CyberConnect2 bersama Aniplex dan Sega membawa kembali aksi mendebarkan Demon Slayer dalam sekuel yang dinanti-nantikan, Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles 2.
Akan dilancarkan pada 1 Ogos 2025, game ini akan tersedia di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X/S, Xbox One, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam.
Sekuel kepada game pertama ini meneruskan kisah Tanjiro Kamado, seorang pahlawan muda yang berjuang menumpaskan iblis sambil mencari jalan untuk memulihkan semula kemanusiaan adiknya, Nezuko.
Berdasarkan manga dan anime karya Koyoharu Gotouge, game kali ini mengadaptasi babak penting daripada Entertainment District Arc, Swordsmith Village Arc, dan Hashira Training Arc, meneruskan perjalanan selepas Mugen Train Arc.
Melalui Story Mode, pemain dapat mengalami semula pertarungan sengit dengan campuran eksplorasi, cutscene yang sinematik, dan boss battle epik menentang iblis menggerunkan.

Versus Mode kembali dengan senarai watak yang lebih besar, menampilkan lebih 40 watak boleh dimainkan. Selain watak asal dari game pertama dan mereka yang ditambah melalui update percuma, versi kali ini turut memperkenalkan kesemua sembilan Hashira, seperti Muichiro Tokito dan Mitsuri Kanroji.
Sistem pertarungan juga telah dikemas kini dengan visual yang lebih baik serta mekanik baharu seperti Dual Ultimate untuk kombinasi watak tertentu, menjadikan pertempuran lebih dinamik dan strategik.

Dengan pra-tempahan untuk edisi digital kini dibuka, peminat boleh menjangkakan pengalaman gameplay yang lebih mantap berbanding pendahulunya. Untuk maklumat lanjut tentang Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles 2, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post