Di acara Anime Expo, Garena bersama Kadokawa Corporation telah memperkenalkan trailer rasmi pertama serta visual teaser bagi adaptasi anime daripada game battle royale popular, Garena Free Fire.
Pengumuman ini, yang turut disertakan dengan pendedahan barisan produksi utama, menandakan langkah penting dalam memperluaskan dunia Free Fire ke medium anime, dengan jaminan cerita baharu yang bakal menyuntik nafas segar ke dalam alam permainan tersebut.
Trailer teaser yang dipertontonkan semasa acara itu memberikan gambaran awal gaya visual anime ini dan mengetengahkan Kelly, salah satu watak kegemaran peminat Free Fire, sebagai wataj utama. Jalan ceritanya akan berpusat pada usaha membongkar sebuah “konspirasi tersembunyi.”
Walaupun maklumat lanjut seperti jalan cerita penuh, jumlah episod, serta format tayangan masih belum diumumkan, anime ini dijangka akan menyimpang daripada konsep battle royale asal dan memberi tumpuan kepada naratif tradisional.

Projek ini diarahkan oleh Ken Takahashi, yang dikenali menerusi karya seperti Ragna Crimson dan Fate/kaleid liner Prisma☆Illya.
Ia dihasilkan oleh studio Jepun Candy Box, yang sebelum ini mengendalikan Blue Archive: The Animation dan Azur Lane: Slow Ahead!. Sus4 Inc., yang turut terlibat dalam Ragna Crimson, bertanggungjawab mengendalikan muzik untuk siri ini.
Kerjasama ini adalah hasil gabungan antara Garena dan Kadokawa, dengan Kadokawa Qingyu, cabang antarabangsa Kadokawa, menguruskan aspek produksi. Walaupun tarikh tayangan rasmi masih belum ditetapkan, anime ini dirancang untuk disiarkan dan distrim di peringkat global.

Dilancarkan pada Disember 2017 untuk peranti Android dan iOS, Garena Free Fire merupakan game battle royale percuma yang menempatkan sehingga 50 pemain dalam perlawanan untuk menentukan yang terakhir bertahan.
Dikenali dengan gaya permainan yang pantas dan penuh aksi, game ini telah meraih kejayaan luar biasa di peringkat global, dengan lebih 1 bilion muat turun dan kemuncak 100 juta pengguna aktif harian pada Februari 2024.
Ia pernah memegang gelaran game mudah alih paling banyak dimuat turun di dunia dari tahun 2019 hingga 2021, serta game battle royale terunggul pada tahun 2022 dan 2023, khususnya dengan pengaruh besar di rantau Asia Tenggara.

Dengan rekod cemerlang Candy Box dalam menghasilkan animasi yang dinamik serta kepakaran Kadokawa dalam pengedaran antarabangsa, adaptasi anime Garena Free Fire mempunyai potensi besar untuk menawarkan sebuah karya yang menarik dan menawan dari segi visual.
Namun, kejayaannya banyak bergantung kepada kekuatan jalan cerita dan keupayaannya untuk berdiri kukuh sebagai satu naratif tersendiri.
@gamersantaimy
Discussion about this post