Bandai Namco secara rasmi mengumumkan Code Vein II, kesinambungan kepada RPG aksi Code Vein yang dilancarkan pada tahun 2019. Sekuel ini dijangka tiba pada tahun 2026 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam.
Dalam Code Vein II, pemain akan kembali menyelami dunia pasca-apokalips di mana manusia dan Revenant—makhluk yang bergantung kepada darah untuk terus hidup—masih berjuang untuk bertahan.
Dunia kini berada di ambang kehancuran akibat kemunculan ancaman misteri yang digelar Luna Rapacis, kuasa gelap yang telah menyebabkan ramai Revenant hilang akal dan berubah menjadi raksasa yang digelar Horrors.

Pemain akan menggalas peranan sebagai seorang Revenant Hunter, yang diberi misi untuk menghalang kejatuhan dunia. Ditemani oleh Lou, seorang gadis misteri yang memiliki keupayaan untuk merentas masa dan mengubah sejarah, pemburu ini perlu merentasi masa lalu untuk mengubah takdir Revenant.
Perjalanan merentas masa ini bukan sahaja mengubah masa depan, malah turut mendedahkan pelbagai rahsia dan kebenaran yang telah lama tersembunyi—semuanya penting untuk memastikan kelangsungan dunia masa kini.

Jalan cerita Code Vein II berlangsung merentasi dua garis masa—masa kini dan masa silam—menawarkan naratif yang berlapis, di mana setiap keputusan dan tindakan pemain akan membawa kesan jangka panjang.
Ketika pemain kembali ke detik-detik penting dalam sejarah, mereka perlu memahami punca sebenar kejatuhan dunia dan berusaha untuk membetulkan nasib yang telah ditentukan.

Dari segi combat, Code Vein II memperkukuh asas mekanik aksi RPG dari game asal dengan combat yang lebih pantas dan memerlukan kemahiran taktikal serta keputusan sepantas kilat.
Pemain boleh menyedut darah dari musuh untuk mengaktifkan abiliti kuat, menyesuaikan gaya bertarung melalui sistem Blood Code yang dinaik taraf, dan menggunakan pelbagai senjata serta kelengkapan boleh ubah suai yang dikenali sebagai Jails.
Sistem build watak baharu turut diperkenalkan, membolehkan fleksibiliti yang lebih tinggi dalam pembangunan skil dan senjata, sekali gus memberikan kebebasan kepada pemain untuk mencipta gaya permainan unik yang sesuai dengan kecenderungan masing-masing.

Seperti game asal, Code Vein II turut menekankan kepentingan watak Partner—sekutu kuat yang akan menemani pemain dalam combat serta memainkan peranan penting dalam penceritaan.
Setiap Partner memiliki skil, gaya bertarung, dan latar belakang tersendiri yang bukan sahaja memperkayakan strategi pertempuran, tetapi juga memberi impak emosi.
Rakan-rakan ini bukan sekadar membantu dalam pertempuran, malah turut meningkatkan keupayaan pemain, mencipta sinergi dinamik yang mampu mengubah keadaan walau dalam situasi paling genting sekali pun.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post