Marvel’s Spider-Man adalah salah satu game eksklusif PlayStation paling berjaya pada era PS4 hingga ke PS5. Bukan itu sahaja, ia juga adalah game terbaik yang dibuat khas untuk seorang watak superhero. Kini, Marvel’s Spider-Man Remastered akan membuat penampilan pertama di PC melalui Epic Games dan Steam.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana game ini akan berfungsi di setup PC gaming anda, saya telah menghadiri temu ramah bersama Nixxes Software & Insomniac Games di mana kita membincangkan secara khusus proses membawa game ini ke PC.
Secara lebih khusus lagi, saya bertemu dengan Jurjen Katsman (Pengasas & Pengarah Senior, Pembangunan – Nixxes Software) dan Mike Fitzgerald (Pengarah Teknologi Teras Insomniac Games) untuk belajar lebih lanjut. Berikut adalah isi kandungan interview:
Mike Fitzgerald Jurjen Katsman
Proses di sebalik tabir

Mungkin ramai yang tertanya: “Adakah membawa game PS ke PC sesuatu tugas yang sukar?”. Jurjen Katsman menjawab bahawa cabarannya adalah kerana kedua-dua versi datang daripada perkakasan yang berbeza dan tugas utama setiap pihak adalah untuk memastikan game berfungsi mengikut kemampuan platform tersebut. Memandangkan Spider-Man berasal daripada PS4 lalu dibawa ke PS5 yang lebih canggih, banyak kerja pengoptimuman perlu dilakukan.
“Setiap kali kami menjalankan profil (ujian), tester pasti akan menemui masalah yang perlu dibetulkan. Itu pastinya menjadi salah satu perkara yang menyukarkan keadaan.”
kata Jurjen Katsman.
Satu lagi perkara yang tiada di PS5 tetapi ada di versi PC adalah sokongan untuk resolusi ultra-wide. Bak kata Mike Fitzgerald, ia memberi perspektif yang berbeza tentang aspek open-world Spider-Man memandangkan ini adalah game yang banyak menumpukan pada sinematik. Namun, itu juga hadir dengan cabaran baru. Kini mereka perlu menunjukkan lebih banyak di bahagian sisi kiri dan kanan.

Bersama kepakaran Nixxes Software, jurang kosong itu dapat dipenuhi. Mereka asalnya memberi tumpuan pada aspek ratio 32:9, lalu 21:9, dan akhir sekali 48:9 yang merupakan resolusi paling lebar dan luas. Dari pengalaman saya bermain game ini, kami masih boleh fokus pada aksi di tengah tanpa gangguan tambahan di bahagian sisi.
Berkenaan ciri-ciri DualSense yang eksklusif di PS, versi PC juga dapat menyokong teknologi haptic feedback dan adaptive trigger (walaupun tidak selengkap). Pendek kata, segala pengalaman yang anda akan temui dalam versi PC telah diambil terus dari PS5. Jadi, anda akan merasa tindak balas haptik yang sama termasuk semasa berlari dan ketika menembak “web shooter” untuk menghayun dan bertarung melalui bandar.
Yang menjadi isu di PC ialah anda perlu menggunakan sambungan USB daripada controller ke PC untuk merasai ciri itu. Masalah ini disebabkan oleh beberapa batasan pada Bluetooth di Windows tetapi itu tidak akan menjadi masalah besar bagi para gamer.

Walaupun ada yang akan bermain game ini memakai controller tetapi game ini masih dibuat khusus untuk PC yang memakai combo mouse/keyboard. Di sini, Nixxes Software meletakkan banyak masa dan usaha untuk memastikan semuanya dikonfigurasikan dengan betul. Selepas melalui pelbagai proses, mereka memberikannya kepada tester untuk melakukan ujian. Walaupun ada tetapan “default” tetapi para tester telah mengubahnya kawalan mengikut keselesaan mereka dan hasilnya cukup menggembirakan.
“Semua itu adalah supaya orang ramai dapat mengkonfigurasinya mengikut keinginan mereka. Sesetengah orang mungkin mempunyai tangan yang lebih besar, sesetengah orang mempunyai tangan yang kecil, jadi anda mempunyai banyak tetapan lain.”
kata Jurjen Katsman.
Baru-baru ini, Marvel’s Spider-Man juga disahkan boleh dimainkan di Steam Deck (kategori handheld PC). Bukan setakat PC sahaja, mereka juga telah membuatkan game ini berfungsi di platform lain! Pertama, mereka memikirkan cara untuk menambah pilihan customization [dari segi kawalan] sambil meningkatkan fungsi keupayaan. Selepas melakukan beberapa lagi ujian dalaman untuk Steam Deck untuk memastikan ia menyokong semua butang dan pilihan berbeza dengan betul, akhirnya ia berjalan lancar.
Perbezaan versi PlayStation dan PC

Menurut kata Mike, ia tidak mempunyai perbezaan yang spesifik selain daripada grafik dan ciri ultra-wide. Sebabnya adalah mungkin ramai lagi orang yang belum dapat bermain game itu di PS5 (kerana hak eksklusif konsol], jadi mereka mengambil semua ciri-ciri yang disukai lalu membawanya ke PC supaya anda boleh bermain dengan mouse dan keyboard.
“Tidak kira kad grafik apa yang anda pakai dan apa setup anda, anda boleh bermain mengikut cara sendiri. Semuanya tentang membawa game ini kepada pemain PC supaya anda boleh bermain mengikut kehendak diri.”
kata Jurjen Katsman.
Kembali ke topik “perbezaan”, tiada content baru yang ditambahkan ke PC. Cuma, versi PC mempunyai semua DLC, semua bab, dan semua sut – ditambahkan pada permainan. Saya tertanya: “Mengapa mereka tidak mengambil peluang ini untuk menambah content baru untuk Spider-Man PC?”. Mike menjawab ada banyak kandungan untuk dinikmati, lebih-lebih lagi untuk pemain yang masih belum dapat mencubanya.
Sejujurnya, saya rasa kami hanya fokus untuk membuatkannya setulen mungkin termasuk cara kita melaksanakannya di PC.”
kata Mike Fitzgerald.
Permulaan sebuah kerjasama

Itu juga adalah kali pertama Nixxes Software bekerjasama dengan Insomniac Games tetapi sekilas pandang, ia nampak sangat berjaya kerana berjaya menghasilkan port yang berkualiti dalam jangka masa yang “agak pendek”.
Jurjen menggambarkan bahawa kerjasama antara kedua-dua studio sangat bagus, secara interaktif dan langsung. Sebelum menyertai PlayStation, Jurjen mempunyai beberapa perbincangan dengan Sony di mana mereka menawarkan untuk bantu menghasilkan beberapa projek. Banyak projek yang dibincangkan dan salah satunya adalah Spider-Man.
Akhir sekali, mereka menyertai keluarga PlayStation Studios dan impian kita tercapai untuk mengalami Spider-Man di PC.
Jurjen turut memberitahu yang kerjasama ini terasa sangat natural di mana pihak Insomniac sangat menggalakkan dan membantu sesama sendiri.
“Dengan betapa mudahnya kita berinteraksi, ia membantu mengurangkan beban kita.”
kata Jurjen Katsman.

Mike kemudian menyambung dan berkata bahawa seluruh pasukan amat teruja selepas mendengar studio yang hebat dalam pembangunan PC akan bantu mereka dalam projek terbaru Spider-Man.
Insomniac sebelum ini pernah terfikir untuk melakukannya sendiri pada masa lalu, tetapi ia terbukti adalah tugas yang sukar memandangkan pasukan itu hanya bekerja pada satu perkakasan tertentu (iaitu konsol PlayStation). Oleh itu, selepas dapat tahu mereka akan bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman dan sangat berkebolehan, ia meyakinkan usaha mereka.
Sudah agak lama sejak Insomniac menghasilkan game PC. Ini adalah peluang untuk bekerja dengan studio yang mempunyai banyak pengalaman. Jadi, kami ingin menjadi sebahagian daripada proses ini dan melihat bagaimana perhubungan ini berterusan.
Pada masa yang sama, Jurjen juga mengaitkan kerjasama harmoni ini kerana kedua-dua studio adalah sebahagian daripada PlayStation Studios, yang membuatkan hubungan terasa lancar secara automatik.

Jika Spider-Man PC terbukti sama sukses seperti versi PS, siapakah yang layak menerima pujian? Mike dan Jurjen menjawab:
“Dari perspektif saya sebagai developer, saya hanya mahu orang ramai bermain game itu. Kejayaan bagi saya ialah supaya lebih ramai orang dapat mengalami Spider-Man. Kami bukan hanya mengambil game konsol dan campaknya ke PC tetapi kami mengambil kesempatan daripada apa yang ditawarkan oleh platform itu dan berikan peminat apa yang mereka mahu.”
kata Mike Fitzgerald.
Bagi saya terdapat pelbagai lapisan untuk berjaya. Apa yang penting ialah game itu sudah dikeluarkan dan orang ramai sedang bermain. Saya suka bagaimana orang boleh bermain dengan mouse dan keyboard. Saya sangat menantikan saat ini dan saya harap mereka dapat menikmatinya seperti yang kami mahukan.
kata Jurjen Katsman.
Bermula di PS, dan kemudian di PC, ramai mengandaikan Spider-Man akan membuat kemunculan di dunia VR (Virtual Reality) pada masa akan datang. Walaupun ini adalah cabaran yang lebih sukar, tetapi pasukan PlayStation VR sedang berusaha melakukan banyak game menarik untuk set PS VR 2. Mike mengesahkan bahawa Spider-Man tiada rancangan VR buat masa ini, tetapi adalah satu idea bernas yang PlayStation mungkin akan mempertimbangkan di masa hadapan.

Itu sahaja untuk interview saya bersama Jurjen Katsman dan Mike Fitzgerald tentang Marvel’s Spider-Man Remastered PC! Kami juga telah menulis review teknikal lengkap yang anda boleh baca di sini, tetapi jika korang mahu lagi banyak info tentang Spider-Man daripada kami, jangan segan-silu untuk usya liputan kami di sini.
Marvel’s Spider-Man Remastered PC akan dikeluarkan di Steam dan Epic Games pada 13 Ogos 2022.
@gamersantaimy
Discussion about this post