Kumpulan kawaii metal sensasi dari Jepun, BABYMETAL, bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi, membawa persembahan bertenaga mereka sebagai sebahagian daripada BABYMETAL World Tour 2025-2026 di Asia.
Konsert ini akan berlangsung pada 6 Oktober di Kuala Lumpur. Butiran lanjut seperti lokasi penuh akan diumumkan dalam masa terdekat, jadi peminat dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan terkini tentang BABYMETAL World Tour 2025-2026.
Ditubuhkan pada tahun 2010 sebagai subunit kumpulan idola Sakura Gakuin, BABYMETAL telah mencetuskan fenomena dalam dunia muzik dengan gaya unik mereka yang dikenali sebagai “kawaii metal” – gabungan melodi J-pop yang catchy dengan vokal garau dan bunyi metal.
Kumpulan ini kini dianggotai oleh Su-metal (Suzuka Nakamoto, vokal utama), Moametal (Moa Kikuchi, vokal dan tarian), dan Momometal (Momoko Okazaki, vokal dan tarian, yang disahkan menyertai secara rasmi pada 2023). Mereka juga diiringi oleh Kami Band.
Sempena ulang tahun ke-15 mereka, BABYMETAL turut bersiap sedia untuk melancarkan album kelima berjudul Metal Forth pada 27 Jun 2025. Peminat boleh menantikan lagu-lagu ikonik seperti “Gimme Chocolate!!” dan “Karate” yang pasti menghangatkan pentas, selain persembahan lagu-lagu baru dari album yang bakal dilancarkan.
Dengan tenaga bertenaga yang luar biasa dan bunyi yang merentasi genre, jelajah Asia BABYMETAL kali ini sememangnya acara yang tidak boleh dilepaskan, baik untuk peminat metal mahupun peminat J-pop.
Untuk makluman, BABYMETAL pernah hadir ke Malaysia pada tahun 2023 sempena World Tour 2023, di mana kami turut berpeluang menemuramah mereka. Anda boleh baca temu bual penuh di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post