Seperti yang anda baca daripada tajuk, CS:Legacy ialah sebuah remake kepada Counter-Strike 1.6 yang dibangunkan oleh peminat, hasil usaha Midnight Madness. Tidak seperti mod biasa, ia dibina sepenuhnya dari awal menggunakan Valve’s 2013 Source Engine SDK, lengkap dengan kod khas dan aset original yang dicipta sendiri.
Walaupun bukan produk rasmi Valve, projek ini bertujuan untuk menghidupkan semula pengalaman klasik Counter-Strike 1.6, sambil menambah baik aspek teknikal untuk menyesuaikan diri dengan era moden.
CS:Legacy berpegang teguh pada intipati asal CS 1.6—gameplay yang kompetitif dan mekanik kawalan yang tepat. Ia mengekalkan keseimbangan senjata, termasuk pergerakan pantas seperti bunny hopping dan sistem tembakan AK-47 yang membolehkan one-tap headshot.
Tiada ciri moden seperti sistem CS:GO, menjadikan CS:Legacy sebagai pengalaman yang benar-benar berakar pada era kegemilangan Counter-Strike.

Peta klasik seperti de_dust2, cs_assault, dan de_inferno juga dibangunkan semula dengan teliti. Reka bentuk asal dikekalkan, tetapi dengan sentuhan visual yang lebih sesuai dengan enjin game yang diperbaharui.
Walaupun begitu, CS:Legacy tidak cuba meniru estetika ultra-moden seperti CS2—sebaliknya, ia mengekalkan rupa klasik dengan bentuk yang lebih tajam sambil memanfaatkan tekstur dan model yang lebih baik.

Dari segi teknikal, enjin Source yang digunakan menawarkan netcode yang lebih lancar, sokongan resolusi moden, dan prestasi yang dioptimumkan untuk perkakasan hari ini.
Tidak seperti versi original yang memerlukan patch pihak ketiga, CS:Legacy memberikan pengalaman yang lebih lancar tanpa perlu berdepan dengan UI lama, kekangan server, atau isu keserasian.

Setakat sekarang, CS:Legacy masih dalam fasa pembangunan aktif. Midnight Madness telah berkongsi beberapa teaser awal, menunjukkan versi awal peta de_dust2 dan cs_assault dalam enjin baharu.
Pada masa ini, ia berada dalam fasa beta tertutup yang boleh diakses oleh penyokong di Patreon, dengan perancangan untuk melancarkan versi Early Access di Steam menjelang akhir 2025. Malangnya, tarikh pelancaran rasmi masih belum disahkan.
@gamersantaimy
Discussion about this post