Seperti yang dijangkakan oleh Ubisoft, pemasaran untuk Immortals Fenyx Rising sangat luas, di mana permainan tersebut menerima “airtime” yang lama semasa acara Ubisoft Forward pada bulan September lalu. Antara berita yang paling mengejutkan sekarang ialah iklan terbaru untuk permainan kini memfokuskan pada crossover yang tidak dijangka, kerana watak utama Adventure Time, iaitu Finn dan Jake, sedang menjelajah Golden Isle.
Promo ini hanya berdurasi satu minit lebih dan peminat dapat melihat Finn dan Jake sesat di dunia fantasi Immortals Fenyx Rising. Seluruh treler dianimasikan dalam gaya Adventure Time, yang menunjukkan beberapa mercu tanda utama daripada permainan di latar belakang ketika Finn dan Jake meneruskan pengembaraan. Akhirnya, mereka menemui Cerberus yang berkepala tiga, tetapi telah tewas melawan raksasa tersebut. Ketika Cerberus hampir membunuh pasangan ini, mereka diselamatkan oleh Fenyx, yang terbang untuk menyelamatkan mereka dan dengan cepat mengalahkan Cerberus.
Ini sebenarnya bukan kali pertama Adventure Time muncul dalam sesebuah francais permainan video terkenal. Satu episod telah didedikasikan untuk Minecraft pada tahun 2018, dan menyaksikan Finn, Jake, Princess Bubblegum, Marceline, dan lain-lain memasuki dunia Minecraft, membina rumah, dan mengumpulkan berlian.
Kita tidak perlu tunggu lama lagi untuk keluaran Immortals: Fenyx Rising, yang akan dilancarkan pada bulan depan. Dengan “open-world” yang besar, pelbagai jenis raksasa untuk bertarung, banyak peningkatan untuk dikumpul, dan persekitaran yang seronok untuk teroka, Immortals Fenyx Rising akan tersedia pada 3 Disember di PC, PlayStation 4, PlayStation 5, Switch, Xbox One, dan Xbox Series X.

@gamersantaimy
Discussion about this post