Sejak kemunculan sulungnya pada tahun 2019, Code Vein oleh Bandai Namco telah mencipta identitinya sendiri dalam genre Soulslike, dengan gabungan aksi mencabar, gaya visual anime, dan jalan cerita yang rumit. Kini, produser Keita Iizuka mengumumkan sekuelnya, Code Vein II – sebuah kesinambungan yang membawa dunia baharu, penceritaan yang lebih bercita-cita tinggi, dan sistem combat yang lebih halus.

Dalam sesi khas secara tertutup bersama kami, Iizuka berkongsi pelbagai maklumat mengenai latar belakang, watak, dan gameplay, memberikan gambaran awal tentang pengembaraan gelap yang penuh dengan elemen vampire ini.
Kebangkitan Dunia Baharu dan Ancaman Purba
Code Vein II membawa kisah baharu yang berlaku dalam dunia pasca-apokalips yang hancur akibat fenomena misteri dikenali sebagai Resurgence (yang dahulunya disebut Reincarnation).
Fenomena ini telah melahirkan makhluk yang dipanggil Revenant (entiti mirip vampire dengan anggota tubuh yang memanjang, parut emas, dan darah berwarna keemasan) yang muncul dari sisa-sisa sejarah manusia.
Pada masa yang sama, Resurgence turut membebaskan satu kuasa kegelapan yang dikenali sebagai Luna Rapacis, yang menyebabkan para Revenant hilang kewarasan dan berubah menjadi raksasa ganas, sekali gus membawa dunia ke ambang kehancuran sekali lagi.

Dalam game ini, pemain akan menggalas peranan sebagai Revenant Hunter, seorang manusia yang diberi kuasa vampire melalui implan jantung khas. Misi utamanya adalah untuk menghentikan kerosakan dunia yang semakin parah.
Ditemani oleh Lou MagMell, seorang vampire yang misterius, protagonis akan merentasi sebuah naratif yang berlapis, merangkumi dua garis masa berbeza: masa kini yang suram serta masa lalu yang lebih hidup dan berwarna, iaitu sekitar 100 tahun sebelumnya, ketika manusia dan Revenant masih mampu hidup bersama.

Peralihan antara dua era ini menambahkan lapisan pada aspek penerokaan. Masa kini digambarkan sebagai tanah tandus dengan bangunan runtuh dan bahaya yang tersembunyi, manakala masa lalu memperlihatkan sebuah masyarakat tersusun yang dikuasai oleh Revenant.
Dungeon dalam kedua-dua garis masa ini penuh dengan cabaran, seperti lorong sempit yang menipu, musuh tersembunyi, dan makhluk dikenali sebagai Horror: iaitu Revenant yang telah bertukar menjadi binatang buas gergasi. Menurut Iizuka, pemain perlu sentiasa berwaspada kerana setiap kawasan menuntut kepekaan tinggi demi terus bertahan.
Ikatan Emosi dan Kebebasan Gaya Bermain
Nadi utama kepada naratif Code Vein II terletak pada hubungan erat antara protagonis, Revenant Hunter yang boleh diubah suai, dan Lou MagMell, seorang vampire handal yang memiliki keupayaan memanipulasi masa.
Lou bukan sekadar teman biasa, dia menyelamatkan protagonis dengan berkongsi separuh daripada jantungnya, lalu menjalinkan ikatan yang mendalam antara mereka. Sepanjang perjalanan merentas masa untuk menghalang bencana besar, hubungan mereka berkembang dan menjadi teras kepada keseluruhan penceritaan.
Pemain juga akan berpeluang berinteraksi dengan pelbagai watak dari masa lalu, mengumpul sekutu yang memainkan peranan penting dalam membentuk semula masa kini.

Satu aspek yang menonjol dalam game ini ialah kebebasan dalam customization watak. Pemain diberi peluang untuk mencipta protagonis mengikut gaya dan cita rasa masing-masing, dari penampilan fizikal hinggalah cara bertarung. Fleksibiliti ini diperkukuh melalui sistem Blood Code, iaitu mekanik teras dalam Code Vein II.
Melaluinya, pemain boleh bertukar antara pelbagai gaya pertempuran (sama ada serangan berasaskan senjata berat, kelincahan, atau skil khas) mengikut keperluan situasi atau strategi peribadi.
Sistem ini bukan sahaja membuka ruang kepada kreativiti, tetapi juga menggalakkan eksperimen berterusan, menjadikan setiap pengalaman pemain berbeza dan lebih bermakna.
Sistem Combat Dinamik dan Evolusi Gaya Souls
Sistem combat dalam Code Vein II dibina di atas asas game pertamanya, tetapi kali ini dengan tambahan mekanik baharu yang menjadikan pengalaman lebih pantas dan bertenaga. Salah satu ciri utama ialah Vampiric Action, yang memperkenalkan kitaran combat berasaskan sumber.
Pemain akan menyerang menggunakan senjata biasa untuk mengumpul darah daripada musuh, yang kemudian digunakan untuk melancarkan serangan ‘drain’ yang berkuasa. Serangan ini membuka jalan kepada penggunaan pelbagai skil tambahan, menghasilkan kombinasi serangan yang lancar dan penuh variasi.

Walaupun parry dan dodge masih memainkan peranan penting dalam combat, menurut Produser Keita Iizuka, Code Vein II tidak terlalu bergantung kepada parry seperti beberapa judul Souls-like lain.
Sebaliknya, fokus diberikan kepada kebebasan dalam customization watak dan variasi build, membolehkan pemain membentuk gaya bertarung yang benar-benar mencerminkan pilihan mereka.
Tambahan pula, musuh dalam game ini ada yang mampu memulihkan kesihatan, memaksa pemain untuk mengekalkan tekanan melalui serangan agresif tetapi masih berhati-hati. Ketika inilah, penguasaan parry dan dodge menjadi penting untuk menghadapi cabaran yang menanti.
Temu Bual Bersama Keita Iizuka
Selesai sesi pembentangan, kami berpeluang duduk bersama Keita Iizuka untuk satu temu bual.
Dalam perbualan ini, beliau berkongsi visi kreatif di sebalik pembikinan sekuel ini, memperincikan bagaimana mekanik perjalanan masa direka, bagaimana sistem combat diperhalusi, dan betapa pentingnya maklum balas peminat dalam membentuk Code Vein II sebagai evolusi dalam francais ini.
Perjalanan Masa Sebagai Teras Cerita dan Gameplay
Elemen terpenting dalam Code Vein II ialah mekanik perjalanan masa, yang menjadi pembaharuan utama dari segi naratif dan gameplay berbanding tajuk asalnya.
Menurut Produser Keita Iizuka, idea ini lahir daripada hasrat untuk menyelami aspek emosi yang lebih mendalam dalam siri ini, khususnya hubungan kompleks antara vampire (dikenali sebagai Revenant) dan manusia.
“Motif utama untuk Code Vein sebelum ini dan Code Vein II kini adalah cerita dramatik vampire serta hubungan mereka dengan manusia,” kata Iizuka.
Dengan memperkenalkan konsep merentas masa, pasukan pembangunan berusaha menyelami makna keabadian Revenant dan kaitan sejarah mereka dengan manusia, membolehkan pemain mengalami kisah kehilangan, penebusan, dan perjuangan untuk terus hidup merentas dua zaman.

Namun, perjalanan masa dalam Code Vein II bukan sekadar elemen penceritaan,ia turut membentuk struktur gameplay secara keseluruhan. Pemain akan meneroka dua garis masa yang kontras: masa kini yang porak-peranda dan suram, serta masa lalu yang lebih hidup dan penuh harapan ketika manusia dan Revenant hidup bersama.
Iizuka menjelaskan bahawa pendekatan dunia berganda ini menambah nilai penemuan dan eksplorasi, dengan dungeon di setiap era menyimpan rahsia, cabaran, dan musuh tersendiri.
“Rasa gameplay itu sendiri akan kekal serupa, jadi kami tetap setia kepada rasa gameplay dari Code Vein 1,” katanya, sambil menegaskan bahawa elemen perjalanan masa membawa dinamik baharu, termasuk persekitaran yang lebih bervariasi dan pendedahan kepada kisah-kisah tersembunyi yang memperkayakan pengalaman pemain.
Gaya Visual Dikemas Kini
Dari segi visual, Code Vein II masih mengekalkan identiti bergaya anime yang menjadi tanda pengenalan game asal, walaupun ramai peminat menyedari perubahan nada yang sedikit lebih gelap dalam trailer pengenalannya.
Menurut Iizuka, reka bentuk watak kali ini masih berpaksikan gaya yang sama seperti sebelum ini, hasil sentuhan artis Kurumi Kobayashi. “Untuk reka bentuk watak dalam game, ia masih sangat serupa. Cuma ia lebih diperhalusi berbanding game sebelumnya,” katanya.
Nada yang lebih suram dalam trailer sebenarnya bertujuan untuk menonjolkan suasana dunia baharu serta tema perjalanan masa, namun teras gaya seni tetap kekal, dengan visual yang kini disesuaikan untuk memanfaatkan keupayaan konsol moden seperti PS5 dan Xbox Series X/S.

Dunia dalam game ini turut menerima sentuhan inspirasi daripada mitologi Yunani, khususnya dari segi nama dan reka bentuk kawasan tertentu. Walaupun begitu, Iizuka menegaskan bahawa elemen ini tidak diambil secara langsung.
“Sebenarnya tidak banyak motif atau latar yang diambil dari [mitologi Yunani], tetapi banyak nama serta beberapa reka bentuk untuk sesetengah latar telah mengambil inspirasi,” jelasnya. Gabungan ini memberi dimensi tambahan kepada suasana permainan, menambahkan unsur mistik yang unik.
Reka bentuk bos dan musuh pula dibuat dengan tujuan untuk memberi kesan kepada pemain—bukan hanya dari segi saiz, tetapi juga perasaan ancaman yang mereka bawa.
“Kami cuba menjadikan saiz bos serta rupa mereka kelihatan sebahaya mungkin,” tambah Iizuka, bagi memastikan pertemuan-pertemuan penting dalam game kekal saspens dan mencabar seperti yang diharapkan oleh peminat siri ini.
Sistem Buddy untuk Sokongan Emosi dan Aksesibiliti
Salah satu aspek yang paling dikenali dalam Code Vein ialah sistem Buddy, yang membolehkan pemain berganding bahu dengan rakan AI dalam combat, sambil memperkayakan penceritaan melalui interaksi.
Ciri ini menerima sambutan hangat daripada peminat, dan menurut Iizuka, pasukannya telah bekerja keras untuk menaik tarafnya dalam Code Vein II. “Dari Code Vein sebelumnya, sistem Buddy sangat diterima baik, dan kami mendapat banyak reaksi positif,” katanya.
Dalam sekuel ini, sistem tersebut telah “ditingkatkan” dengan lebih banyak interaksi bermakna serta detik-detik ikatan emosi antara protagonis dan rakan mereka, termasuk Lou MagMell. Usaha ini bertujuan menjadikan hubungan antara watak lebih peribadi dan menyentuh hati, agar setiap perjalanan terasa lebih emosi.

Selain menyumbang kepada naratif, sistem Buddy juga memainkan peranan penting dalam menjadikan game lebih mudah diakses, terutamanya bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan genre Soulslike.
Walaupun Code Vein II masih mengekalkan tahap kesukaran yang mencabar—“Ia masih game yang sukar, jadi ada masa anda boleh kalah atau tewas dengan mudah,” Iizuka memberi amaran—beberapa penambahbaikan telah dilakukan untuk membantu pemain baru menyesuaikan diri.
“Kami telah membuat beberapa penambahbaikan pada antara muka serta UI, jadi lebih mudah untuk orang bermain game ini,” katanya.
Bagi mereka yang inginkan cabaran sejati, bermain secara solo tetap menjadi pilihan, namun sistem Buddy direka supaya fleksibel dan boleh diubah suai, memberikan bantuan yang boleh disesuaikan mengikut gaya permainan masing-masing.
Customization Watak Lebih Bebas Ikut Gaya Permainan
Code Vein pertama berjaya menarik komuniti pemain yang berdedikasi, khususnya kerana sistem penciptaan wataknya yang sangat fleksibel. Ramai pemain menggunakan ciri ini untuk mencipta watak-watak original yang mengagumkan dan dikongsikan di media sosial.
Mengakui semangat kreatif ini, Iizuka mendedahkan bahawa Code Vein II akan hadir dengan sistem customization yang jauh lebih menyeluruh. “Customization watak dalam Code Vein II akan menjadi versi yang dipertingkat dari game sebelumnya, jadi akan ada lebih banyak pilihan penyesuaian,” katanya.
Fokus utama pasukan pembangunan adalah menjadikan proses ini lebih intuitif dan menyeronokkan, agar pemain boleh “memilih” daripada pelbagai bahagian dan corak untuk mencipta “watak yang sangat cool” dengan mudah.

Selain itu, maklum balas daripada komuniti turut memainkan peranan penting dalam membentuk sistem Blood Code, iaitu sistem yang membolehkan pemain menukar gaya lawan mereka secara fleksibel.
“Kami memberikan lebih banyak kebebasan kepada pemain untuk menyesuaikan build mereka sendiri dan mencipta gameplay mereka sendiri,” ujar Iizuka.
Dengan pendekatan ini, pemain diberi ruang untuk menyesuaikan strategi mereka mengikut situasi—sama ada untuk menentang jenis musuh tertentu atau menyesuaikan diri dengan perkembangan naratif.
Hasilnya, kebolehmainan semula meningkat, dan setiap pengalaman bermain menjadi unik, mencerminkan identiti serta gaya permainan individu masing-masing.
Tiada Kaitan Dengan God Eater
Walaupun terdapat spekulasi dalam kalangan peminat mengenai kaitan antara Code Vein dan siri God Eater (berikutan beberapa elemen visual serta penampilan tetamu dalam game pertama), Iizuka menegaskan bahawa Code Vein II ialah sebuah kisah yang berdiri sendiri.
“Ia adalah dunia yang benar-benar baharu. Cerita dan drama berlaku dalam dunia yang benar-benar baharu, jadi tiada hubungan langsung antara Code Vein II dan siri God Eater,” katanya.
Dengan pendekatan ini, pasukan pembangunan diberi kebebasan untuk membina dunia dan naratif baharu sepenuhnya, yang memberi tumpuan kepada konflik dan dinamik antara Revenant Hunter dan musuh-musuh vampire mereka.

Berbeza daripada game pertama yang memfokuskan kepada perspektif Revenant, Code Vein II menampilkan protagonis yang kini memainkan peranan sebagai pemburu vampire. Perubahan ini memberi ruang untuk kisah konflik dramatik yang segar.
“Kami ingin melukis drama dan cerita yang berbeza dari Code Vein 1,” jelas Iizuka, menunjukkan bahawa sekuel ini membawa nada emosi yang lebih berat dan naratif yang lebih matang, sambil tetap mempertahankan identiti uniknya tersendiri.
Combat Bergaya Vampire & Penerokaan Lebih Lancar
Combat dalam Code Vein II memanfaatkan kekuatan aksi vampire pantas dari game asal, dengan penambahan abiliti baharu seperti serangan cakar emas dan bentuk serangan berasaskan kelawar yang memberi lebih variasi kepada sistem senjata.
“Akan ada variasi yang sama seperti game Code Vein sebelumnya, dan di samping itu, akan ada gaya vampire baharu,” kata Iizuka, sambil menjelaskan bahawa pemain boleh membuka gaya tambahan ini mengikut perkembangan cerita.
Semua abiliti ini diintegrasikan melalui sistem Blood Code, memberikan pemain peluang membina gaya permainan yang fleksibel dan boleh diubah suai mengikut keperluan situasi.

Dari segi penerokaan, Code Vein II juga membawa peningkatan yang ketara, mengambil kira maklum balas pemain terhadap kesukaran menavigasi kawasan kompleks seperti Cathedral dalam game pertama.
Kini, pemain akan dapat menggunakan motosikal (seperti yang dipaparkan dalam trailer) untuk bergerak lebih pantas di dalam dunia permainan, sekaligus meningkatkan tempo eksplorasi.
Tambahan pula, musuh kini berupaya menjatuhkan senjata di kawasan dungeon dan bandar, menambahkan insentif serta elemen ganjaran kepada setiap pertembungan.
“Ia membantu dengan rentak permainan serta untuk penerokaan,” ujar Iizuka, memastikan setiap langkah pemain terasa bermakna sambil mereka mengharungi dunia berbahaya yang penuh misteri dan cabaran.
Permulaan Baharu Selepas Enam Tahun
Pembangunan Code Vein II bermula sejurus selepas keluaran DLC untuk game pertama, dengan pasukan pembangunan asal kembali bergabung (termasuk pengarah Yoshimura) bagi membina sekuel yang mampu memenuhi harapan tinggi para peminat.
“Kami sangat gembira dapat akhirnya mengumumkan game ini selepas enam tahun dan dapat berhubung semula dengan peminat kami,” kongsi Iizuka dengan penuh rasa syukur.
Pemilihan Summer Game Fest sebagai pentas pengumuman juga bukan secara kebetulan; ia satu langkah strategik yang membolehkan mereka menyampaikan “berita hebat kepada ramai peminat yang menanti.”

Dengan fokus pada pengoptimuman untuk konsol generasi baharu, pemain boleh menjangkakan pengalaman yang lebih hebat dari segi naratif dan lebih menawan dari segi visual apabila Code Vein II dilancarkan pada tahun 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam.
Sekuel ini bersedia untuk kembali meninggalkan impak besar dalam genre Soulslike, kali ini dengan taring yang lebih tajam dan dunia yang lebih luas untuk diteroka. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post