Siri Naruto penuh dengan pelbagai shinobi hebat dengan kuasa/jutsu yang mengagumkan, dan salah satunya ialah mata Sharingan yang berasal daripada puak Uchiha. Malangnya, ramai tidak tahu asal usul mata ini dan mengapa ramai insan dari puak Uchiha harus menderita untuk memperoleh kuasa itu. Oleh itu, izinkan saya asal usul di sebalik mata Sharingan dan mengapa ia antara kuasa yang paling kuat tetapi juga paling menyedihkan dalam siri Naruto.
Asal usul Sharingan

Sharingan berasal daripada Rinne-Sharingan milik Otsutsuki Kaguya dan pertama kali ditunjukkan oleh Ōtsutsuki Indra dalam manga (Hagoromo Ōtsutsuki dalam anime) yang kemudian menjadi nenek moyang kepada puak Uchiha. Apabila diaktifkan, otak akan menghantar sejenis chakra istimewa ke saraf optik lalu menukar mata kepada Sharingan.
Untuk memudahkan semua faham, Sharingan hanya boleh diperoleh apabila seseorang Uchiha mengalami perasaan emosi yang hebat. Selalunya, emosi ini terdiri daripada tekanan atau kesedihan selepas kehilangan orang yang disayangi, seperti Sasuke dan Itachi.

Menurut Senju Tobirama (Hokage ke-2), puak Uchiha sebenarnya adalah puak yang terlalu menghargai persahabatan dan cinta. Malah, tiada puak lain yang boleh menyaingi cara mereka menghargai persahabatan dan percintaan. Oleh itu, apabila orang yang mereka sayang berada dalam keadaan bahaya atau meninggal dunia, perasaan cinta ini akan berubah kepada perasaan sedih atau benci yang melampau kuat.
Walaupun Sharingan selalunya terhasil kerana tekanan atau kematian orang kesayangan, ada kalanya sebuah Sharingan boleh bangkit jika mereka mempunyai keinginan kuat untuk melindungi seseorang. Contoh paling jelas adalah Uchiha Obito, yang ingin menyelamatkan Kakashi Hatake sebelum dia hampir dibunuh.

Keupayaan Sharingan untuk memunculkan diri berdasarkan perasaan, tidak kira positif dan negatif, telah melayakkan gelaran “mata yang mencerminkan hati.”
Kuasa umum yang dimiliki Sharingan
Memandangkan cara untuk mendapatkan Sharingan terlalu bahaya, sudah semestinya kuasa yang diberi harus sama kuat nilainya sehingga ia dianggap sebagai salah satu daripada “Tiga Dojutsu Hebat” dalam dunia Naruto. Yang lain adalah Byakugan milik puak Hyuga, dan Rinnegan yang dimiliki oleh mereka dengan chakra Sage of Six Paths (Rikudo Sennin).

Tetapi apa yang membuatkan Sharingan sangat kuat? Sebenarnya ada banyak sebab tetapi biar saya terangkan kuasa-kuasa umum.
Secara am, Sharingan memberi dua kuasa utama. Pertama sekali adalah “Eye of Insight” (Dōsatsugan) yang membolehkan penggunanya melihat chakra orang dengan lebih jelas, melalui beberapa (bukan semua) halangan dan mengesan unsur pelik dalam aliran chakra seseorang, seperti melihat jika dia di bawah pengaruh genjutsu dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Sharingan memberi deria persepsi luar biasa kepada pengguna, yang membolehkan mereka membaca pergerakan bibir atau meniru sesuatu seperti menulis. Dalam pertempuran, ini membolehkan mereka melihat objek yang bergerak pantas dan, setelah potensi Sharingan dibuka sepenuhnya, akan menerima keupayaan ramalan: di mana mereka boleh baca gerak geri pihak lawan berdasarkan pergerakan otot dalam badan lalu bertindak sewajarnya untuk mengelak atau menyerang balas.
Seterusnya, mereka boleh menyalin hampir semua jutsu yang dilihat termasuk ninjutsu, genjutsu dan taijutsu dengan ketepatan hampir sempurna. Mereka kemudian boleh melakukan jutsu itu atau mengubah suainya agar sesuai dengan keperluan, seperti jurus “Lion Combo” oleh Sasuke yang diilhamkan dari Front Lotus milik Rock Lee. Untuk menyalin jutsu itu, seorang pengguna Sharingan perlu memahami jurus paling asas dan barulah mereka boleh meniru jurus yang dilihat.
Semua abiliti di atas jatuh di bawah label Dōsatsugan. Sekarang kita bercakap tentang abiliti utama kedua dalam Sharingan iaitu genjutsu. Antara semua dojutsu, jurus genjutsu milik mata Sharingan adalah yang paling handal dan tidak dapat ditandingi. Dengan hanya satu pandangan, seorang Uchiha dapat memerangkap musuh dalam genjutsu yang kuat. Malah, genjutsu ini cukup kuat sehingga boleh mengambil alih sepenuhnya badan sasaran tersebut, seperti Uchiha Obito Uchiha dan Yagura, Mizukage ke-4.

Seperti saya jelaskan tadi, Sharingan akan menjadi semakin kuat apabila pemiliknya mengalami perasaan emosi yang kuat seperti kesedihan/kemarahan. Sekiranya mereka menyaksikan kematian orang yang disayangi, mata itu kemudian boleh berubah kepada Mangekyo Sharingan, yang lebih kuat daripada Sharingan biasa. Oleh itu, pengguna terkuat Sharingan selalunya adalah insan yang paling banyak menderita.

Sebagai contoh, Uchiha Madara (antara antagonis dalam Naruto Shippuden) telah menyaksikan kematian empat orang abangnya dan itulah antara sebab mengapa dia sangat kuat sehingga boleh bertarung 1v5 semua Kage semasa Perang Dunia Shinobi ke-4. Begitu juga dengan Uchiha Sasuke yang menjadi sangat kuat selepas menyaksikan “pembunuhan beramai-ramai puak Uchiha” dan kemudian kematian Itachi.
Selepas membuat kajian tentang asal usul Sharingan, saya rasa ramai akan setuju bahawa kuasa ini memang luar biasa tetapi pada masa yang sama, hanya boleh diperoleh selepas pengguna mengalami tragedi yang sedih. Semakin sedih peristiwa itu, semakin kuatlah individu tersebut.
Jika korang dilahirkan sebagai Uchiha, adakah korang inginkan Sharingan?
Untuk segala liputan kami tentang Naruto, sila tekan pautan ini.
Sumber – Narutopedia
@gamersantaimy
Discussion about this post