Coffee Talk Episode 2: Hibiscus & Butterfly telah pun dilancarkan pada 20 April yang lalu. Kalau anda ingin tahu, ia merupakan entri terbaru untuk siri Coffee Talk. Game visual novel ini telah dibangunkan oleh Toge Productions dan ia membawa pemain kembali sebagai barista yang akan melayan pelanggannya di kedai kopi sambil mendengar kisah mereka. Ingin tahu best atau tidak entri baru ini, teruskan membaca review kami!
Persembahan
Seperti Coffee Talk pertama, entri baru ini dipersembahkan dengan gaya piksel yang menawan dan mempunyai animasi yang lancar. Ini membuatkan watak kelihatan lebih ekspresif malah membuatkan beberapa adegan kelihatan sengit.
Walaupun visual dalam game masih kelihatan sama seperti game terdahulu, ia mempunyai penambahbaikan pada tab log mesej. Ia membolehkan anda untuk melihat dialog sebelumnya. Kalau nak dibandingkan dengan game pertama, ia kelihatan lebih kemas dan baik dengan penambahan seperti potret watak yang sedang bercakap. Digandingkan pula dengan soundtrack LoFi ala-ala hihop oleh Andrew Jeremy, ia membawa satu perasaan yang santai semasa bermain. Sepanjang bermain sempat lagi kami berhenti semata-mata ingin santai mendengar lagunya.

Gameplay yang santai dengan penambahan baharu
Sudah tajuknya Coffee Talk, sudah tentu mekanik gameplay utamanya adalah membuat kopi. Cara bermainnya sama sahaja seperti game pertama, di mana anda perlu mencampurkan pelbagai bahan dan menghidangkan minuman tersebut bergantung kepada permintaan pelanggan. Tetapi dalam Episode 2, anda boleh mengakses dua asas minuman iaitu Butterfly Pea dan hibiscus, termasuklah beberapa kombinasi campuran yang membuatkannya kelihatan lebih menarik dan menyelerakan.
Semasa membuat minuman, ia memang mudah tetapi pada masa yang sama ia juga agak mencabar. Kalau pelanggan terus beritahu bahan yang mereka inginkan, memang petik jari sahaja untuk membuat minuman mereka. Tetapi kalau pelanggan tiba-tiba terangkan minuman yang mereka mahu, agak buntu juga memikirkan bahannya.

Memandangkan Brewpad tidak dibuka pada awal game, jadi terpaksalah bereksperimen dan mencari minuman yang mereka perlukan. Kombinasi antara bahan utama dan bahan sekunder adalah penting, anda mungkin perlu meluangkan masa mencuba kombinasi yang berbeza untuk menghasilkan minuman yang betul.
Sebagai contoh, minuman yang mengandungi Butterfly Pea sebagai asas, susu sebagai bahan utama dan madu pula sebagai bahan sekunder akan menghasilkan minuman “Dreamin’ Blue.” Kalau anda tukar susu kepada madu, ia akan menghasilkan “Blue Marshmallow.”

Mungkin ia agak leceh tetapi tiada hukuman diberikan kepada pemain jika menghidangkan minuman yang salah kepada pelanggan. Kalau anda tidak kisah melihat kekecewaan pelanggan serta komen pedas mereka, berikan sahaja minuman yang anda telah hasilkan.
Walaupun Episode 2 mempunyai banyak gameplay yang sama seperti game pertama, terdapat beberapa ciri baru di mana pelanggan memberikan atau meninggalkan item kepada anda; yang juga boleh diberikan kepada pelanggan tertentu semasa menghidangkan minuman. Ciri baru ini memberikan naratif lanjut game serta memberikan beberapa kisah latar belakang watak. Terdapat beberapa kes di mana ia tidak memberitahu anda secara langsung mengenai penerima item tertentu, jadi anda perlu berikan perhatian kepadanya.

Pelanggan lama dan baru
Coffee Talk Episode 2 membawa beberapa watak daripada game pertama serta memperkenalkan watak-watak baru seperti Lucas, satyr yang karismatik serta influencer yang kadang-kadang terlalu berterus terang. Rion, seorang banshee yang merupakan penghantar barang serta mempunyai impian untuk menjadi penyanyi soprano, tetapi semasa bertemunya buat kali pertama, dia masih tiada peluang uji bakat. Watak-watak yang kembali untuk Episode 2 pula hadir dengan rupa baru. Kalau anda ingin tahu, Episode 2 berlaku tiga tahun selepas game pertama berlaku.

Tarikan utama untuk Coffee Talk Episode 2 sama seperti sebelumnya iaitu watak yang pelbagai serta bagaimana mereka kelihatan seperti manusia, di mana mereka mempunyai impian serta cuba untuk menjalani kehidupan mereka. Dengan begitu banyak game yang mempunyai penceritaan dan watak yang kompleks, agak menarik juga apabila melihat watak-watak mengharungi benda biasa di mana mereka risau mengenai perjanjian NDA, mengalami masalah keluarga dan juga mencari pasangan hidup melalui aplikasi.
Game ini melakukan kerja yang baik, membuatkan anda terasa seperti anda mengenali watak-watak ini dalam kehidupan sebenar. Memang sesuai sangat dengan suasana game.

Terdapat ciri terbaru yang dipanggil “Tomodachil app”, yang berkaitan dengan pelanggan dalam game. Anda boleh melihat kehidupan seharian watak yang muncul pada aplikasi, dan akan hilang selepas sehari. Boleh tahan juga cara aplikasi ini dipersembahkan, lebih-lebih lagi dengan Lucas dan Rachel yang memuat naik status mereka seperti influencer di media sosial. Bukan setakat itu sahaja, anda juga boleh memberikan “like” pada “story” yang tersedia dalam aplikasi tersebut.

Seronok juga melihat bagaimana sesetengah pelanggan bercakap tentang perkara yang berlaku dalam dunia Coffee Talk dan mengembangkannya. Ia menjadikan perbualan antara watak berasa sangat realistik dan pada masa yang sama meluaskan pembinaan dunia game.
Kesimpulan
Sejujurnya kami sangat seronok semasa meluangkan masa bermain Coffee Talk Episode 2: Hibiscus & Butterfly. Dengan gameplay santai, sprite yang menawan, soundtrack LoFi yang menenangkan serta watak-watak yang mudah disukai, membuatkan kami mahu terus berada dalam dunia fiksyen tersebut. Jadi buat anda yang suka pada gameplay yang santai serta visual novel, kami syorkan anda untuk bermain Coffee Talk Episode 2. Kalau boleh, main dahulu game pertamanya untuk pengalaman yang penuh.

Coffee Talk Episode 2: Hibiscus & Butterfly tersedia di PS5, PS4, Xbox, Nintendo Switch dan PC melalui Steam, GOG.com dan Xbox Game Pass.
@gamersantaimy
The Review
Coffee Talk Episode 2: Hibiscus & Butterfly
PROS
- Barisan watak-watak unik dan pelbagai
- Bahan baharu yang diperkenalkan untuk minuman
- Gameplay yang santai
CONS
- Mekanik item baharu mungkin mengelirukan untuk pemain
Discussion about this post