Dipuji di internet kerana visual animasi yang teramat-amat cantik, nampaknya semua mata kini tertumpu pada To Be Hero X, sebuah anime baharu berkisarkan superhero.
Secara lagi khusus, To Be Hero X ialah siri anime original akan datang, dan merupakan entri ketiga dalam francais To Be Hero selepas To Be Hero (2016) dan To Be Heroine (2018). Ia merupakan produksi China-Jepun yang diarahkan oleh Li Haoling, pengarah di sebalik Link Click dan Flavors of Youth.
Anime ini diterbitkan oleh Bilibili, Aniplex, dan BeDream, menggabungkan elemen aksi, fantasi, dan superhero dengan animasi 2D dan 3D. Siri ini akan ditayangkan pada 6 April 2025 dan akan distrim melalui Crunchyroll di luar Asia. Berita tentang tayangan di negara Asia Tenggara (termasuk Malaysia) masih tidak diketahui.
Dalam dunia To Be Hero X, kekuatan hero bergantung kepada kepercayaan orang ramai. Kepercayaan ini diukur sebagai “belief points” yang dipaparkan di pergelangan tangan seseorang—membolehkan individu biasa memperoleh kuasa super jika mereka mendapat sokongan yang mencukupi.
Hero dengan kepercayaan tertinggi dinobatkan sebagai “X,” simbol harapan tertinggi yang menentang kegelapan. Siri ini menampilkan konsep battle royale, di mana para adiwira bersaing untuk mendapatkan gelaran berprestij ini, dengan kedudukan mereka ditentukan oleh kepercayaan masyarakat.
Anime ini menampilkan barisan pelakon suara terkenal Jepun seperti Mamoru Miyano sebagai X, Natsuki Hanae sebagai Nice, Kana Hanazawa sebagai Queen, dan Yuichi Nakamura sebagai Ghostblade.
Runut bunyinya pula digubah oleh komposer terkenal Hiroyuki Sawano (Attack on Titan), yang menghasilkan lagu tema utama “Jeopardy” serta lagu dalam siri “PARAGON”, dengan kerjasama KOHTA YAMAMOTO dan komposer lain.
Dari segi visual, ia sering dibandingkan dengan Arcane kerana animasi 3D yang hebat, dengan Wang Fengbin, pengarah 3D yang pernah bekerja pada Arcane, turut terlibat dalam projek ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post