Siri anime Seven Deadly Sins (7DS) telah pun tamat pada Jun tahun lepas, dan agak sunyi juga dalam komuniti anime. Filem The Seven Deadly Sins: Grudge of Edinburgh juga masih sunyi tanpa sebarang maklumat baru. Tetapi ada laporan baru yang mengatakan bahawa sekuel siri, The Seven Deadly Sins: Four Knights of the Apocalypse akan mendapat adaptasi anime. Jom, kami ceritakan sedikit mengenainya.
Melalui Twitter, pengguna ArtOfNakaba telah memuat naik satu gambar yang mengumumkan berita mengenai adaptasi anime untuk sekuel 7DS tersebut. Gambar itu juga mempunyai visual watak utama Four Knights of the Apocalypse, Percival bersama-sama Meliodas. Anda boleh melihat tweet tersebut di bawah.
Buat masa ini, masih tiada lagi maklumat lanjut mengenai anime sekuel ini. Studio animasi yang akan menghasilkan anime ini juga belum lagi didedahkan. Nampaknya peminat kenalah tunggu lama lagi untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anime The Seven Deadly Sins: Four Knights of the Apocalypse.
Kepada anda yang anda tidak tahu, Four Knight of the Apocalypse berlaku 16 tahun selepas tamatnya siri 7DS. Ia mengisahkan Percival, seorang wira muda yang memulakan pengembaraannya sendiri. Dia tahu dia ditakdirkan untuk menjadi salah seorang daripada beberapa kesatria yang diceritakan akan memusnahkan dunia, dan kerajaan Camelot pula meletakkan “bounty” disebabkan cerita itu. Berazam untuk mengubah nasibnya, Percival mengembara ke seluruh dunia untuk mencari tiga kesateria lain dan bertemu dengan beberapa watak lain yang dikenali sepanjang perjalanan.

Manga kepada sekuel ini telah diterbitkan bermula Januari 2021 dan sudah mempunyai enam jilid . Ramai juga peminat yang menyukai sekuel daripada Nakaba Suzuki ini. Kalau anda ingin membaca manga ini, boleh lawati laman web INKR. Ia merupakan laman web rasmi yang menyediakan pelbagai siri manga, manhwa dan banyak lagi. Kami juga ada menyenaraikan beberapa platform rasmi lain untuk anda membaca komik. Untuk mendapatkan liputan lain daripada kami mengenai anime, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post