Big Sight East Exhibition di Tokyo membara dengan semangat apabila Evo Japan 2025 melabuhkan tirainya, menyaksikan lahirnya juara-juara baru serta kembalinya nama-nama besar dalam beberapa fighting game paling popular di dunia.
Selain pertarungan yang mendebarkan, acara ini turut membawa pelbagai pengumuman penting — daripada watak baharu, kemas kini menarik, sehinggalah projek-projek baharu — memanaskan suasana menjelang Evo 2025 pada bulan Ogos nanti.
Dengan musim baru sahaja bermula, berikut adalah sorotan utama sepanjang hujung minggu yang lalu.
Granblue Fantasy Versus: Rising Memperkenalkan Galleon
Cygames bersama Arc System Works mengumumkan bahawa Galleon, watak DLC seterusnya untuk Granblue Fantasy Versus: Rising melalui Character Pass Season 2, bakal dilancarkan pada 28 Mei ini.
Galleon merupakan pakar dalam jarak dekat hingga sederhana, menggunakan “command throws”, memanggil “Meteorites” untuk menyekat pergerakan lawan, serta melepaskan Seism yang boleh melambung musuh ke udara sebelum menghentam mereka ke tanah, sekali gus memaksa lawan bermain lebih bertahan.
Guilty Gear: Strive Memperkenalkan Unika
Arc System Works turut mengesahkan bahawa Unika akan menyertai barisan watak Guilty Gear: Strive sebagai DLC baharu bermula 27 Mei ini. Unika adalah wajah baru yang pertama kali muncul dalam anime Guilty Gear Strive: Dual Rulers, yang mula ditayangkan pada April 2025.
Tekken 8 Melancarkan Fahkumram dan Jadual Kemas Kini
Bandai Namco pula memperkenalkan Fahkumram sebagai watak DLC baharu untuk Tekken 8, yang dijangka muncul musim panas ini. Selain itu, tiga kemas kini besar turut diumumkan:
- Versi 2.01 (13 Mei): Memperkenalkan Tekken Ghost Showdown di Tekken Fight Lounge, pek berbayar Cyber Phantom dan Vigilante Tech di Tekken Shop, serta pelarasan keseimbangan.
- Versi 2.02 (3 Jun): Menampilkan kolaborasi Karate Kid: Legends, hoodie percuma, vision takeover, kostum klasik baharu, kostum berbayar untuk Kuma, Panda dan Dragunov, selain kostum warna percuma serta pelarasan keseimbangan.
- Versi 2.03 (Musim Panas): Membawakan kolaborasi bersama PAC-MAN, termasuk Battle Stage Pac-Pixels, T-shirt percuma bersempena ulang tahun ke-45 PAC-MAN, plushie ghost, kosmetik eksklusif, Fight Pass Round 6, dan pelarasan keseimbangan tambahan.
Projek Baharu Virtua Fighter dan Tambahan R.E.V.O. di Platform Lain
SEGA dan Ryu Ga Gotoku Studio mengumumkan berita besar mengenai Virtua Fighter. Projek Virtua Fighter baharu, yang masih belum mempunyai tajuk rasmi atau tarikh keluaran, mengesahkan Wolf Hawkfield sebagai watak yang boleh dimainkan, dengan butiran lanjut akan diumumkan di Virtua Fighter Direct 2025 Spring.
Pada masa sama, Virtua Fighter 5 R.E.V.O., yang telah dilancarkan di PC (Steam) pada Januari lalu, akan diperluaskan ke PlayStation 5, Xbox Series, dan Switch 2. Versi konsol ini akan menyokong cross-platform play serta netcode rollback bagi pengalaman perlawanan dalam talian yang lebih lancar.
Menurut penerbit Seiji Aoki, edisi konsol ini bukan sekadar port biasa, malah akan hadir bersama kandungan tambahan, dengan butiran lanjut bakal didedahkan kemudian.
@gamersantaimy
Discussion about this post