Selepas diumumkan pada E3 2019, Elden Ring mendiamkan diri buat tempoh masa yang sangat lama. Akhirnya, mereka mendedahkan info lanjut tentang permainan pada beberapa bulan lepas dan bersama info itu, Bandai Namco dan FromSoftware juga mengumumkan yang Elden Ring tidak akan keluar pada tahun 2021, sebaliknya akan tiba pada 21 Januari 2022. Mungkin ada yang kecewa tetapi kami di GS berpeluang mendapatkan maklumat eksklusif tentang permainan Souls ini termasuk jalan cerita, gameplay, dan lain-lain. Selain itu, kami juga mengadakan sesi Q&A bersama pengurus komuniti Yasuhiro Kitao untuk mempelajari lebih lagi tentang permainan. Jadi tanpa melengahkan masa, jom kita selami preview saya untuk Elden Ring!
Latar belakang, naratif dan reka bentuk dunia

Ditulis oleh George R.R. Martin, ia mengisahkan tentang “the Lands Between” yang diberkati oleh Elden Ring. Kehadiran cincin ini memberi rahmat kepada seluruh penduduk benua dan diwakilkan oleh sejenis cahaya atau aura kuning di mata mereka. Namun, setelah masa berlalu, beberapa individu mula hilang keberkatan tersebut, di mana cahaya ini pudar beransur-ansur. Individu-individu ini dikenali sebagai “the Tarnished” dan terpaksa dibuang dari the Lands Between.
Apabila Elden Ring berpecah secara misteri, para “Tarnished” diseru semula untuk memperolehi bahagian-bahagian cincin yang kini dipegang oleh entiti-entiti pelik. Rupanya, “the Tarnished” adalah watak yang kita akan kawal dalam permainan dan kita ada tanggungjawab besar untuk “selamatkan dunia”.

Dunia permainan dibahagikan kepada enam wilayah utama, dan setiap satu dipegang oleh satu demigod (bos permainan). Walaupun wilayah-wilayah ini diaturkan dalam urutan tertentu, kita tidak perlu mengikutinya 100%. Pemain boleh meneroka the Lands Between dengan bebas, jadi ada banyak laluan untuk dicuba. Kita tidak akan dapat mengakses semua lokasi pada awal permainan, tetapi berita baik adalah permainan tidak mengehadkan ke mana kita ingin pergi.
Harus diperhatikan bahawa peta dunia akan berada dalam keadaan kabur. Selepas menemui serpihan-serpihan peta yang betul dan selepas mencantumkan setiap satu, kabur ini akan hilang. Setiap wilayah juga mengandungi dungeon besar sendiri (dinamakan sebagai Legacy Dungeon), yang berhubung dengan dunia the Lands Between. Legacy Dungeon boleh dianggap sebagai “rumah” kepada setiap demigod. Bukan setakat dungeon sahaja, kita akan menemui lokasi unik lain seperti kubur bawah tanah, istana, dan sebagainya, di sekitar peta.

Seperti mana-mana permainan Souls, salah satu tema utama adalah boss fight. Untuk mudahkan semua faham, setiap bos diilhamkan oleh konsep pahlawan mitos atau demigod (bukan nama rasmi) dan mewarisi kuasa terlarang dari bahagian-bahagian cincin Elden Ring yang hancur. Masing-masing jatuh ke lembah kegilaan dan reka bentuk setiap satu pun berkait rapat dengan latar belakang atau mitologi.
Gameplay asas dan sistem pertempuran

Berdasarkan preview yang saya lihat, sistem pertempuran Elden Ring amat mirip dengan permainan Souls. Ini tidak mengejutkan sebab memang itu genre permainan. Kita ada: bos besar yang boleh membunuh dalam satu serangan, mekanik “dodge rolling, blocking, backstab dan spellcasting.” Semuanya lebih kurang sama. Elden Ring juga mengekalkan sistem stamina tetapi ia tidak begitu mempengaruhi permainan secara keseluruhan dan terasa lebih mudah untuk kawal. Di sini, saya akan jelaskan apa yang membezakan Elden Ring dengan permainan Souls lain.
Pertama sekali, kita boleh bertarung sambil menunggang kuda. Ciri ini bernama Spirit Steed dan sangat bagus semasa bahagian eksplorasi. Kalau nak ikutkan dari aspek pertempuran, ia tidak begitu efektif tetapi sekurang-kurangnya kita tidak perlu turun dari kuda untuk membunuh musuh lemah, lantas menjimatkan banyak masa. Pada masa yang sama, beberapa platform melompat akan diagihkan sekitar peta dunia. Digunakan supaya lebih mudah menjelajah, kita juga akan dapat gambaran yang lebih jelas tentang persekitaran sekeliling. Selain itu, sistem “stealth” diperkenalkan dalam permainan tetapi itu bukan fokus utama.

Apa yang lebih penting ialah ciri “summoning” dalam Elden Ring. Permainan Souls membolehkan kita menyeru “watak NPC” untuk membantu dalam pertempuran. Watak ini selalunya akan muncul di tempat-tempat tertentu, tetapi sistem summoning dalam Elden Ring nampaknya jauh lebih besar dan bebas. Dari menyeru watak NPC seolah-olah manusia, kita boleh menyeru “Spirit” untuk membantu. Ada pelbagai jenis Spirit dan setiap satu disembunyikan di sekitar peta. Tanggungjawab kita adalah untuk mengumpul semua Spirit ini yang menawarkan banyak pilihan strategi semasa berhadapan dengan musuh-musuh dalam permainan.
Kita juga mempunyai lebih banyak kebebasan semasa merancang “build” untuk avatar, di mana pilihan senjata tidak “begitu” mengehadkan cara kita bermain. Sebelum ini, beberapa skil hanya boleh dipakai pada senjata tertentu, tetapi sekarang kita dapat menukar skil dengan bebas antara pelbagai jenis senjata. Menurut FromSoftware, ada lebih daripada 100 skil untuk dikumpul. Berdasarkan info itu, anda bebas memadankan mana-mana skil pada senjata atau peralatan.

Sebelum saya lupa, akhir sekali saya ingin memberitahu adalah avatar kita boleh melompat! Walaupun mekanik ini nampak seperti “standard”, permainan lama Souls tidak ada ciri ini. Jadi, itu yang membuatkan saya teruja kerana kemungkinan besar ia adalah lebih mudah untuk mengelak dari serangan.
Aspek multiplayer

FromSoftware mengesahkan dalam preview ini bahawa Elden Ring akan menerapkan sistem multiplayer sehingga dua pemain maksimum. Kita dapat meminta bantuan rakan untuk bertarung sekali dalam mana-mana dungeon dan mereka akan muncul dalam bentuk avatar (siap dengan senjata dan gear), bukannya seperti “bayang phantom” dalam permainan Souls lama. Satu perkara penting yang anda harus tahu ialah rakan ini tidak boleh membantu kita dari awal hingga akhir dan hanya dibenarkan membantu semasa pertarungan dengan bos.
Sesi Q&A
Selesai sahaja preview Elden Ring, kami bersambung ke sesi Q&A bersama pengurus komuniti Yasuhiro Kitao. Dengan pengalaman bertahun-tahun dalam industri gaming termasuk pembikinan Bloodborne, Sekiro: Shadows Die Twice, dan Dark Souls: Remastered, memang inilah individu paling sesuai untuk menjawab soalan-soalan penting kami tentang permainan. Berikut adalah transkrip wawancara:

Bolehkah anda menjelaskan berapa besar peta di dalam Elden Ring? Ramai peminat Souls ingin meneroka lokasi sampingan dalam permainan, tetapi tidak dapat.
Kami tidak dapat memberikan ukuran tepat kerana masih belum mengukurnya. Ini mungkin yang terbesar pernah kami buat setakat ini. Kawasan yang anda lihat (iaitu kawasan padang rumput); jika anda menganggapnya sebagai satu benua, kita mempunyai enam wilayah yang merangkumi dunia permainan. Jadi sangat besar.
Ia bukan sahaja dunia terbesar kami setakat ini, tetapi juga dunia yang paling bervariasi. Seperti yang dikatakan dalam pembentangan, ia bukan semata-mata dibuat besar, tetapi dibuat dengan kasih sayang pada setiap bahagian untuk menjadikan lebih menarik dan memotivasi pemain untuk terus meneroka.
FromSoftware ada sebut tentang “seamless” (kelancaran), jadi adakah ini bermaksud aspek “loading” adalah minimum?
Apabila bercakap tentang “seamless”, kami maksudkan semasa merentasi dunia luar dan memasuki dungeon. Bahagian ini lancar dan anda dapat meneroka tanpa loading. Namun, sama seperti permainan sebelum, apabila anda mati atau berehat atau menggunakan fast travel, akan ada loading antara “checkpoint.”
Memandangkan dunia sangat besar, mengapa Spirit Steed tidak boleh digunakan dalam multiplayer?
Ini bukan jawapan yang menarik. Ia bergantung kepada peruntukan memori dan sumber daya supaya aspek multiplayer berjalan lancar tanpa isu. Selain itu, kawasan sebenar yang dapat anda terokai bersama rakan hanya terhad kepada pertarungan bos. Sekiranya mempunyai dua atau tiga Summon, anda akan terus menuju ke bos dan tidak boleh menjelajah dari satu wilayah ke wilayah lain.

Mengikut kefahaman saya, serpihan peta wujud untuk menunjukkan peta dunia. Terdapat sejenis butang bernama ” subterranean labyrinths”. Adakah ia salah satu dari serpihan peta?
Peta dunia luar mempunyai versi sendiri, dan anda akan menemui serpihan ini semasa meneroka dan secara beransur-ansur mencantumkannya. Yang anda lihat sebenarnya adalah peta berasingan yang boleh diperolehi dengan cara yang sama.
Adakah dungeon yang kita temui dihasilkan secara “procedural” (dihasilkan oleh mesin)?
Tidak seperti Chalice Dungeon dalam Bloodborne, ia dibuat secara manual. Ini juga sama untuk dungeon kecil dan sederhana, serta Legacy Dungeon. Dungeon yang anda lihat dalam video adalah jenis kubur bawah tanah. Akan ada pelbagai jenis, seperti sistem gua hingga kubu, dan sebagainya.
Saya sangat teruja kerana permainan membenarkan kita melompat. Adakah terdapat sejenis peluncur untuk membantu pergerakan?
Tidak ada peluncur yang diterapkan dalam permainan, tetapi seperti yang anda lihat: semasa menunggang Spirit Steed, anda boleh menggunakan platform lompat untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang persekitaran.

Adakah checkpoint akan berfungsi sama seperti permainan lain dalam siri? Contoh: musuh akan spawn semula selepas setiap checkpoint.
Checkpoint “Sites of Lost Grace” akan berfungsi seperti bonfire dalam permainan sebelum, jadi ia akan refresh-kan musuh, mengisi semula item penyembuhan dan membolehkan kita membuang efek debuff. Di checkpoint ini, anda dapat menukar skil antara senjata. Sebelum ini, anda mempunyai satu skil khusus untuk satu senjata tetapi kali ini, anda boleh menukarnya dengan bebas.
Bila berada di dunia luar -dan bukan di penjara bawah tanah -anda dapat pergi ke checkpoint yang pernah ditemui. Sebelum ini, anda hanya dapat melintasi antara bonfire, tetapi sekarang, anda boleh kembali ke checkpoint untuk mengurangkan tekanan semasa berjalan jarak jauh.
Bagaimanakah sokongan mod semasa pelancaran? Adakah ia akan ditambah pada masa akan datang?
Tidak ada sokongan mod semasa pelancaran. Kami tidak mempunyai rancangan untuk menyokong mod secara rasmi.
Adakah anda boleh membincangkan tentang kandungan akan datang?
Ini adalah permainan terbesar kami setakat ini, dan ia mempunyai komponen multiplayer yang sangat mantap. Kami merasakan bahawa majoriti sokongan selepas pelancaran adalah untuk membetulkan bug dan menyeimbangkan bahagian multiplayer. Kerana ini adalah dunia baru yang besar dan penuh dengan potensi, kami sedang fikir bagaimana untuk mengembangkannya lagi, tetapi tidak ada rancangan yang tetap buat masa ini. Kami menumpukan perhatian untuk menghasilkan permainan penuh sebaik mungkin.
Saya tidak sabar untuk melihat pemain cuba “speedrun” permainan ini.
(Semua ketawa) Kami juga tidak sabar. Kami tidak tahu apa yang semua pemain akan buat nanti.

Itu sahaja untuk preview dan sesi Q&A saya bagi Elden Ring! Sekali lagi saya ingatkan, Elden Ring akan dilancarkan pada 21 Januari 2022 di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X & Series S, serta Microsoft Windows. Untuk segala liputan kami tentang permainan, sila tekan pautan ini.

@gamersantaimy
Discussion about this post