Sony Interactive Entertainment telah melancarkan Climate Station, sebuah aplikasi pendidikan interaktif yang boleh dimuat turun secara percuma melalui PlayStation Store untuk pengguna PlayStation 5 dan PlayStation VR2.
Dibangunkan bersama Playing for the Planet Alliance di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, aplikasi ini menawarkan pengalaman imersif yang mengetengahkan isu perubahan iklim global dengan gabungan teknologi canggih dan data saintifik sebenar.
Disampaikan oleh pengacara dan aktivis iklim, Laura Tobin, Climate Station menampilkan lebih 90 minit kandungan interaktif, menggunakan data dari agensi seperti NASA, NOAA dan IPCC.
Pengguna boleh meneroka tiga bahagian utama: Weather Year, yang memaparkan perubahan cuaca secara langsung; Observations, yang menunjukkan keadaan iklim semasa; dan Projections, yang memperlihatkan potensi masa depan bergantung pada tindakan manusia hari ini.
Aplikasi ini turut mendapat input daripada pakar iklim di Jabatan Meteorologi Universiti Reading dan Berkeley Earth, menjadikannya satu pengalaman pembelajaran yang padat namun mudah difahami.

Aplikasi ini sesuai digunakan untuk pelbagai tujuan—sama ada untuk peribadi atau sebagai bahan bantu dalam bilik darjah dan kajian penyelidikan. Pengguna boleh memilih lokasi tertentu di peta dunia untuk melihat sejarah iklim kawasan tersebut serta ramalan perubahan yang dijangka berlaku.
Ia turut menampilkan 34 segmen Explainer serta paparan data interaktif yang menarik. Pengalaman ini turut diserikan dengan muzik latar dinamik dalam format Dolby Atmos dan bunyi 3D, manakala pengguna PS VR2 dapat menyelami diorama yang menggambarkan kesan fizikal perubahan iklim secara visual.

Dengan menawarkan Climate Station secara percuma, Sony berharap dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap krisis iklim, sambil menggalakkan pengguna memainkan peranan mereka dalam membentuk masa depan yang lebih lestari.
Aplikasi ini kini boleh dimuat turun dan sesuai digunakan sama ada di rumah mahupun dalam kelas. Sertai pengalaman ini dan kenali lebih dekat kisah planet kita.
@gamersantaimy
Discussion about this post