Semalam, kita dah lihat perlawanan pasukan Dota 2 wanita Malaysia mendominasi perlawanan Grand Final dengan menundukkan pasukan England dengan skor 2-0 sekali gus menyumbang pingat emas kepada negara. Manakala perlawanan Grand Final bagi pasukan Dota 2 lelaki Malaysia pula telah berlangsungnya awal pagi tadi dengan pasukan Malaysia berjaya mendapatkan pingat emas selepas menundukkan pasukan daripada England dengan skor 2-1.
Pasukan Dota 2 lelaki diwakili oleh William “MangO” Yeoh, Ahmad “Ahyad” Ayhad Husam, Denise “Wonder’boy” Danial Abdullah, Chung “Ws`” Wei Shen, Pang “ponyo” Sze Xuan, dan Yong “LOyd” Bing Jie.
Sebelum mereka melangkah ke Grand Final, pasukan Malaysia berjaya mengalahkan kesemua pasukan negara lain. Pada perlawanan pertama, mereka telah berjumpa dengan pasukan New Zealand dan berjaya mengalahkan dengan skor 1-0 sekali gus melangkah ke play-off.
Pada play-off, mereka berjaya mengalahkan pasukan India dengan rekod bersih tanpa kalah iaitu 2-0 sekali gus berjaya mendapatkan tempat di Grand Final. Dengan berjaya menempah tempat di Grand Final, mereka sudah menggenggam pingat perak di tangan. Namun, mereka tidak henti di situ sahaja dan bekerja dengan sangat keras untuk memenangi pingat emas untuk Malaysia.
Perlawanan Grand Final, kita dapat menyaksikan pasukan Malaysia bertemu dengan pasukan England buat kali pertama. Format Grand Final adalah “best-of-three”. Pasukan Malaysia nampak begitu selesa pada pusingan pertama dengan mendominasi perlawanan dengan skor 38-15.
Tetapi pasukan England tidak mengalah dengan memberikan perlawanan yang sengit pada pusingan kedua. Pasukan England berjaya mengejar kembali dan memenangi pusingan kedua dengan skor 33 berbalas 22 kepada pasukan Malaysia. Perlawanan Grand Final dibawa sehingga ke pusingan terakhir iaitu ketiga.
Pada pusingan terakhir, pasukan Malaysia nampaknya bermula dengan perlahan dan agak ketinggalan tetapi pasukan Malaysia tidak berputus asa untuk membuat “comeback” pada “mid-game” dan juga “late game”. Perlawanan berakhir dengan pasukan Malaysia membuat “comeback” pada skor 38 berbalas 25.

Dengan kemenangan pasukan Dota 2 lelaki, Malaysia telah berjaya membawa pulang 3 pingat emas sekali gus menduduki carta tertinggi dalam kejohanan esport Komanwel. Apapun, kami mengucapkan tahniah kepada semua pemenang Malaysia!
Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak berita menarik mengenai game, anime, teknologi dan banyak lagi daripada kami.
@gamersantaimy
Discussion about this post