Pasti ramai peminat anime dan manga terujua kerana filem live action Wind Breaker berdasarkan karya Satoru Nii baru sahaja mendedahkan trailer baharu, yang memperkenalkan barisan pelakon utama, serta mempamerkan visual watak.
Akan ditayangkan di pawagam Jepun pada Disember 2025, filem ini dijangka menghidupkan dunia penuh aksi dan semangat samseng di Furin High School.
Barisan pelakon yang diumumkan menampilkan nama-nama berbakat, antaranya:
Kōshi Mizukami yang membawa watak utama Haruka Sakura, Taisei Kido sebagai Akihiko Nirei, Keito Tsuna sebagai Hayato Suō, JUNON (daripada kumpulan BE:FIRST) sebagai Kyōtarō Sugishita, Motoki Nakazawa sebagai Tōma Hiragi, serta Shūhei Uesugi sebagai Hajime Umemiya.
Setiap pelakon turut diperkenalkan melalui visual promosi yang disertakan bersama trailer.
Filem live action Wind Breaker diarahkan oleh Kentarō Hagiwara, yang sebelum ini dikenali menerusi hasil kerja seperti Blue Period, Tokyo Ghoul, dan Dragons of Wonderhatch. Penulisan skrip pula digalas oleh Yōsuke Masaike, pemenang Japan Academy Prize, yang turut menulis Anime Supremacy! dan A Girl & Her Guard Dog.
Wind Breaker mengisahkan Haruka Sakura, seorang pelajar samseng yang menyendiri dengan sejarah silam yang gelap. Dia mendaftar di Furin High School, sekolah yang terkenal sebagai tempat berkumpulnya golongan samseng handal.
Dengan tekad untuk menjadi yang paling hebat, Sakura pada awalnya memandang rendah mereka yang lemah serta tidak mempercayai semangat berpasukan.
Namun, pertemuannya dengan Bofurin — sekumpulan pelajar yang menggunakan kekuatan mereka untuk melindungi bandar — mula mengubah cara pandangnya, membawa kepada ikatan persahabatan yang tidak dijangka dan perkembangan diri.

Dilancarkan pada Januari 2021 melalui aplikasi Magazine Pocket milik Kodansha, manga Wind Breaker telah mencuri perhatian ramai dengan aksi penuh intensiti dan jalan cerita yang menyentuh emosi.
Kejayaannya membuka jalan kepada adaptasi anime oleh studio CloverWorks (dikenali dengan Spy x Family dan Horimiya), dengan Season 1 disiarkan dari April hingga Jun 2024 sebanyak 13 episod.
Season 2 pula baru sahaja melabuhkan tirai, ditayangkan dari 4 April hingga 20 Jun 2025, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu siri paling popular masa kini.
@gamersantaimy
Discussion about this post