Bila sudah dua tahun tiada acara ACG, memang ramai peminat anime yang teruja untuk turut serta. Baru-baru ini kecoh apabila Paradigm Mall serta jalan yang sesak disebabkan acara AnimeFest yang dianjurkan. Dengan keadaan Mall yang padat serta bilangan pengunjung yang datang, boleh nampak betapa ramai peminat anime inginkan acara seperti ini diadakan semula. Tetapi setiap acara ACG sudah tentu ada dramanya tersendiri. Kali ini, ada pula kisah mengenai pegawai polis yang menyalahkan cosplayer AnimeFest apabila dia membuat laporan mengenai “stalker”. Jom, kami ceritakan lebih lanjut mengenainya.

Seorang cosplayer dan pencipta kandungan, Chin Pui Ting atau Pudds telah menyertai acara AnimeFest pada 16 Mei yang lalu. Tetapi selepas dikacau oleh seorang pengunjung di booth miliknya, dia telah membuat laporan polis. Pengunjung tersebut sebenarnya seorang stalker dan telah mengikuti Pudds secara dalam talian dan acara lain sekian lama. Stalker tersebut telah mengendahkan pelbagai amaran yang diberikan dan ini membuatkan Pudds “block” lelaki itu. Kerana tidak berpuas hati, stalker tersebut bukan sahaja membuat kacau di booth Pudds malah mengikutinya sehingga ke lot parking.
Bayangkan apabila dibuat laporan, dia telah dipersalahkan kerana mengikuti acara AnimeFest dan ber-cosplay. Pegawai polis itu seperti memberikan “ceramah” mengenai perbuatannya itu, padahal Pudds merupakan mangsa kejadian, dan bukannya ingin masalah stalker itu terjadi. Kalau dilihat daripada kostum cosplay yang dipakai Pudds, ia tidaklah begitu menonjol malah dia juga telah memakai jaket semasa pergi membuat laporan.
Sekarang ini, pegawai polis yang terlibat telah pun soal siasat kerana melanggar undang-undang disiplin semasa bertugas. Jika, pihak keadilan yang sepatutnya melindungi rakyat tetapi berkelakuan begini, sudah tentu ini menghilangkan keyakinan orang ramai terhadap mereka. Harap-harap pegawai tersebut akan dikenakan tindakan yang tegas daripada pihak atasan. Pudds juga telah memberikan kemas kini baharu bahawa dia dalam keadaan baik-baik sahaja dan berterima kasih atas sokongan daripada semua orang.
Sebagai seseorang yang sering pergi ke acara ACG seperti Comic Fiesta, Animangaki, saya boleh nampak kenapa begitu banyak masalah yang timbul semasa acara AnimeFest kali ini. Sebelum AnimeFest bermula, ada juga acara lain yang berlangsung tetapi tidaklah bermasalah sebegini. Nampaknya ramai peminat baru yang tidak tahu adab atau peraturan di acara ACG. Lebih-lebih lagi mereka yang baru sahaja minat anime semasa PKP. Cosplayer memanglah memakai seperti watak anime kesukaan tetapi mereka masih manusia biasa. Janganlah buat perkara tidak senonoh kepada mereka.
Apapun, apa pendapat anda tentang kes cosplayer AnimeFest dengan pegawai polis tersebut ini? Cuba kongsikan kepada kami. Boleh ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan berita menarik mengenai game, anime dan banyak lagi.
@gamersantaimy
Discussion about this post