Dengan pelancaran remake LIVE A LIVE menghampiri, kami berpeluang untuk menemu ramah produser game tersebut, Takashi Tokita! Banyak juga perkara yang kami dapat ketahui mengenai game tersebut dan bagaimana ia dibawa kembali untuk platform moden. Ingin tahu dengan lebih lanjut, jom kita mulakan temu ramah ini. Untuk pengetahuan anda, hasil temu ramah telah diedit supaya mudah difahami.

Gaya HD-2D yang mula-mula digunakan dalam OCTOPATH TRAVELER nampaknya telah menarik ramai pemain terhadap game RPG lama. Boleh beritahu kami dengan lebih lanjut tentang keputusan anda untuk gunakan gaya tersebut dalam LIVE A LIVE?
Pada asalnya kami berhasrat untuk melancarkannya secara global, tetapi memandangkan jualan di Jepun tidak begitu memberangsangkan, kami tidak lokalisasikan game tersebut. Kami telah mencuba beberapa kali untuk membuat remake dan pindahkannya ke platform lain, tetapi ianya tidak pernah selesai.
Walaupun sudah lama ia dilancarkan, kami mendapati ramai peminat meneruskan lagasi game ini di Internet dengan cara mereka tersendiri. Saya faham bahawa banyak terjemahan telah dibuat oleh peminat dari seluruh dunia, peminat juga telah menghubungi kami di acara untuk memuji game itu — terutamanya berkongsi bahawa ianya game RPG legenda.
Beberapa tahun yang lalu, apabila saya menyertai pasukan Asano, yang terkenal dengan game, Octopath Traveler, saya melihat peluang HD-2D remake. Saya gembira untuk mengatakan bahawa selepas hampir 30 tahun, peminat kini boleh bermain keluaran global tidak lama lagi. Saya harap semua orang di dunia akan bermain game ini!

LIVE A LIVE ialah game pertama yang anda arahkan pada tahun 1994, jadi ia mendapat tempat yang istimewa di hati anda. Bagaimana rasanya untuk kembali ke game tersebut selepas bertahun-tahun lamanya?
Saya tersangat gembira dan terharu untuk kembali ke game ini.
Tajuk game, LIVE A LIVE diberikan untuk menyampaikan pelbagai cara kehidupan, tetapi saya menyedari bahawa ia telah menjadi cara hidup saya sendiri. Seperti yang diberitahu sebelum ini, kami telah cuba beberapa kali untuk remake game ini ke platform lain, tetapi ianya tidak dapat direalisasikan. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada sokongon daripada peminat, remake game ini boleh dikeluarkan.
Sudah hampir 30 tahun sejak pembangunan asal game tersebut dan kami tidak dapat menyiapkan remake ini tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua orang yang terlibat dalam remake game ini. Terima kasih banyak-banyak kepada semua orang!

Bila bercerita tentang RPG, kebanyakan orang fikir tentang pertempuran rawak, tetapi LIVE A LIVE mempunyai sangat sedikit pertempuran rawak malah beberapa bab tidak mempunyai pertempuran langsung kecuali boss fight. Pernahkah anda bimbang tentang sesetengah pemain yang mungkin tidak berminat dengan perbezaan game itu?
Game kini sangat pelbagai kerana ia berbeza dari segi genre, tetapan dan gameplay. Walau bagaimanapun, jika dilihat semula, saya merasakan bahawa banyak game mengikut format tertentu.
Semasa pergerakan game RPG dimulakan oleh Family Computer (Famicon) dan Super Nintendo Entertainment System, kami ingin ekspreskan genre dan “feel” game, di mana ia tidak wujud dalam kebanyakan RPG. Tetapi dengan perubahan dramatik pada penceritaan, peta dan elemen pertempuran, kami berusaha untuk mencapai pengalaman gaming yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Saya fikir ada kebaikan dan keburukan pada pendekatan kami untuk game asal tetapi dalam dunia moden yang pelbagai ini, saya percaya niat kami untuk menjadikan game berbeza daripada yang lain boleh dinikmati oleh ramai orang.

8 bab rahsia dan penceritaan gelap membuatkan LIVE A LIVE diingati ramai dan berbeza daripada game lain yang lebih ringan pada masa lalu. Adakah anda pernah rasakan ia terlalu gelap untuk dilepaskan kepada pemain ketika itu?
Walaupun terdapat banyak pengakhiran yang tidak menggembirakan dan plot gelap yang dipaparkan dalam game popular kini, ia bukanlah perkara biasa dalam RPG ketika itu kerana kebanyakan mereka menggunakan kisah wira.
Ia berkaitan dengan masa lampau saya, di mana saya berimpian untuk menjadi artis manga. Apabila anime semakin popular, saya mula terlibat dengan drama dan lakonan untuk menjadi pelakon suara. Pada masa itu, terdapat banyak manga, anime dan drama yang memaparkan perkembangan gelap dalam jalan cerita mereka, yang seterusnya menimbulkan emosi yang mendalam dalam diri saya. Ini mempengaruhi saya untuk menjadi pencipta yang saya ingin jadi. Saya berpendapat bahawa cabaran yang disertakan dalam game telah menyumbang kepada populariti tajuk itu selama bertahun-tahun sejak ia dilancarkan.
Saya juga percaya bahawa kerana game ini adalah RPG, pemain boleh menjadi satu dengan protagonis dan dapat menikmatinya dengan cara yang lebih mengasyikkan berbanding dengan genre lain.

Ini kali pertama LIVE A LIVE dikeluarkan secara rasmi di luar Jepun namun ia masih mempunyai pengikut yang kecil tetapi kuat di seluruh dunia. Apakah perasaan anda dalam memperkenalkan LIVE A LIVE kepada pemain antarabangsa?
Ketika game itu dibangunkan dahulu, saya terkejut kerana kami tidak dapat membawanya untuk pemain antarabangsa. Walau bagaimanapun, saya sangat terharu apabila mengetahui bahawa pemain luar negara bermainnya dalam bahasa Jepun dan ada juga sukarelawan yang menterjemahkannya ke bahasa lain juga. Terdapat juga ramai pemain yang bercakap tentang game itu dengan penuh semangat semasa acara di luar negara.
Sudah hampir 30 tahun sejak pembangunan asal game ini, dan kini pemain lama dan baru boleh bermain versi game yang terbaik! Lokalisasi game juga telah menerima ulasan yang sangat baik untuk kualitinya, dengan terjemahan yang dibuat dengan teliti untuk setiap bab.
Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua orang yang telah menyokong kami sejak sekian lama, dan saya minta maaf kerana membuat anda semua menunggu selama ini! Kami berharap semua peminat HD-2D Octopath Traveller dan TRIANGLE STRATEGY, yang akan bermain LIVE A LIVE buat kali pertama, akan turut menikmatinya.

Maka tamatlah sesi temu ramah kita dengan Takashi Tokita. Kami harap temu ramah kali ini buatkan anda teruja dengan pelancarannya tidak lama lagi. Game tersebut akan dilancarkan ke Nintendo Switch pada 22 Julai ini.Jangan lupa untuk ikuti Gamer Santai untuk dapatkan liputan menarik lain mengenai game, anime, filem dan banyak lagi.

@gamersantaimy
Discussion about this post