Assassin’s Creed Valhalla masih kekal sebagai entri popular oleh Ubisoft dan rajin mendapat update yang konsisten bagi meningkatkan atau menambah baik keseluruhan pengalaman. Pada E3 2021, Ubisoft mendedahkan expansion Siege of Paris dan seperti namanya, pemain akan menuju ke Perancis untuk mengambil bahagian dalam peperangan Viking menentang maharaja terakhir dari Empayar Carolingian, Charles the Fat. Untuk peminat yang tidak sabar menunggu pelancaran expansion ini, saya telah menerima peluang untuk membuat review ringkas tanpa spoiler mengenai update Assassin’s Creed Valhalla: The Siege of Paris. Jadi tanpa melengahkan masa, mari kita mulakan!
Latar belakang naratif

Toka dari Francia mengunjungi Ravensthorpe Settlement untuk memberitahu tentang ancaman raja besar, Charles the Fat. Setelah berbincang, Eivor bersetuju, dan memutuskan untuk pergi ke Paris bagi memastikan tentera Frankish tidak maju sehingga ke Ravensthorpe. Sebagai matlamat utama, Eivor harus melindungi penduduk tempatannya.
Eivor akhirnya terpaksa membantu Sigfred, Toka dan Viking lain di Francia ketika mereka bersiap sedia untuk melancarkan perang paling epik di Paris. Sepanjang perjalanan, Eivor akan bertemu dan menjalin hubungan dengan Queen Richardis serta membina hubungan bersama Count Odo, atau nama gelarannya ” the protector of Paris “. Untuk menamatkan peperangan ini, Eivor terpaksa bersemuka dengan King Charles dan membuat pilihan tentang “siapa yang akan diberi tanggungjawab untuk memimpin Francia sebagai sekutu dan pada masa yang sama, memastikan keselamatan Ravensthorpe.

Saya tidak akan memberi terlalu banyak “spoiler” tentang jalan cerita, tetapi ada 4 watak utama yang kita boleh pilih iaitu:
- Sigfred – Chieftain of the Elgring Clan
- Richardis – Queen of Francia
- Charles The Fat – King of Francia
- Count Odo – Protector of Paris
Membuat pilihan adalah ciri penting dalam permainan dan akan mempengaruhi jalan cerita keseluruhan. Kami sudah membincangkan tentang ciri ini dalam ulasan pertama, dan saya pasti kebanyakan pemain tahu dan faham akan impaknya. Jadi, expansion ini pun tidak terkecuali. Setiap watak mempunyai tanggungjawab penting – jadi siapa yang anda pilih untuk membantu dan setiap keputusan yang dibuat, akhirnya akan membentuk masa depan Francia dalam naratif ini.
Visual dari segi persekitaran

Dalam francais Assassin’s Creed, kami dapat mengunjungi pelbagai lokasi ikonik yang betul-betul wujud dalam sejarah tetapi dalam cara baru. Sama untuk expansion ini, kita akan meneroka Francia yang dibahagikan kepada empat wilayah, masing-masing dengan keunikannya sendiri. Semasa menikmati suasana indah di Sungai Seine, saya dapat melihat betapa cantiknya persekitaran. Ini pula amat berbeza dengan kawasan bandar yang penuh dengan bangkai mayat, suasana yang gelap, dan bangunan bergaya Victoria yang seram (ala-ala Dishonored).

Kita tahu Paris adalah kota yang indah pada masa sekarang, jadi ada kontras yang ketara dalam kerajaan Francia yang dilanda bencana peperangan. Di sini, pemain dapat mengalami dan menyaksikan dengan mata sendiri kehancuran Paris oleh kerajaan yang korupsi. Semua permainan Assassin’s Creed memberi fokus pada “immersion” dan saya harus mengaku, reka bentuk dunia untuk Valhalla adalah yang terbaik dalam siri. Untuk aspek ini, ia adalah antara kelebihan Valhalla.
Cara-cara untuk bermula

Anda akan mendapat akses ke expansion ini setelah menyelesaikan salah satu daripada dua story arc pertama iaitu Grantebridgescire atau Ledecestrescire. DLC The Siege of Paris boleh diakses terus di Ravensthorpe. Seperti yang saya jelaskan di atas, Eivor akan disambut oleh tetamu bernama Toka, yang merupakan orang kanan kepada ketua klan Elgring. Bersama dengan hadiah, dia menyampai berita tentang ancaman yang semakin membesar. Dari sana, Eivor akan memulakan perjalanan ke Francia. Sebuah bangunan baru akan dibina di Settlement bernama Guesthouse. Ini akan menjadi jalan masuk kita ke wilayah Paris.
Harap maklum: Anda mesti membeli DLC. Ia tidak percuma. Selain itu, ia akan tersedia untuk semua pemilik Season Pass.
Tahap Difficulty

Tidak ada Power Level yang wajib untuk mencuba expansion ini tetapi Power Level yang disyorkan untuk Francia adalah 200. Sekiranya anda mempunyai tahap yang lebih tinggi, expansion ini akan mengubah suai secara automatik kepada kekuatan pemain bagi menghasilkan pengalaman yang paling seimbang di mana setiap wilayah Francia akan menjadi lebih sukar daripada yang sebelumnya.
Itu untuk Power Level yang tinggi. Bagaimana pula untuk tahap yang rendah? Ini adalah masalah yang dihadapi oleh banyak pemain AC Valhalla. Power Level yang disyorkan untuk DLC hanyalah 50. Saya agak terkejut apabila melihat tahapnya meningkat sehingga 200. Sekiranya anda ingin tahu, Power Level 200 adalah untuk sesi “end-game” atau hujung permainan (sekiranya pemain hanya melakukan misi berkait naratif utama sahaja). Oleh itu, saya cadangkan supaya pemain baru sekurang-kurangnya menyelesaikan jalan cerita utama sebelum mencuba expansion baru ini. Walaupun dapat mengakses DLC dari awal, saya sarankan JANGAN. Anda boleh mati dengan hanya satu tembakan anak panah jika tak cukup Power Level.
GAMEPLAY
“Infiltration Mission“

Terdapat beberapa Infiltration Mission dalam DLC The Siege of Paris yang merupakan versi moden untuk “black-box mission” yang menjadi kegemaran bagi ramai peminat. Sebagai sebahagian daripada naratif utama, Infiltration Mission terdiri daripada beberapa acara dan misi yang mendorong pemain untuk meneroka dan menyelesaikan isu-isu kecil sehingga dapat mengesan sasaran. Dengan menyiasat sasaran lebih lanjut, pemain juga akan membuka adegan pembunuhan istimewa. Expansion kali ini mengandungi 5 Infiltration Mission tetapi saya tidak akan membocorkan apa-apa kandungan spesifik. Ubisoft pertama kali memperkenalkan konsep misi black-box dalam Assassin’s Creed Unity (2014). Namun, mekanik tersebut lambat-laun menghilang supaya francais dapat lebih fokus pada sistem open-world dan mekanik RPG.
Kembali pada topik penjelasan. Infiltration Mission memberi kebebasan kepada pemain untuk menyelesaikan misi dalam cara yang mereka anggap sesuai. Semasa melakukan bahagian tertentu dalam kempen, pemain akan diberi misi untuk membunuh sasaran tertentu. Pemain mempunyai banyak peluang dan kaedah untuk mencapai tujuan itu dengan: mencari laluan masuk, mengikuti sasaran untuk mendapatkan lebih banyak petunjuk, atau mencuri kunci bagi membuka pintu. Akhirnya, ia terserah kepada pemain untuk merancang dan memilih jalan mereka sendiri demi menyelesaikan misi. Setelah membunuh sasaran, misi tidak akan selesai sehingga kita melarikan diri dari lokasi kejadian.

Walaupun mekanik open-world/RPG umumnya diterima dengan baik oleh para pemain, ramai dalam komuniti (termasuk saya) merasakan bahawa entri baru-baru ini kehilangan perasaan dan daya tarikan dari permainan lama. Nama pun ASSASSIN’S CREED! Stealth harus menjadi tumpuan utama! Di Valhalla, saya tidak ada sebab untuk benar-benar menggunakan jalan “stealth” kerana ia lebih mudah untuk membunuh musuh secara berdepan. Nasib baik lah, Ubisoft memperkenalkan Infiltration Mission semula supaya pemain sekali lagi mempunyai kebebasan kreatif untuk menangani misi dalam pelbagai cara.
Rat Swarm

Ini adalah ciri baru, dan sekali lagi saya akan mengaitkannya dengan permainan Dishonored. Rat Swarm (seperti namanya) adalah sekumpulan tikus berbahaya yang tinggal di Francia dan merupakan sebahagian daripada teka-teki atau halanagan semasa kita bernavigasi. Tikus-tikus ini akan menyerang NPC berdekatan atau Eivor tetapi pemain boleh memilih untuk menghalau tikus-tikus ini untuk sementara waktu dengan mengayunkan senjata, memerangkap mereka di dalam longkang untuk memudahkan perjalanan atau menggunakan jalan alternatif ke sasaran. Saya biasanya akan menekan butang ‘attack’ dan membiarkan tikus-tikus tersebut kerana haiwan ini sebenarnya amat berguna ketika kita ingin melarikan diri. Tikus-tikus tersebut akan menyerang musuh yang mengejar kita lantas memberi lebih banyak masa dan ruang untuk Eivor melarikan diri.
Jenis musuh baru

Jenis musuh baru adalah Frankish Knight. Setakat ini, merekalah antara musuh yang paling menjengkelkan pernah saya hadapi dalam permainan. Sangat berbeza dengan serigala dan druid dalam expansion sebelum, Frankish Knight adalah musuh yang menunggang kuda dan menggunakan taktik pukul dan lari. Bayangkan betapa menjengkelkan musuh ini kerana setiap kali saya ingin menyerang, mereka akan lari. Memakai busur dan anak panah, senjata yang panjang seperti kapak atau lembing dan menggunakan skill sangat disyorkan untuk menewaskan Frankish Knight. Mereka bukanlah yang paling sukar, cuma terlalu menjengkelkan.
Jenis senjata baru

Scythe adalah senjata terbaru yang kita boleh pakai dalam permainan di mana ia eksklusif hanya untuk DLC ini tetapi boleh dibawa ke permainan utama. Scythe adalah senjata yang panjang, besar, berat, dan dianggap sebagai two-handed weapon. Walaupun kurang daripada segi kelajuan, Scythe boleh melakukan damage yang tinggi, terutama apabila kita gabungkan dengan purata Stun dan Critical yang tinggi. Ia sangat sesuai untuk CC (crowd control) kerana jarak serangannya yang hampir 360′. Tidak begitu sesuai untuk pertempuran 1v1, tetapi jika anda pakar dalam senjata berat, ia bukanlah masalah besar. Saya mencadangkan pemain untuk membuka abiliti “dual heavy wielding” supaya kita dapat menggunakan DUA Scythe pada masa yang sama untuk melakukan damage maksimum secara efektif! Musuh dengan perisai pun boleh mati hanya dengan dua serangan sahaja.
Pendapat

Secara keseluruhan, saya sebenarnya lebih menikmati tempoh review saya di Assassin’s Creed Valhalla: The Siege of Paris berbanding di Wrath of the Druids. Ini mungkin kerana Ubisoft memperkenalkan black-box mission semula, tetapi sekarang ada lebih banyak variasi. Sudah tentu, kita boleh bermain secara stealth sebelum ini, tetapi permainan utama memberi lebih banyak penekanan kepada bertarung musuh secara langsung. Sekarang kita mesti membunuh dari gelap, jadi saya sangat menyukai penambahan klasik ini. Untuk jalan cerita, ia masih mengekalkan konsep yang sama iaitu kerajaan baru, dan Eivor harus bantu menewaskan raja yang jahat. Tidak ada yang baru, tetapi peminat sejarah mungkin akan menyukainya kerana Ubisoft menyentuh bagaimana warga Norse boleh datang ke Paris dalam bentuk visual yang lebih seronok untuk kita belajar.
Dari segi persekitaran, saya sebenarnya dapat melihat perbezaan antara Paris dan Ireland. Ini bermaksud Ubisoft tidak meniru semua aset lama dan meletakkannya dalam Paris. Dari bangunan hingga pokok, semuanya (agak) baru. Ini bukan masalah untuk permainan AC yang lalu, jadi saya tidak ada masalah untuk aspek tersebut. Satu-satunya perkara yang saya ingin mengadu ialah DLC ini tidak sesuai untuk pemain baru yang baru sahaja mula bermain. Ya, anda boleh mengakses DLC ini setelah menyelesaikan wilayah pertama dalam jalan cerita utama, tetapi tahap kesukarannya terlalu tinggi. Sila anggap ini sebagai kandungan “end-game” dan jangan membuta tuli masuk.

Rasanya itu sahaja review saya untuk Assassin’s Creed Valhalla: The Siege of Paris. Bagi mereka yang berminat, expansion ini akan dilancarkan pada 12 Ogos, tetapi anda perlu memiliki permainan asas Assassin’s Creed Valhalla yang kini tersedia di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X danSeries S, dan Microsoft Windows untuk bermain. Untuk segala liputan kami tentang permainan, sila tekan pautan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
Video gameplay

@gamersantaimy
Discussion about this post