Dengan tayangan filem animasi Spider-Man Across The Spider-Verse pada 1 Jun 2023, kita hanya perlu menunggu beberapa minggu lagi untuk menonton pengembaraan baharu Miles Morales. Di sini, kami mempunyai peluang untuk menghadiri temu ramah media dengan Sinyee Loke, seorang artis tempatan dari Malaysia yang menjadi sebahagian daripada pasukan animasi di sebalik Spider-Man: Across The Spider-Verse.

Sebagai pengenalan, Sinyee lulus dari Dasein Academy Of Art dan kini membawa peranan penting sebagai Lighter, yang bertanggungjawab membawa warna dan mengarkibkan gaya komik melalui penggubahan visual untuk Spider-Verse. Kredit filemnya sebelum ini termasuk Love & Monsters.
Tanpa melengahkan masa lagi, mari kita lihat bagaimana seorang artis tempatan dari Malaysia berjaya melibatkan diri dalam salah satu animasi paling dinanti-nantikan pada tahun 2023!

Untuk mereka yang tidak mengenali anda, bolehkah anda memperkenalkan diri secara ringkas?
Sinyee: Saya Sinyee Loke, dan saya dari Malaysia. Saya berumur 31 tahun dan dibesarkan di Bidor, Perak, sebuah ‘bandar kecil” di Malaysia. Dan saya seorang Lighter untuk Spider-Man: Across the Spider-Verse.
Pada pendapat saya, filem ini benar-benar unik daripada semua animasi yang pernah saya tonton. Bolehkah anda menerangkan secara khusus apa yang anda lakukan untuk memberikan visualnya yang unik?
Sinyee: Dalam Spider-Verse, mereka mempunyai dunia berbeza dengan gaya seni yang berbeza. Kami mengikuti urutan ini menurut siapa yang tinggal di dunia (Spider-Man) itu dan kemudian menerima rujukan bagi ‘color keys’. Kemudian saya memberi cahaya, ‘render’, ‘compositing’ – mengikut arah seni itu. Terdapat pelbagai jenis kerja seperti ‘brushing’, ‘inking’, dan semuanya berbeza di setiap dunia (Spider-Man).

Sila jelaskan sedikit tentang latar belakang profesional anda dan perkara lain yang telah anda lakukan serta bagaimana anda akhirnya dapat terlibat dalam filem ini?
Sinyee: Selepas belajar animasi, saya mula bekerja di studio animasi di Malaysia selama 5 1/2 tahun sebelum mencari kerja di luar negara. Saya sangat bertuah. Yang pertama saya dapat adalah di Australia di mana saya mengerjakan VFX untuk filem Love and Monsters.
Pada mulanya, ia sepatutnya berada di skrin besar tetapi wabak melanda, jadi ia pergi ke platform dalam talian. Kerana wabak itu, saya kembali ke Malaysia dan kuarantin selama dua tahun. Selepas itu saya berfikir “Hmm, kali ini saya akan mencuba di Kanada,” jadi saya sasarkan Kanada dan kemudian menghantar portfolio dan resume saya. Saya sangat bertuah kerana beberapa syarikat memberi respon.
Kemudian saya memilih yang terbaik iaitu MPC (Moving Picture Company) di Montreal, Kanada. Mereka menaja saya [datang] ke sini untuk bekerja di Disney Pinocchio. Semasa bekerja untuk Pinocchio, saya dapat tahu beberapa syarikat Amerika sedang mencari pekerja dan kemudian buat keputusan untuk mencuba nasib.
“Mereka mungkin tidak akan memberi maklum balas kepada saya, sekurang-kurangnya sehingga saya 2-3 tahun di sini dan saya rasa diri masih belum layak.” Saya sangat bertuah kerana seminggu selepas memohon, saya mendapat respon daripada mereka dan kemudian menghadiri temuduga.
Rupanya, ia untuk Spider-Verse! Saya benar-benar menjerit semasa temu bual. Saya peminat dan tidak percaya dapat bercakap dengan orang yang bekerja pada filem pertama. Saya memang kagum dengan warna, dan arah seni – segala-galanya. Saya sangat teruja semasa temuduga!
Selepas itu, saya berjaya menjadi sebahagian daripada produksi. Saya tidak percaya… Saya benar-benar bertuah kerana dapat masuk dalam Spider-Verse.

Saya faham bahawa pasukan produksi telah menghasilkan banyak alat dan perisian khusus untuk filem Spider-Verse. Untuk peranan anda, adakah sebarang alat dicipta khusus untuk jabatan anda?
Sinyee: Ada banyak.
Semuanya dibangunkan secara dalaman oleh ramai artis berbakat. Oleh itu, terdapat banyak plugin dan alatan yang akan sentiasa dikemas kini sepanjang filem. Ada begitu banyak versi yang berbeza, saya tidak tahu bagaimana mereka melakukannya kerana saya tidak terlalu tahu tentang perkara teknikal, saya hanya suka mencuba dan belajar cara menggunakannya. Tetapi ia memberi banyak kemudahan, seperti ‘brush stroke’, ‘inking’ dan hal-hal lain. Mereka sangat berbakat dan cool.
Jadi adakah ia sukar untuk menyesuaikan diri semasa menggunakan alatan baharu ini?
Sinyee: Ya sudah tentu. Semuanya baharu termasuk beban kerja, pipeline, perisian – malah gayanya. Saya tidak pernah mengusahakan sesuatu yang gila seperti ini. Jadi untuk menyesuaikan diri semasa beberapa bulan pertama, ia agak sukar.
Tetapi sebaik sahaja memahami, menerima arahan dan segala-galanya, ia tidak lagi sukar. Ia lebih mencabar untuk mencapai rupa yang anda inginkan, atau rupa yang diingini oleh pengarah.

Kali ini, Across the Spider-Verse menampilkan enam gaya seni yang dominan. Bolehkah anda memberi kami sedikit info tentangnya dan gaya manakah yang menjadi kegemaran peribadi anda?
Sinyee: Kegemaran saya semasa bekerja belum ada dalam treler lagi, jadi saya tidak boleh memberitahu, tetapi apabila anda menontonnya, anda akan tahu.
Apabila menggabungkan konsep gaya seni yang berbeza ke dalam filem, adakah terdapat sebarang cabaran yang timbul daripada segi reka bentuk?
Sinyee: Oh ya, saya rasa mereka banyak menukar reka bentuk dan color keys pun sentiasa berubah manakala gaya seni sentiasa dikemas kini. Artis lain mungkin rasa menjengkelkan tetapi saya menghargainya kerana sangat percaya kepada pengarah seni.
Setiap kali mereka berubah, pasti akan nampak lebih baik. Jadi teruskan sahaja. Apabila tukar, saya pun okay dan buat semula. Terdapat banyak adegan yang diluluskan dan siap, tetapi kita perlu membuat semulanya kerana pengarah berubah fikiran. Tetapi sudah tentu ia nampak lebih baik, dan lebih sesuai dengan cerita. Jadi kenapa tidak? Filem pertama sangat hebat, jadi anda perlu percaya pada pengarah dan lakukan sahaja.

Saya rasa anda sudah beri jawapan pada soalan ini tetapi memandangkan filem ini menerima banyak perubahan saat akhir. Apakah yang sentiasa berubah antara cerita, gaya, atau teknik, dan bagaimanakah ia mempengaruhi peranan anda secara khusus?
Sinyee: Pada mulanya, ia baik-baik saja, tetapi apabila lebih dekat ke penghujung, keadaan menjadi lebih tertekan kerana kami masih mempunyai banyak adegan baru untuk siapkan. Adegan yang sudah diluluskan, akan kembali, dan mereka akan menukar dialog. Saya rasa itu pun masuk dalam berita. Seperti contoh, Hailey (Steinfeld) terpaksa kembali dan merakam semula dialog. Saya macam “Apa? Pada masa ini? Adakah mereka yakin?”.
Tetapi selepas perubahan dibuat, ia lebih masuk akal dan jalan cerita lebih baik. Saya pun okay. Tetapi sudah tentu akan ada beberapa adegan yang sangat rumit, dan sangat melecehkan. Saya macam “Ohh, akhirnya ia diluluskan” tetapi tiga bulan kemudian, saya perlu membuat [adegan] itu semula disebabkan kemas kini baharu.
Jelaskan hubungan anda dengan Spider-Man dan mengapa anda mahu menjadi sebahagian daripada Spider-Verse?
Sinyee: Semasa muda-muda dulu, saya menonton filem Spiderman pertama – versi Tobey Maguire. Dan kerana saya sangat menyukainya, saya menonton yang kedua, yang ketiga, dan seluruh filem Amazing Spider Man. Orang ramai menonton keseluruhan siri Marvel tetapi saya menonton keseluruhan siri Spiderman.
Kemudian apabila Spider-Verse pertama keluar, ia mengejutkan saya – gaya seni dan cara mereka menggambarkan pergerakan kamera menggunakan kaedah percetakan mengimbangi seluruh visual. Ia sangat cantik, jadi saya terfikir “siapa yang muncul dengan idea itu?”.
Saya berada di pawagam di mana saya sangat kagum dan membuat hajat selepas menonton filem pertama. Saya berkata “Saya harap saya boleh menjadi sebaik itu” dan dapat menjadi sebahagian daripada mereka. Saya memuat naik kejadian ini sebagai story di media sosial.
Jadi, pada tahun lepas semasa saya bekerja di filem itu, saya macam tidak percaya. Sekarang saya bekerja dengan kru yang menghasilkan filem pertama. Kami adalah rakan sekerja dan bakal menyiapkan yang kedua. Saya tidak percaya ini benar. Adakah saya bermimpi?

Maka, tamatlah temu ramah ini! Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Sinyee Loke kerana sudi menjawab soalan saya tentang Spider-Man: Across the Spider-Verse! Dan sangat berbangga kerana ada orang Malaysia yang bantu menghasilkan filem sehebat ini! Jika anda ingin melihat lebih banyak karya Sinyee, sila layari laman ArtStation – nya di SINI!

Buat mereka yang tidak sabar untuk tonton, anda tidak perlu tunggu lama lagi kerana Spider-Man: Across the Spider-Verse akan ditayangkan di pada 1 Jun ini di Malaysia! Untuk segala info tentang filem animasi ini, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post