Siapa sahaja tidak suka pada Pokémon, betul tidak? Pada bulan Julai yang lalu, acara Pokémon Trading Card Game Asia EN Open Summer 2023 telah berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, Malaysia! Kami telah berpeluang untuk menemu ramah empat pemain terbaik Pokémon Trading Card Game Jepun iaitu: Takeru Yamano, Shintaro Ito, Ryota Ishiyama dan Nedu Nachi. Jadi tanpa membuang masa, berikut adalah hasil temu ramah tersebut!
Takeru Yamano

Pemain pertama yang kami temu ramah adalah Takeru Yamano, seorang pemain yang sudah tidak asing lagi dengan kejohanan Pokémon Trading Card Game. Kalau anda ingin tahu, Yamano merupakan juara untuk PJC 2022 Master League dan mendapat tempat ketiga dalam CL 2017 Miyagi Master League.
Kami sempat bertanya kepada Yamano jika dia masih ikuti atau sertai acara lokal walaupun sudah menjadi pemain profesional. Dia memberitahu bahawa dia jarang pergi ke kedai kad lokal. Tetapi, dia banyak menghabiskan masanya bermain bersama rakan-rakan yang turut meminati kad Pokémon.
Apabila ditanya tentang dek pertama yang digunakan, Yamano mendedahkan bahawa 19 tahun yang lalu semasa dia mula bermain Pokémon Trading Card Game, dek pertamanya adalah dek Steelix.

Dia turut menyatakan bahawa bapanya juga main Pokémon Trading Card Game dan sering berlatih bersamanya. Tetapi bermula sekolah menengah rendah dan menengah tinggi, dia mula berlatih dengan rakannya.
Kami sempat bertanya mengenai dek yang digunakan oleh bapanya semasa bermain dengannya. Dia menjawab:
“Bapa saya sebenarnya masih aktif bermain Pokémon Trading Card Game. Dia menggunakan dek yang sangat pelik dari dulu sehingga sekarang. Baru-baru ini, bapa saya menggunakan kad Kyurem VMAX dengan kad 30 energy dalam dek tersebut. Jadi separuh daripada dek tersebut hanyalah Energy Card.”

Shintaro Ito

Seterusnya, kami berjumpa dengan Shintaro Ito, juara Pokémon WCS2016 Master Division dan juga Runner Up untuk WCS2019 Masters Division. Bukan setakat itu sahaja, dia juga pemenang untuk Battle Carnival 2013 Spring Nagoya serta salah seorang wakil dalam Pokémon Card: Elite Four untuk penggal kedua, ketiga, keempat dan kelima.
Kalau anda ingin tahu, Ito sangat dikenali dalam komuniti pemain kerana kombinasi deknya yang menarik. Apabila ditanya tentang kombinasi dek yang disukainya, Ito memberitahu bahawa kombinasi dek kesukaannya berpusat pada Greninja GX, Meganium dan Swampert. Dia suka dek tersebut kerana keunikannya di mana ia hanya ada satu kad Super Boost Energy. Dek tersebut dinamakan “Kaeroop” yang merupakan gabungan perkataan “Kaeru” yang bermaksud katak dan “Roop” yang membawa makna gelung (loop).
Kad lain yang dia suka masukkan ke dalam deknya adalah Professor’s Research, yang boleh reset kad yang ada pada tangan. Ito memberitahu bahawa kad tersebut sangat berguna. Walaupun ia bukan satu keperluan, tetapi Ito suka kad tersebut dalam deknya.

Bukan selalu pemain mengongsikan kombinasi dek mereka kepada orang awam tetapi berbeza dengan Ito. Dia sendiri mempunyai saluran Youtube di mana dia mengongsikan cara dia membina dek uniknya. Ito memberitahu bahawa dek yang digunakannya dalam kejohanan mengambil masa yang lama untuk dibina dan sukar untuk kongsikan dek tersebut sebelum bermulanya acara. Tetapi dia kata dia akan kongsikannya juga, tetapi selalunya selepas kejohanan.
Ramai pemain permulaan suka netdecking semasa mencuba TCG. Apabila kami bertanya Ito mengenai pendapatnya terhadap netdecking, dia menjawab bahawa dia setuju untuk pemain baru untuk netdecking kerana ianya satu cara yang baik untuk mula bermain. Dia juga berharap mereka yang selalu netdecking akan menjumpai keseronokan membina dek mereka tersendiri nanti. Tambahnya, dia harap lebih ramai orang yang akan membina dek.
Ryota Ishiyama

Pemain ketiga yang kami temu ramah, Ryota Ishiyama merupakan pemenang tempat ketiga dalam Pokémon WCS2022, tempat ketujuh dalam WCS 2019 termasuklah wakil penggal keempat dan kelima dalam Pokémon Card: Elite Four.
Apabila ditanya mengenai gaya bermain kesukaannya, Ishiyama menjawab bahawa dia suka bermain secara sangat agresif dan sekarang ini dia menggunakan Giratina yang sememangnya bagus untuk dek ofensif.

Ishiyama nampaknya sangat sukakan Dewgong kerana apabila kami tanya tentang Pokémon yang sering ditambah pada deknya, dia dengan terujanya menunjuk kepada patung Dewgong yang dibawa bersama.

Pandemik yang berlaku beberapa tahun yang lalu, menyukarkan pemain untuk bertemu dan bermain Pokémon Trading Card Game. Ishiyama memberitahu bahawa dia sebenarnya banyak kali bermain bersama kawannya melalui Zoom atau pun Skype. Tambahnya lagi, dia berlatih battle seminggu sekali bersama mereka.
Nedu Nachi

Pemain terakhir yang kami sempat berjumpa adalah Nedu Nachi, juara kepada Pokémon Japan Championship 2023! Apabila bertanya tentang perasaannya setelah memenangi kejohanan tersebut, Nachi berkata bahawa dia sangat gembira dan tidak sabar untuk berjumpa dan bertarung dengan pemain luar negara yang akan datang untuk World Championship.
Menyentuh topik mengenai dek yang dia suka gunakan, Nachi menjawab bahawa dia berharap untuk menang menggunakan dek Mew VMAX, yang merupakan dek yang dia akan gunakan semasa World Championship pada Ogos ini.

Kami juga sempat bertanya tentang dek pertama yang digunakannya sebelum dia sertai acara peringkat profesional. Nachi memberitahu bahawa dek yang digunakannya memaparkan Latias & Latios-GX kerana ia merupakan Pokémon kegemarannya.
Apabila ditanya jika dia akan gunakan dek Latias & Latios-GX untuk kejohanan pada masa depan, Nachi menjawab bahawa dia ingin menggunakannya tetapi dia juga perlu menang. Dia tahu bahawa Latias & Latios-GX ada dalam Fusion Strike. Jadi dia akan gunakan sesuatu yang sama dan berharap supaya dapat menggunakannya lagi satu hari nanti.
Dengan soalan terakhir dijawab oleh Nedu Nachi, maka berakhirlah sesi temu ramah kami bersama empat pemain terbaik Pokémon Trading Card Game Jepun. Terima kasih banyak-banyak kepada Takeru Yamano, Shintaro Ito, Ryota Ishiyama dan Nedu Nachi kerana meluangkan masa bersama kami untuk sesi temu ramah ini. Semoga berjaya dalam kejohanan yang seterusnya!
Pokémon World Championship 2023 akan berlangsung di Yokohama, Jepun pada 11 sehingga 13 Ogos 2023. Anda boleh lawati laman web rasmi acara untuk maklumat lanjut.
©️️2023 Pokémon. ©️️1995–2023 Nintendo / Creatures Inc. / GAME FREAK inc. TM, ®, dan nama watak adalah tanda dagangan Nintendo.
@gamersantaimy
Discussion about this post