Selepas melalui tempoh akses awal, Dragon Ball: Sparking Zero kini telah dilancarkan secara rasmi dengan 182 watak yang boleh dipilih. Namun, ini hanyalah permulaan kepada rancangan besar Bandai Namco yang bakal menambah pelbagai DLC ke dalam game Dragon Ball: Sparking Zero.
Season pass yang diumumkan sebelum ini telah mengesahkan kemasukan kandungan daripada siri Dragon Ball Daima dan Dragon Ball Super: Super Hero dalam DLC yang akan datang.
Walaupun sebelum ini masih menjadi tanda tanya, kini Bandai Namco telah menjelaskan bahawa salah satu DLC akan memfokuskan kepada Dragon Ball Super: Super Hero manakala dua lagi akan mengambil inspirasi daripada Dragon Ball Daima.
Lebih menarik, tarikh pelancaran untuk DLC ini kini telah didedahkan.
Jadual pelancaran DLC ini diperoleh daripada halaman Season Pass di Steam, yang boleh dibeli secara berasingan daripada game asas. Bandai Namco mengesahkan bahawa Season Pass ini akan memperkenalkan “lebih daripada 20 watak yang boleh dimainkan”, dan dua watak pertama akan dilancarkan seawal suku pertama 2025.

Mengikut jadual, DLC pertama yang berfokuskan Dragon Ball Super: Super Hero dijangka akan dilancarkan pada Q1 2025. Selepas itu, DLC kedua yang memaparkan kandungan dari Dragon Ball Daima akan turut menyusul dalam suku yang sama.
Ini bermakna DLC Dragon Ball Super: Super Hero mungkin akan dilancarkan seawal Januari tahun depan.
Seterusnya, DLC ketiga yang menampilkan lebih banyak watak daripada Dragon Ball Daima dijangka akan dilancarkan pada Q2 2025.

Promosi seni untuk Season Pass Dragon Ball: Sparking Zero sudah pun memberi petunjuk bahawa watak Gamma 1 dan Gamma 2 akan ditambahkan, dengan watak-watak lain yang dijangka termasuk Orange Piccolo, Cell Max, dan Gohan Beast.
Versi mini Goku dari Dragon Ball Daima juga sudah tersedia dalam game ini, jadi kemungkinan besar versi mini beberapa watak lain dari anime baru tersebut juga akan diperkenalkan nanti.
Bagi mereka yang tidak memiliki Season Pass, DLC ini boleh dibeli secara berasingan apabila ia dilancarkan. Namun, jika memiliki Season Pass, anda akan menikmati akses awal tiga hari sebelum pelancaran DLC, sama seperti pemain yang membeli Dragon Ball: Sparking! Zero Deluxe Edition.
@gamersantaimy
Discussion about this post