Penerbit Pearl Abyss (Black Desert) dan pembangun Vic Game Studios telah mengumumkan game anime RPG Black Clover Mobile (tajuk tentatif) untuk platform iOS dan Android semalam. Bakal dilancarkan pada 2022 di Jepun sahaja buat masa ini, ia didedahkan dengan treler yang agak panjang semasa acara Jump Festa 2022.
Treler untuk Black Clover Mobile berdurasi kira-kira empat minit dan dari segi reka bentuk, ia nampak seolah-olah seperti game open-world. Ciri utama yang disoroti menunjukkan bahawa pemain boleh alami semula adegan-adegan penting dari anime yang nampaknya menghidupkan siri shonen popular tersebut dengan model watak 3D bergaya.


Selain Asta dan Yuno, anda dapat mengumpul watak Black Clover ciptaan Yuki Tabata untuk membuat pasukan ahli sihir sendiri. Cara untuk memperoleh watak tidak dijelaskan tetapi kerana ia adalah game mobile, kemungkinan besar ada satu atau lebih jenis sistem gacha. Saya tidak boleh jelaskan dengan lebih lanjut, jadi kita hanya mampu tunggu apabila pihak produksi dedahkan maklumat baru.

Selain Black Clover Mobile, sebuah filem anime juga sedang dalam pembikinan di mana mereka mengeluarkan poster visual “Yuno Grinberryall” untuk mempromosikan projek akan datang ini.
Akaun Twitter rasmi untuk Black Clover telah memuat naik ilustrasi di atas yang asalnya didedahkan semasa acara Jump Festa 2022. Poster ini bertujuan untuk menjadi karya pendamping bersama ilustrasi “Asta” yang diumumkan sebelum ini sempena pengumuman asal.
Black Clover ialah siri manga yang dicipta oleh Yuki Tabata dan mula bersiri pada tahun 2015 untuk majalah Weekly Shonen Jump terbitan Shueisha. Sejak itu, ia telah menjadi sangat popular, dengan 30 jilid tankobon setakat Oktober 2021 dan lebih 16 juta salinan dalam edaran.
Adaptasi anime pula dihasilkan oleh studio animasi Pierrot dan mula disiarkan pada Oktober 2017 lalu tamat pada Mac 2021. Siri ini ditayangkan selama 170 episod dan sejak itu berada dalam keadaan “hiatus”, setelah jalan cerita semakin menghampiri sumber manga.
Untuk segala liputan kami tentang anime, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post