Dalam temu bual khas Elden Ring Nightreign ini, pengarah dan veteran industri Junya Ishizaki telah berkongsi maklumat lanjut tentang game spinoff ini, yang ditukar kepada sebuah RPG aksi co-op daripada konsep soulsborne solo asal.
Dibangunkan oleh FromSoftware dan diterbitkan oleh Bandai Namco Entertainment, game ini menekankan aksi survival secara co-op dengan elemen roguelike, bagi menawarkan pengalaman baru dalam dunia yang digemari ramai.

Teman kami dalam perbualan bersama Ishizaki ketika beliau berkongsi pendekatan inovatifnya dan memberikan pandangan mengenai evolusi seterusnya dalam saga Elden Ring.
Kebebasan Bermain dan Keseimbangan Cabaran
Reka bentuk Nightreign memastikan bahawa ganjaran dan pengalaman gameplay kekal seimbang, sama ada pemain memilih untuk bermain secara solo atau dalam mod multiplayer.
Bermain secara solo sememangnya lebih mencabar—kerana tiada rakan sepasukan untuk menghidupkan semula pemain atau mengalihkan perhatian musuh—tetapi pasukan pembangunan menegaskan bahawa “kami tidak sengaja menjadikan mod solo lebih sukar, ia hanya kesan semula jadi kerana beban pertempuran tidak dapat dikongsi.” Dengan pendekatan ini, pemain solo masih dapat menikmati keseluruhan permainan, sementara mod multiplayer menawarkan kelebihan kerjasama yang unik.

Salah satu falsafah utama dalam Nightreign adalah memberi kebebasan kepada pemain. Pemain bebas memilih peranan atau menggunakan watak yang sama dalam satu pasukan, membolehkan gaya permainan tidak konvensional seperti menjadikan watak yang fokus pada sihir sebagai pahlawan jarak dekat.
Seperti yang dinyatakan oleh Ishizaki, “Kebebasan sentiasa menjadi prinsip utama dalam game FromSoftware,” memastikan tiada sekatan seperti larangan memilih watak tertentu. Walaupun game ini menggunakan watak tetap untuk mengekalkan tempo yang pantas—memudahkan pemain terus terjun ke dalam aksi tanpa perlu banyak penyesuaian—masih ada ruang yang luas untuk customization melalui relics, skins, senjata, dan pelbagai gaya permainan.

Gameplay secara kerjasama menjadi tunjang utama Nightreign, di mana pemain boleh memilih untuk menghadapi cabaran secara bersendirian atau bekerjasama apabila diperlukan. Sistem penalti, yang melibatkan kehilangan tahap dan Runes apabila pemain mati, dirangka dengan keseimbangan yang teliti untuk mewujudkan cabaran tanpa menghalang kemajuan. Sistem ini direka untuk menggalakkan kerjasama sambil mengekalkan tahap cabaran yang mencabar tetapi adil.

Selain itu, berdasarkan maklum balas pemain, Nightreign menyokong sistem dual queue, yang membolehkan dua rakan menyertai pemain rawak sebagai ahli ketiga. Pasukan pembangunan juga sedang meneliti mod dua pemain khas bagi mereka yang lebih selesa bermain tanpa memerlukan ahli ketiga. Walaupun ciri ini belum tersedia, ia masih dalam pertimbangan untuk kemas kini masa hadapan.
Variasi Gameplay yang Lebih Pantas
Dalam fasa beta, reka bentuk Nightreign menampilkan “spawn point” tetap serta kombinasi bos dalam kitaran tiga hari bagi memastikan pengalaman ujian yang konsisten dan tersusun. Pendekatan ini membolehkan pasukan pembangunan mengumpul maklum balas secara fokus sambil mengekalkan elemen gameplay yang dinamik seperti yang diharapkan peminat.
Ishizaki menjelaskan, “Reka bentuk tetap dalam beta adalah disengajakan untuk memastikan konsistensi semasa ujian,” namun mereka memberi jaminan bahawa versi akhir akan menyertakan lebih banyak elemen rawak bagi meningkatkan kepelbagaian dan nilai main semula (replayability).

Salah satu aspek utama yang menyumbang kepada jangka hayat permainan adalah sistem relic, yang berfungsi sebagai bentuk meta-progression. Sistem ini membolehkan pemain menyimpan ganjaran daripada setiap sesi permainan, secara beransur-ansur memperkuatkan watak mereka dengan melengkapkan relic berbeza untuk menyesuaikan build dan meneroka pelbagai gaya permainan.
Selain relic, pemain juga boleh membuka skin watak, jalan cerita khas setiap watak, serta senario unik menerusi permainan berulang kali. “Kami mahu relic berasa seperti ganjaran yang bermakna tanpa menjadikan permainan terlalu mudah,” jelas pasukan pembangunan, menekankan keseimbangan antara memberikan kepuasan dan menggalakkan perkembangan berterusan.

Dari segi tempo permainan, Nightreign menampilkan gaya permainan yang lebih pantas dan padat secara semula jadi, hasil daripada pemadatan pengalaman Elden Ring—menggabungkan elemen penerokaan, pertempuran bos, kenaikan level, dan mekanik RPG—ke dalam format yang lebih ringkas tetapi berkesan. Walaupun konsep speedrunning pernah disebut dalam perbincangan sebelum ini, ia bukanlah matlamat utama dalam reka bentuk.
Sebaliknya, Ishizaki menyatakan, “Nightreign mengutamakan pendekatan yang lebih pantas dan padat, yang seiring dengan reka bentuk keseluruhannya sambil mengekalkan semangat Elden Ring.” Hasilnya adalah pengalaman gameplay yang unik, mengekalkan keterujaan dan cabaran sama ada dimainkan secara solo atau bersama rakan sepasukan.
Pemilihan Bos: Antara Keserasian dan Gaya Permainan

Dalam menentukan bos mana yang akan dimasukkan ke dalam Nightreign, pasukan pembangunan memberi keutamaan kepada keserasian bos dengan gaya permainan unik yang ditawarkan. Bos yang dipilih mesti selari dengan tempo permainan yang lebih pantas serta dinamik pertarungan secara co-op. Walaupun faktor seperti populariti di kalangan peminat dan tahap kesukaran turut diambil kira, aspek ini hanya menjadi pertimbangan sekunder.
Junya Ishizaki menjelaskan, “pertimbangan utama dalam pemilihan bos adalah sejauh mana ia sesuai dengan gaya permainan Nightreign,” sambil menambah bahawa pilihan peribadinya juga sedikit sebanyak mempengaruhi proses pemilihan. Secara keseluruhan, keputusan ini adalah gabungan antara visi kreatif dan faktor praktikal.

Membandingkan tahap kesukaran musuh dalam Nightreign dengan game asal atau Shadows of the Erdtree bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap game mempunyai falsafah keseimbangan yang berbeza. Nightreign direka khas untuk pengalaman multiplayer, jadi bos dalam game ini lebih menitikberatkan dinamik pasukan berbanding pertarungan solo. Ishizaki menegaskan bahawa “cabaran dalam Nightreign tidak semestinya lebih sukar atau lebih mudah—ia hanya berbeza.”
Walaupun ada perbezaan dalam pendekatan keseimbangan, bos dalam Nightreign masih mengekalkan tahap kesukaran ikonik FromSoftware, dengan cabaran yang semakin meningkat apabila pemain menghampiri peringkat akhir permainan. Walaupun sukar untuk dipastikan sama ada mana-mana bos dalam Nightreign akan mengatasi kesukaran bos terakhir dalam Shadows of the Erdtree, pemain boleh menjangkakan kepuasan yang besar dengan setiap kemenangan yang diraih.
Elemen Penceritaan Unik Nightreign
Kisah dalam Nightreign menjadi aspek utama dalam pembangunan, dengan pasukan memastikan bahawa naratif dan latar belakang game ini memainkan peranan penting dalam membentuk dunia serta reka bentuk gameplay. Walaupun berkongsi beberapa elemen dengan mitologi Elden Ring, Nightreign berlaku dalam garis masa alternatif—yang berpecah semasa The Shattering.
Jika Elden Ring menekankan konsep Grace, Nightreign pula dibina berteraskan tema “Malam” (Night). Seperti yang dijelaskan oleh Junya Ishizaki, “Kami mahu mencipta naratif yang unik tetapi masih setia kepada semangat asal, mengimbangi antara unsur yang dikenali dan inovasi baharu.” Dengan pendekatan ini, pasukan dapat menghasilkan sebuah cerita yang masih berkait dengan dunia Elden Ring, namun tetap memiliki identiti tersendiri.

Walaupun berkongsi latar dunia yang sama, peristiwa dalam Nightreign tidak memberi kesan kepada garis masa utama Elden Ring atau mana-mana francais FromSoftware lain seperti Dark Souls. Ishizaki menegaskan, “Nightreign wujud sebagai pengalaman tersendiri dalam garis masa selari,” memastikan bahawa kisahnya kekal terpisah dan berdikari tanpa mengganggu kesinambungan siri utama atau IP lain yang berkaitan.

Satu lagi elemen menarik dalam Nightreign adalah penggunaan “3” yang berulang dalam pelbagai aspek—seperti pasukan tiga pemain, kitaran tiga hari, dan tiga perulangan sebelum pertarungan bos terakhir. Walaupun corak ini bukan keputusan tema yang disengajakan, ia muncul secara semula jadi sebagai keseimbangan terbaik dalam game.
“Tiga pemain terbukti menjadi titik keseimbangan terbaik untuk pengalaman multiplayer,” jelas Ishizaki, kerana ia menawarkan cabaran yang mencukupi tanpa menjadi terlalu sukar untuk diuruskan. Begitu juga, kitaran tiga hari dipilih untuk memberi masa yang cukup kepada pemain untuk meneroka, bertarung dengan bos, dan mengembangkan watak mereka tanpa rasa tergesa-gesa atau terlalu lama.
Tips untuk Pemain Nightreign
Nightreign mengekalkan tahap cabaran yang sinonim dengan game FromSoftware, namun pasukan pembangunan telah menerapkan beberapa ciri bagi membantu pemain baharu menyesuaikan diri dengan lebih mudah. Tutorial yang komprehensif serta petua dalam game merangkumi mekanik asas—daripada kawalan hingga sistem yang lebih kompleks—memberikan bimbingan yang diperlukan agar pemain dapat memahami konsep utama sejak awal lagi.

Bagi mereka yang baru mencuba game ini, kesabaran adalah kunci utama. Seperti yang dinasihatkan oleh Ishizaki-san, “Bersabarlah dan terima proses pembelajaran ini. Walaupun game mungkin terasa mencabar pada mulanya, latihan yang konsisten serta percubaan dengan pelbagai strategi akan membawa kepada peningkatan yang berterusan.”
Mereka yakin bahawa ramai pemain akhirnya akan mengejutkan diri mereka sendiri dengan sejauh mana mereka boleh pergi setelah memahami dan menyesuaikan diri dengan cabaran unik dalam Nightreign.

Selepas mencuba demo ini, ternyata kami menantikan pelancaran penuh. Nasib baik kita pun tidak perlu menunggu lama kerana Elden Ring Nightreign akan dilancarkan pada 30 Mei 2025 untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, dan PC melalui Steam. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post