri Netflix Sweet Home, Squid Game dan All of Us Are Dead, turut membantu mencipta alam semesta Black Knight yang hanya boleh dilihat di dalam webtoon.
Lebih 180 artis di Westworld mengerjakan 3,500 adegan selama lebih 10 bulan. Pengarah Westworld Lee Byung-joo berkata:
“Amat penting untuk menambah jerebu dan zarah debu untuk membuatkan udara kelihatan tercemar teruk. Kami benar-benar mencurahkan segala-galanya untuk menggambarkan Seoul yang sunyi selepas pelanggaran komet.”

Tekstur atmosfera dicipta kebanyakannya dengan asap. Untuk memastikan bahawa asap tidak menutupi segala-galanya, dia memisahkan pelakon dari latar belakang, terutamanya untuk adegan luar, dan menambah jerebu di antaranya. Dia dan pasukan juga mencipta kesan visual berdasarkan penyelidikan tentang fenomena iklim dan atmosfera seperti habuk kuning dan ribut pasir.
Untuk menggambarkan Seoul yang sepi, mereka mencipta ‘N Seoul Tower’ yang dipotong dua, kawasan Gwanghwamun yang terbiar dan jalan Gangnam dengan bangunan runtuh. Untuk menunjukkan tekstur bukit pasir yang berbeza, “sumber fotografi diambil dari Bayanzak dan Khongoryn Els dari Gurun Gobi di Mongolia untuk menepati rupa persekitaran padang pasir berlainan ” (Lee Byungjoo, Pengarah di Westworld).

Sebagai contoh, Sungai Hangang digantikan dengan beting pasir dengan pasir halus, manakala tanah bertekstur kasar digunakan untuk menutup Jalan Gangnam. Tapak seluas 165,300 m2 ditutup dengan pasir untuk menjayakan penggambaran dalam bangunan dan jalan sepanjang 1 km dicipta dengan tanah untuk merakam adegan mengejar kereta bagi uji bakat Black Knight.
Pasukan menggunakan VFX untuk mencipta pergerakan kereta semula jadi dan kesan pelanggaran, lalu mengemaskan setiap adegan untuk membawa unsur realisme ke tahap seterusnya.
Netflix akan menayangkan Black Knight pada 12 Mei 2023. Jangan lupa untuk letak ‘Remind Me’ supaya anda tidak terlepas tayangan hari pertama. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Netflix di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post