Baru-baru ini, Apple mengadakan kempen Here’s to the Dreamers, yang bertujuan memberi penghormatan kepada bakat luar biasa di Asia Tenggara yang berani mempamerkan karya dan visi mereka yang unik kepada seluruh dunia. Salah satu daripada bakat ini ialah duo muda, Pham Duy Phuc (juga dikenali sebagai Daniel) dan Tran Tuan Hiep dari Vietnam, yang mengerjakan game indie bertajuk DreamChaser.

Sanggup mengambil risiko, Daniel berani berhenti dari universiti untuk meneruskan pembangunan game ini secara profesional, dengan bekerja sepenuh masa sambil membangunkan DreamChaser dan menjalankan halaman YouTube-nya, di mana dia berkongsi perjalanan pembangunan game tersebut.
Rerupakan game endless runner berseni piksel, DreamChaser juga merupakan game pertama dalam sejarah Vietnam dalam genre tersebut. Secara am, ia menceritakan kisah tentang melepaskan diri daripada kekangan kerja dan menerokai Dinasti Nguyen, lengkap dengan makhluk mitos, pakaian tradisional dan haiwan peliharaan yang sangat comel.

Kebetulan, kami berpeluang mengadakan interviu khas bersama mereka untuk bertanya lebih lanjut tentang game DreamChaser.
DreamChaser menggunakan gaya seni piksel. Mengapa anda memilih gaya seni ini?

Daniel dan Hiep: Memandangkan Hiep ialah artis piksel yang sangat berbakat, kami memutuskan untuk menggunakan gaya 2D.
Kami percaya jenis seni piksel ini lebih mudah didekati oleh pasaran besar-besaran kerana warna dan julat warnanya, yang dikenali sebagai bit-depth, yang membolehkan pemain melihat perincian yang menarik dan tipografi yang berwarna-warni, ikon dan animasi watak.
Apakah cabaran utama yang anda hadapi semasa proses pembangunan game, dan agaimanakah anda mengatasi cabaran ini?

Hiep: Beberapa cabaran yang kami hadapi semasa proses pembangunan game ialah mencipta reka bentuk UI yang kreatif dan mudah difahami. Versi UI pertama kami untuk
DreamChaser sangat berbeza dan kurang menarik.
Kami meneroka idea yang berbeza daripada game popular lain untuk mendapatkan inspirasi dan ia membawa kami ke keadaan sekarang.
Daniel: Satu lagi cabaran yang kami hadapi ialah melaksanakan sistem pencegahan penipuan. Game kami termasuk ekonomi yang membolehkan pengguna memperoleh dan membeli mata wang dalam game. Tanpa solusi yang betul, ekonomi game boleh dieksploitasi, membawa kepada isu-isu signifikan dalam versi masa hadapan.
Untuk menangani perkara ini, kami melaksanakan sistem pengesanan cheat asas dalam versi awal dan menambah amaran untuk pengguna yang cuba memecah masuk game. Sistem semasa berfungsi dan kami sangat berharap pengguna tidak mencari jalan untuk memintasnya.
Semasa pembangunan DreamChaser, adakah anda diilhamkan atau dipengaruhi oleh game lain?

Daniel dan Hiep: Apabila mula bekerjasama, kami tahu bahawa kami ingin mencipta game yang unik dan menyerlahkan kedua-dua kemahiran kami semasa mewakili negara sendiri. Memandangkan ini adalah kolaborasi pertama, kami ingin mencuba sesuatu yang lebih kecil untuk menguji dan meningkatkan keserasian.
Kami tidak mempunyai pengaruh tertentu tetapi mempunyai visi dan itu adalah untuk membawa latar belakang sejarah kepada game kami. Syukurlah, DreamChaser telah berjaya dan kami berbangga dengan hasil kerja.
Hari ini, kami merancang untuk mencipta projek yang lebih bermakna dan/atau menambah baik DreamChaser agar lebih menarik dan berdaya saing dalam pasaran.
Bagaimanakah tahap kesukaran DreamChaser ditetapkan? Bagaimanakah anda memastikan game itu mencabar tanpa menjadi terlalu susah?

Daniel dan Hiep: Tahap kesukaran DreamChaser adalah berdasarkan level larian. Pada masa ini, DreamChaser mempunyai lima level, dari easy hingga hard. Pengguna perlu mengumpul mata yang mencukupi untuk meneruskan ke level seterusnya.
Kami juga mempunyai sistem haiwan peliharaan untuk membantu pengguna melepasi pelbagai level. Ini memastikan pemain sentiasa terlibat dan menjadikannya lebih mudah dicapai. Walau bagaimanapun, game ini direka bentuk supaya tidak terlalu rumit, jadi tahap kesukaran adalah agak linear.
Dalam pasaran mobile game yang sangat kompetitif, apakah strategi yang anda rasa akan menjadikan game ini menonjol dan berjaya?

Daniel dan Hiep: Untuk pasaran Vietnam, saya percaya bahawa gaya seni piksel sejarah membantu membezakan diri kami daripada persaingan. DreamChaser ialah satu-satunya game endless runner dengan gaya seni ini. Saya percaya ini kekal unik di seluruh rantau ini.
Selain itu, kami yakin bahawa ditampilkan oleh App Store melalui kempen Here’s to the Dreamers akan membuka jalan baharu untuk melibatkan diri dengan pasaran serantau yang lebih luas dan mewujudkan diri dalam industri mobile gaming. Kami juga amat bersyukur kerana DreamChaser adalah satu-satunya game di Vietnam yang ditampilkan oleh App Store.
Ini adalah pencapaian terbesar dalam perjalanan pembangunan game kami.
Apakah rancangan anda untuk masa depan DreamChaser? Adakah terdapat sebarang rancangan untuk membangunkan ciri baharu atau pencapaian untuk diri sendiri?

Daniel dan Hiep: Gameplay semasa DreamChaser agak asas. Oleh itu, ada banyak ruang untuk penambahbaikan. Mula-mula, kami merancang untuk menjadikan game lebih menarik dan memberi impak.
Kami juga merancang untuk menjadikan penceritaan di sebalik DreamChaser lebih menarik kepada pengguna dan membuat mereka memahami mengapa watak utama mula melarikan diri dan mencari ketenangan. Kami juga ingin membuat lebih banyak mini-game di dalam dan di luar gameplay utama.
Kesemuanya akan dihubungkan melalui cerita yang berbeza di sebalik setiap mini-game yang mengikat keseluruhan penceritaan. Untuk melakukan perubahan ini, kami mengupah dua ahli baharu. Kami tidak sabar untuk membuat penambahbaikan untuk game dan menjangkau seberapa ramai orang yang boleh.
Bagi matlamat masa depan, kami berharap dapat meningkatkan statistik tertentu untuk game ini, seperti pengekalan pengguna dan tempoh masa bermain. Akhir sekali, kami juga berhasrat untuk melancarkan game bercita-cita tinggi baharu yang dipengaruhi kuat oleh budaya makanan jalanan Vietnam pada tahun hadapan.
Kami akan sentiasa bermotivasi untuk mencapai matlamat ini.
Mengapa anda memilih untuk mengeluarkan DreamChaser sebagai game percuma dan bukannya game premium?

Daniel dan Hiep: Memandangkan masih baharu dalam industri game mobile, kami ingin memastikan bahawa kami memperoleh sebanyak mungkin pendedahan untuk mendapatkan maklum balas yang membina daripada pemain dan mengetahui lebih lanjut tentang penonton.
Kami memutuskan untuk menerokai App Store kerana kami percaya ia menawarkan platform yang berkualiti tinggi dan selamat untuk pengguna kami, dan keupayaan untuk menarik perhatian khalayak yang lebih luas.
Apakah pendapat anda tentang perkembangan masa depan industri gaming Vietnam?

Daniel: Dari pemerhatian, jelas bahawa belia Vietnam gemar bermain game sama ada melalui telefon pintar atau konsol. Majoriti berumur di bawah 25 tahun dan ini telah mewujudkan pasaran yang besar di negara kita. Pada masa ini, tidak banyak game berkualiti tinggi yang dihasilkan dalam negara.
Kami berbangga menjadi sebahagian daripada gelombang ini dan berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai belia untuk memasuki industri ini untuk membantu pembangunan game Vietnam berkembang maju dalam pasaran!
Maka, tamatlah interviu kami bersama Daniel dan Hiep tentang DreamChaser, dan ribuan terima kasih kerana sudi menjawab semua soalan kami!
Jika berminat, anda boleh memuat turun game ini sekarang untuk cuba di SINI! Pada masa yang sama, anda boleh belajar lebih lanjut tentang mereka di kempen Here’s to the Dreamers di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post