Sebelum pelancaran rasminya pada awal bulan Jun, Blizzard Entertainment telah mengumumkan bahawa Diablo IV kini dinilai sebagai ‘Gold‘ dan sudah siap untuk diedarkan.
Dikongsi melalui akaun Twitter rasmi Diablo, Blizzard mengesahkan bahawa pembangunan Diablo IV (buat masa sekarang) telah selesai. Bak kata orang putih, Diablo IV telah mencapai pensijilan “Gold” yang bermaksud ia kini siap sedia untuk memulakan proses pembuatan dan penghantaran secara besar-besaran.
Selepas pelancaran rasmi, Blizzard pasti akan terus sambung mengusahakan Diablo 4 bagi menambah update, DLC, expansion dan sebagainya pada masa akan datang. Sempena pencapaian ini, pengurus besar Diablo, Rod Fergusson berkata;

“Mendapat Gold merupakan peristiwa penting bagi pasukan Diablo IV yang hebat, yang semuanya telah bekerja keras untuk menghasilkan ansuran generasi seterusnya bagi francais ikonik ini.“
“Ini merupakan langkah konkrit dan bermakna ke arah pelancaran kami pada 6 Jun. Sama ada [anda] pemain veteran dalam francais atau mencuba buat kali pertama, kami tidak sabar untuk semua orang mengalami game penuh: mengambil bahagian dalam penceritaan yang luar biasa, bereksperimen dengan kelas dan build, dan meneroka apa yang boleh ditawarkan dalam endgame dan dunia gelap Sanctuary.”
Buat mereka yang tidak tahu, Diablo IV adalah ARPG di mana pemain boleh menyertai perjuangan untuk menyelamatkan dunia Sanctuary yang gelap dan gothic daripada Blessed Mother Lilith, sambil melawan gerombolan syaitan sepanjang jalan.

Ciri-ciri utama:
- Main bagaimana anda suka – Pemain mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini untuk mencipta watak fantasi yang mereka inginkan. Pilih daripada lima kelas watak, pelbagai kosmetik dan macam-macam kemahiran serta tentukan laluan yang anda mahu untuk menerokai dunia.
- Gameplay open-world – Lengkap dengan kempen cerita penuh, 120+ dungeon, berpuluh-puluh side quest, sejumlah world boss dan banyak lokasi untuk diterokai.
- Sistem Endgame baharu – Pemain boleh terus berkembang dan menguji kemahiran mereka di endgame melalui Paragon Board yang besar, zon player vs player, Nightmare Dungeon, Helltide, dan Tree of Whispers.
Diablo IV bakal keluar di PlayStation 5, Xbox Series, PlayStation 4, Xbox One dan PC melalui Battle.net pada 6 Jun. Baca segala liputan kami tentang game ini di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post