Selepas 11 tahun dan tujuh bulan, manga Attack on Titan oleh Hajime Isayama akhirnya berakhir. Dinamakan “Final Chapter: Toward the Tree on That Hill“, bab #139 adalah kesimpulan yang (hampir) memuaskan dan sangat beremosi untuk kisah yang telah memikat hati pembaca di seluruh dunia. Walaupun ada pengorbanan, beginilah penamat untuk kisah Attack on Titan.
AMARAN! Di bawah adalah spoiler untuk Attack on Titan bab #139!
Didedahkan pada mukasurat awal, rancangan Eren adalah untuk melenyapkan dunia dari semua makhluk Titan! Di sini, kita boleh lihat perbualan penuh antara Eren dan Armin, di mana Armin kata:
“Kamu melakukannya demi masa depan yang kamu lihat menggunakan kekuatan Attack Titan.”
Pernyataan ini merujuk kepada keputusan Eren untuk membunuh 80% umat manusia dengan bencana “Rumbling“.
Mereka berdua kemudian pergi ke kawasan gunung berapi, di mana Eren sambung menjelaskan sebab di sebalik tindakannya. Menurut Eren, “kekuatan Titan masih wujud kerana Ymir masih mematuhi Raja Karl Fritz selama 2000 tahun.” Walaupun pelbagai perkara buruk telah dilakukan oleh raja tersebut terhadap kampung, ibu bapa dan bahkan Ymir sendiri, Ymir benar-benar setia mencintai Karl Fritz. Perkara inilah yang membuatkan Ymir terikat dengan Raja Karl Fritz selama dua milenia.
Eren tidak memahami Ymir sepenuhnya, tetapi tahu dia ingin kebebasan, dan menunggu selama ini bagi seseorang untuk “membebaskannya dari penderitaan cinta.” Sebelum ini, ramai peminat (termasuk saya) menyangka bahawa orang itu adalah Eren ketika dia mendapat kuasa penuh dari Founding Titan. Sebaliknya, Eren mendedahkan kepada Armin bahawa orang itu sebenarnya adalah Mikasa. Itulah sebabnya Ymir tersenyum pada penghujung bab #138 ketika Mikasa memilih untuk membunuh Eren. Mikasa yang membebaskannya, tetapi hanya Ymir sahaja tahu sebab mengapa.
Selepas Mikasa memancung kepala Eren dan menciumnya buat kali pertama dan terakhir, bab terakhir ini mengesahkan bahawa Eren sudah mati. Mikasa membawa kepala Eren ke Armin, yang menangis atas kehilangan rakan karibnya. Mikasa kemudian meninggalkan medan perang dengan kepala Eren, kerana tahu mayatnya tidak akan dikebumikan selepas dianggap sebagai pembunuh umat manusia.
Kematian Eren dan pembebasan Ymir juga menyebabkan setiap Titan berubah menjadi debu, manakala mereka yang boleh ditukar kepada Titan telah dipulihkan semula ke bentuk manusia. Mengetahui ini adalah satu pengorbanan yang besar oleh Eren, semua rakan-rakan bersyukur kerana akhirnya dapat melepaskan diri dari sumpahan Titan.
Tiga tahun pun berlalu, dan ternyata Titan tidak wujud lagi tetapi penduduk Paradis masih takut dengan apa yang mungkin dilakukan oleh seluruh dunia sebagai pembalasan. Historia (yang kini menjadi ibu kepada seorang anak perempuan berusia tiga tahun) menghantar sekeping surat kepada Armin, yang bertulis:
“Sekiranya kita menang, kita hidup. Sekiranya kita kalah, kita mati. Sekiranya kamu tidak melawan, kita tidak boleh menang. Berjuang. Berjuang. Pertarungan ini tidak akan berakhir sehingga Eldia atau dunia hilang. Itulah yang dikatakan Eren, dan dia mungkin betul. Walaupun begitu, dia memilih untuk meninggalkan dunia ini di tangan kita. Tempat ini di mana kita sekarang tinggal. Dunia tanpa Titan.”
Halaman akhir menunjukkan kubur Eren berada di bawah pokok di pulau Paradis (tempat dia sering tidur semasa kecil). Mikasa memberitahu bahawa Armin, Jean, Connie, Annie dan Pieck, akan tiba tidak lama lagi untuk mengunjung, lalu mengaku ingin bertemu dengannya sekali lagi.
Ketika kata-kata itu keluar dari mulut Mikasa, selendang (diberikan oleh Eren) telah jatuh dari lehernya. Tiba-tiba, seekor burung muncul dan menyarung semula selendang itu di leher Mikasa. Sambil tersenyum, Mikasa berkata:
“Terima kasih kerana memakaikan selendang ini untuk saya, Eren.”
Itu sahaja untuk bab terakhir Attack on Titan. Apa pendapat anda? Adakah ini penamat yang anda ingin lihat? Jom kongsi pendapat awak di ruang komen sekarang! Untuk segala liputan kami tentang Attack on Titan, sila tekan di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post