Ejen Ali Musim 3 bahagian 2 akan ditayangkan tidak lama lagi. Kami pasti mesti ramai antara anda yang mungkin sudah lupa plotnya dan tiada masa untuk menonton semula bahagian 1. Jangan risau kerana kami akan ceritakannya semula kepada anda semua secara ringkas dan padat. Tanpa membuang masa, jom kita teruskan.
Musim terbaru Ejen Ali meneruskan penceritaan daripada Ejen Ali: the Movie yang telah ditayangkan pada 2019. Kita telah melihat Ali menyerahkan kembali IRIS kepada MATA dan meneruskan tugasnya sebagai ejen tanpa gajet tersebut.
AMARAN! ADA SPOILER EJEN ALI MUSIM 3 PART 1!!
Ali yang kini berazam untuk menjadi ejen hebat seperti ibunya, berusaha melatih dirinya di Akademi MATA. Semasa latihan, ejen-ejen telah diperkenalkan dengan empat ejen antarabangsa iaitu Rizka, Sam, Aleks dan Kim. Memang huru-hara jadinya semasa latihan tersebut. Selesai sahaja latihan itu, Ali dan ejen yang lain diperkenalkan dengan Pertandingan MATA Arena, satu gelanggang hebat yang menguji kebolehan ejen. Melihat ibunya pernah menjuarai pertandingan itu, sudah tentu Ali semakin bersemangat untuk lakukan yang terbaik.
Sumber: Youtube Ejen Ali
Pada masa yang sama, Cinco masih tidak berputus asa dan mencuba sekali lagi untuk menumpaskan MATA dan menawannya. Kali ini dia telah bergabung semula dengan Numeros setelah Uno tiada.
Sumber: Youtube Ejen Ali
MATA Arena dimulakan dengan perlumbaan antara ejen. Walaupun ketiadaan IRIS, Ali mampu menghabiskan perlumbaan itu dengan baik dan berjaya mendapat tangga keempat dalam pertandingan itu. Ini membolehkan Ali untuk menaik taraf senjatanya, di mana dia memilih untuk menggunakan Sut Magnetik TEKNO untuk membuatkan gasingnya berputar lebih laju.
Sumber: Youtube Ejen Ali
Bandar Cyberaya pula kini diambil alih oleh Dato’ Hisham. Tetapi rancangannya yang ingin menyebarkan teknologi dan pengetahuan Cyberaya ke seluruh dunia membuatkan Ejen Dayang dan Ganz bimbang.
Ejen Rizwan pula masih meneruskan misinya untuk mencari Cinco bersama Dos. Walaupun sudah dipujuk oleh Dos untuk menghentikan pencarian itu, dia masih berkeras untuk mendapatkan punca sebenar kejadian yang telah menimpanya.
Sumber: Youtube Ejen Ali
Kembali semula ke MATA Arena, banyak juga perkara yang berlaku. Daripada musuh kini menjadi kawan, ejen-ejen muda MATA memulakan pusingan berkumpulan mereka di Pusat Sains Cyberaya. Elok sampai ke lokasi penamat, bayangkan terkejutnya Ali dan Alicia melihat ejen Rizwan masih hidup dan bersama dengan Dos. Dengan kehadiran pengawal di tempat itu, mereka kini berlawan antara satu sama lain.
Sumber: Youtube Ejen Ali
Sudah habis satu benda, benda lain pula yang terjadi. Alangkah terkejutnya apabila enjin turbo yang dikuasakan Azurium telah diaktifkan dan merosakkan pusat sains tersebut. Ali dan rakan-rakannya berusaha untuk menyelamatkan orang ramai. Semua Mentor ejen yang menjumpai Rizwan juga telah ditumpaskan. Tetapi ada satu benda yang betul-betul membuatkan ramai penonton terkejut untuk bahagian pertama ini.
Sumber: Youtube Ejen Ali
Rupa-rupanya, Kim bekerja di bawah Cinco untuk mendapatkan maklumat mengenai MATA. Dia kini diberikan tugas baru oleh Cinco dan nampaknya Kin seperti keberatan untuk melakukannya.
Tidak sabar pula untuk menonton sambungannya dalam bahagian 2 nanti. Siapalah agaknya yang akan menjadi pemilik IRIS selepas ini? Apa pun, anda jangan lupa untuk menonton Ejen Ali musim 3 di Disney+ Hotstar pada 24 Disember ini! Untuk mendapatkan liputan lain mengenai animasi daripada kami, sila klik pautan ini.
Terperangkap dalam game gacha (grind sampai habis bateri fon).
Game rhythm dan JRPG memang berpisah tiada. Kadang-kadang melukis sambil layan stream VTuber.
Discussion about this post