Rockstar Games, pembangun di sebalik siri permainan video terkenal Grand Theft Auto, mengumumkan bahawa tarikh pelancaran Grand Theft Auto VI yang amat dinantikan kini ditunda ke 26 Mei 2026.
Pengumuman ini mengecewakan ramai peminat yang sebelum ini mengharapkan ia dilancarkan pada musim luruh 2025 (sekitar September hingga Disember) seperti yang dirancang.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman web mereka, pasukan pembangunan memohon maaf atas penangguhan ini dan menjelaskan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk memastikan kualiti game benar-benar memenuhi jangkaan.
“Kami amat memahami kekecewaan anda kerana penantian ini lebih lama daripada yang dijanjikan,” kata Rockstar. “Namun, kami percaya masa tambahan ini penting untuk memberikan anda pengalaman berkualiti yang anda layak terima.”

Grand Theft Auto VI akan berlatarbelakangkan negeri fiksyen Leonida, yang diinspirasikan daripada Florida, dengan Vice City yang ikonik menjadi fokus utama. Game ini menjanjikan open world yang luas, dipenuhi rujukan terhadap budaya Amerika moden, termasuk fenomena media sosial dan budaya influencer.
Ia juga bakal memperkenalkan protagonis wanita pertama dalam sejarah siri ini, Lucia, yang akan bergandingan dengan pasangannya dalam naratif yang diinspirasikan daripada kisah Bonnie dan Clyde.

Walaupun ramai peminat meluahkan rasa kecewa mereka di platform media sosial, tidak kurang juga yang menyatakan sokongan terhadap keputusan Rockstar untuk mengutamakan kualiti.

Sementara menunggu ketibaan Grand Theft Auto VI pada 2026, peminat masih boleh terus menikmati Grand Theft Auto V, yang kekal popular melalui mod GTA Online yang sentiasa menerima update baharu.
Rockstar Games berjanji akan menghadirkan pengalaman yang luar biasa menerusi ansuran terbaru ini, dan peminat di seluruh dunia kini menantikan maklumat lanjut tentang game yang dijangka mencipta fenomena baharu dalam industri ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post