COLORFUL STAGE! The Movie: A Miku Who Can’t Sing membawa dunia penuh warna dari game irama popular Project Sekai Colorful Stage! feat. Hatsune Miku ke layar perak buat pertama kalinya.
Berlatar di jalanan sibuk Shibuya dan dunia misteri Sekai — sebuah alam yang mencerminkan keinginan terdalam seseorang — filem ini mempersembahkan sebuah kisah original dengan Hatsune Miku versi baharu yang tidak mampu menyanyi.
Apabila Miku bertemu dengan watak-watak kesayangan dari game tersebut, dia memulakan perjalanan penuh emosi untuk mencari identiti dirinya, sambil menganyam muzik dan impian remaja dalam sebuah kisah berwarna-warni tentang pertumbuhan peribadi dan nilai persahabatan.
Permulaan Sebuah Perjalanan Penuh Emosi
Cerita bermula dengan kemunculan Hatsune Miku yang misterius, yang bertanya, “Tolong beritahu saya tentang diri awak. Mungkin dengan itu saya akan tahu cara untuk menyanyi.” Hoshino Ichika, seorang remaja, terdengar sebuah lagu nyanyian Hatsune Miku yang tidak pernah didengarnya sebelum ini.
Terkejut, dia mendongak dan melihat skrin yang memaparkan Miku, yang tidak dikenali. Dia memanggil, namun Miku tersebut tiba-tiba menghilang.

Beberapa hari kemudian, selepas satu persembahan jalanan, Miku misteri itu muncul pula di telefon Ichika. Miku berkongsi keinginannya untuk membawa muzik kepada orang lain, tetapi walaupun dia mencuba sehabis mungkin, tiada siapa yang dapat mendengar suaranya.
Melihat betapa muzik Ichika mampu menyentuh hati penonton dalam persembahannya, Miku mendapat harapan baru. Dia percaya bahawa jika dia dapat memahami Ichika, mungkin dia juga akan menemui suaranya sendiri.
Tersentuh dengan permintaan itu, Ichika bersetuju untuk membantu, sekaligus memulakan sebuah perjalanan baru tentang persahabatan, muzik, dan penemuan antara Hatsune Miku dan remaja-remaja dari Project Sekai.

Bagi mereka yang belum pernah bermain Project Sekai, permulaan filem ini mungkin sedikit mengelirukan apabila pelbagai watak muncul tanpa pengenalan terperinci. Filem ini terus meluncur ke dalam cerita tanpa memperkenalkan kumpulan-kumpulan watak, yang mungkin menyukarkan penonton baru untuk mengenali siapa mereka.
Seperti dalam game asal, filem ini menggabungkan lima kumpulan utama, masing-masing dengan identiti dan tema mereka sendiri: Leo/need, kumpulan sahabat zaman kanak-kanak; MORE MORE JUMP!, pasukan idola yang bercita-cita tinggi; Vivid BAD SQUAD, kumpulan muzik jalanan yang penuh semangat; Wonderlands x Showtime, kumpulan persembahan muzikal yang berwarna-warni; dan 25-ji, Nightcord de., kumpulan pencipta muzik online yang penuh misteri.
Filem ini mengandaikan penonton sudah mengenali latar belakang mereka, jadi bagi yang baru, mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

Dari segi naratif, filem ini lebih cenderung kepada genre slice-of-life, memberi tumpuan kepada emosi seharian, pertumbuhan peribadi, dan hubungan yang tulen, berbanding aksi atau drama dramatik. Bagi saya, perkembangan cerita ini agak menyenangkan — tenang, dan mudah diikuti.
Rentaknya perlahan namun memuaskan, seolah-olah kita hanya memerhatikan perjalanan watak-watak ini memahami satu sama lain dan diri mereka sendiri melalui muzik. Ceritanya tidak berbelit, menjadikan pengalaman menontonnya begitu santai.
Detik-detik emosinya terasa jujur dan menyentuh hati, dan walaupun ada sedikit unsur misteri melalui watak Miku yang baharu ini, keseluruhan kisah tetap mudah difahami dan dekat di hati.
Secara keseluruhan, ia adalah pengalaman menonton yang menyentuh emosi, dan sangat sesuai untuk dinikmati walaupun anda tidak mengenali Project Sekai.
Muzik sebagai Nadi Cerita
Lagu dan muzik memainkan peranan yang amat penting dalam filem ini, menjadi fokus utama kepada keseluruhan penceritaan. Hatsune Miku yang misterius mengembara ke pelbagai dunia berbeza, bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang masing-masing mempunyai gaya muzik dan kisah mereka sendiri.
Sepanjang filem ini, memang seronok menikmati pelbagai jenis lagu Miku yang dipersembahkan.

Sebagai peminat Vocaloid, saya benar-benar teruja mendengar dan melihat lagu-lagu ikonik seperti Ghost City Tokyo dipersembahkan. Lagu original seperti Hello, Sekai ciptaan DECO*27 juga sangat memukau.
Kehadiran ramai penerbit Vocaloid terkenal yang menyumbangkan karya mereka untuk filem ini menambahkan lagi keindahan dan sentuhan nostalgia kepada dunia Project Sekai.

Bukan itu sahaja, filem ini turut menampilkan beberapa lagu original baru yang dicipta khas untuk tayangan ini. Jadi, jika anda peminat Project Sekai, bersedialah untuk menikmati muzik-muzik baru yang berpotensi menjadi kegemaran anda pada masa akan datang.
Jambatan antara Filem dan Game
Project Sekai terus mengukuhkan hubungannya dengan game original melalui kolaborasi istimewa. Penonton berpeluang mendapatkan kod khas untuk menebus ganjaran dalam game, menambahkan lagi kegembiraan buat para peminat.
Pastikan anda tidak tergesa-gesa meninggalkan pawagam selepas filem berakhir, kerana ada dua kejutan menanti selepas kredit!

Yang pertama ialah sebuah teaser ringkas yang memberikan teaser tentang kemunculan Hatsune Miku versi filem dalam game. Seterusnya, ada satu momen seakan-akan konsert encore, di mana penonton diajak untuk melambai lightstick dan bersorak bersama untuk Miku. Namun begitu, rakaman video semasa bahagian ini adalah dilarang.
Detik-detik istimewa ini menjadikan keseluruhan pengalaman menonton terasa lebih interaktif dan mengujakan — jauh melangkaui pengalaman biasa menonton filem.

Pendapat

COLORFUL STAGE! The Movie: A Miku Who Can’t Sing bukan sekadar sajian visual dan muzik semata-mata, tetapi sebuah pengalaman lengkap untuk para gamer dan peminat. Dengan penceritaan yang menyentuh hati, pilihan muzik yang pelbagai, serta animasi yang memukau, filem ini benar-benar menangkap semangat yang membuatkan Project Sekai begitu istimewa.
Ditambah pula dengan elemen kolaborasi game, kejutan selepas kredit, dan detik encore interaktif, ia menawarkan lebih daripada sekadar pengalaman menonton biasa untuk komuniti peminat Miku.
Semak pawagam terdekat anda untuk menonton filem ini!
@gamersantaimy
The Review
COLORFUL STAGE! The Movie: A Miku Who Can't Sing
COLORFUL STAGE! The Movie: A Miku Who Can't Sing bukan sekadar sajian visual dan muzik, tetapi pengalaman lengkap untuk gamer dan peminat. Dengan penceritaan menyentuh hati, muzik pelbagai, animasi memukau, serta elemen kolaborasi game, kejutan selepas kredit, dan detik encore interaktif, filem ini berjaya menangkap semangat Project Sekai dan menawarkan lebih daripada sekadar tontonan biasa untuk komuniti Miku.
PROS
- Pemilihan muzik yang hebat, menampilkan lagu ikonik game dan lagu original baru
- Animasi indah oleh P.A. Works
- Cerita penuh emosi dengan daya tarikan slice-of-life
- Kejutan selepas kredit, termasuk konsert encore mini yang meningkatkan pengalaman teater
- Setia kepada dunia dan watak game, sesuai untuk peminat
CONS
- Kekurangan pengenalan watak mungkin mengelirukan penonton yang tidak biasa dengan game
- Beberapa rujukan dan detik mungkin lebih bermakna kepada peminat berbanding penonton umum
Discussion about this post