Bandai Namco bersama pembangun Tamsoft bakal melancarkan DLC yang dinantikan ramai, Ichigo Kurosaki dari arc Thousand-Year Blood War, untuk BLEACH Rebirth of Souls esok, eksklusif kepada pemilik Season Pass.
DLC ini akan dibuka kepada semua pemain bermula 18 Jun 2025. Serentak dengan pelancaran tersebut, kemas kini percuma versi 1.10 turut dikeluarkan esok, memperkenalkan Ranked Matchmaking Mode yang meningkatkan lagi elemen persaingan dalam game.
Ichigo versi baharu ini menampilkan rupa dan kuasa selepas latihannya bersama Squad Zero, lengkap dengan Zangetsu sebenar dalam bentuk dua bilah pedang. Kemahirannya, termasuk serangan hebat Getsuga Jujisho dan transformasi Merged Hollow Form, memberikan persaingan baharu kepada senarai watak sedia ada.
Season Pass akan menyertakan empat watak daripada arc Thousand-Year Blood War, dan Ichigo menjadi yang pertama diperkenalkan. Berdasarkan kebocoran data, watak-watak seperti Yhwach, Ichibei, dan Unohana mungkin akan menyusul, walaupun belum disahkan secara rasmi oleh Bandai Namco.

Kemas kini versi 1.10 ini juga menjawab permintaan utama komuniti dengan memperkenalkan mod Ranked Matchmaking, membolehkan pemain bertanding mengikut tahap kemahiran masing-masing. Ini bukan sahaja memperkukuh potensi esports game ini, malah menangani kritikan terhadap ciri online yang terhad sebelum ini.
Kemas kini ini boleh didapati di semua platform utama: PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.

BLEACH Rebirth of Souls merangkumi jalan cerita dari arc Substitute Soul Reaper hingga ke Arrancar, dan DLC baharu ini menandakan pengembangan utama pertama ke dalam arc Thousand-Year Blood War.
Kini, peminat boleh menikmati perlawanan Ranked dan menguji kehebatan baharu Ichigo menerusi DLC baru, sekaligus membuka jalan kepada pertempuran epik seterusnya dalam dunia BLEACH Rebirth of Souls.
@gamersantaimy
Discussion about this post