Walaupun PlayStation 4 berusaha untuk membawa generasi perkakasan semasa ke konsol Sony, PlayStation 5 adalah langkah yang berani ke arah masa depan “gaming“. Kuasa merupakan komponen utama untuk PC gaming, dan Sony ingin menawarkan perkara yang sama, tetapi pada masa yang sama, ingin mengutamakan beberapa ciri-ciri unik untuk menonjolkan kehebatan permainan konsol.
“Immersion” atau imersif adalah perkara pertama kita fikir ketika bercakap tentang PS5, daripada cara alat kawalannya terasa lebih selaras dengan aksi di paparan dan kekuatan perkakasan yang memfokuskan pada adegan dalam permainan.
Kami di Gamer Santai telah menghabiskan seminggu lebih dengan PS5 (tekan sini untuk baca unboxing GS) untuk melihat apa yang ditawarkan oleh konsol generasi seterusnya kepada gamer sekalian, dan walaupun ada beberapa limitasi, konsol ini menyajikan banyak sebab untuk pengguna teruja.
Reka Bentuk Konsol PlayStation 5
PS5 adalah salah satu konsol permainan terbesar yang pernah wujud. Setelah menggeluarkannya daripada pembungkusan, kami menemui bahawa sebahagian besar kotak diisi oleh konsol terbaru Sony. Tanpa mengira sama ada ia berdiri tegak atau dalam posisi baring, PlayStation 5 memang besar.
Reka bentuknya mungkin menjadi titik fokus anda semasa unboxing, di mana ramai yang memuji Sony kerana memberanikan diri mencuba reka bentuk yang baru manakala yang lain mengharapkan sesuatu yang lebih futuristik dan kekalkan reka bentuk hitam. Bagi pendapat saya, ia benar-benar berpihak kepada pilihan peribadi pengguna, tetapi matlamat reka bentuk PS5 sebenarnya berfungsi untuk menjaga suhu dan tahap kebisingan konsol.
Sesiapa sahaja yang memiliki PS4 pasti tahu betapa kuatnya kipas di dalam konsol, sehingga audio permainan pun boleh tenggelam. Sebaliknya, PS5 pada kebanyakkan masa agak senyap tanpa mengira jenis permainan atau tempoh bermain. Udara panas masih akan keluar daripada ri lubang udara (kebanyakan di bahagian belakang), tetapi ia tidak pernah menjadi terlalu panas. Sekiranya mengekalkan suhu perkakasan yang hebat di dalam PlayStation 5 adalah tujuan reka bentuknya maka Sony nampaknya telah berjaya.
Sama ada elemen ini akan memberi kelebihan pada Sony kerana mencuba sesuatu yang baru dengan reka bentuk PS5, adalah berpihak kepada pendapat pengguna, tetapi sukar untuk dinafikan bahawa pilihan yang dibuat amat berkait denga perkakasan di dalam. Termal dan bunyi adalah faktor utama dalam permainan PC, dan sekarang permainan konsol juga mula mengutamakan kualiti tersebut.
Alat Kawalan DualSense
Walaupun beberapa elemen reka bentuk sudah berubah, alat kawalan DualSense adalah kemajuan semula jadi daripada DualShock 4. Alat kawalannya sedikit lebih besar, tetapi masih terasa selesa di tangan pemain veteran PlayStation. Satu-satunya perbezaan utama adalah butang mungkin terasa sedikit licin dan lebih mudah ditekan.
Bagi yang lain, daripada susun atur hingga pilihan butang (option, share, dll.) adalah lebih kurang sama, dengan sedikit perubahan pada saiz atau reka bentuk. Tiada apa perubahan besar yang akan menjengkelkan pemain dan semuanya mudah diakses dan disusun dengan baik.
Sudah tentu, inovasi utama DualSense adalah fitur “adaptive trigger” dan “haptic feedback“. Kedua-dua fitur ini berpotensi mengubah pengalaman pengguna daripada aspek reka bentuk gameplay dan imersif. Ia juga boleh menjadi ciri unik yang hanya akan digunakan oleh pemaju pihak pertama, tetapi Sony menjelaskan dengan tepat bagaimana fitur-fitur ini dapat menyerlahkan lagi pengalaman pengguna.
Ada yang mungkin berpendapat bahawa adaptive trigger hanyalah membikin lebih banyak “tension” pada R2 atau L2, tetapi ia sebenarnya bukan hanya semudah itu. Cara penggunaannya amat berbeza dari semasa ke semasa, tetapi adaptive trigger pada dasarnya dapat meniru tindakan atau persekitaraan dalam beberapa cara yang pintar. Misalnya di Astro’s Playroom, adaptive trigger dapat menghasilkan rasa tension yang tinggi untuk mensimulasikan perasaan memanjat atau mendaki sisi bukit.
Pada mulanya, perasaan tension ini tidak terlalu tinggi tetapi kemudian kita akan mengalami sejenis “klik” seolah-olah jari-jari berjaya mencengkam membungkus sisi bukit, dan kemudian tension ini akan kekal. Satu lagi contoh lain adalah apabila Spider-Man: Miles Morales memberikan sedikit ketegangan semasa “web-swinging” untuk mensimulasikan aksi hayunan awal sebelum momentum menggerakkan watak ke hadapan.
Walaupun adaptive trigger menawarkan pengalaman berlainan untuk sejenis permainan, ia akhirnya akan menjadi sebahagian daripada pengalaman. Adaptive trigger tidak pernah menghalangi permainan atau membuatnya “lebih sukar” tetapi mencipta pengalaman yang terasa lebih natural. Namun, setiap permainan akan mendekatinya dengan cara yang berbeza, dan ada pengguna yang mungkin lebih menyukai fitur ini daripada yang lain. Untuk permainan jenis shooter, kita dapat melihat ini menjadi cara yang baik untuk membezakan antara jenis senjata.
Haptic feedback di DualSense pula tidak memberi impak yang sama besar, tetapi masih menambah sedikit pengalaman berbeza semasa bermain. Di konsol PS4 biasa, vibration atau getaran hanya terasa seperti maklum balas binari, tetapi untuk PS5, haptic feedback cuba meniru interaksi di dalam paparan. Sekiranya pemain melangkah ke dalam air yang mengalir, kita akan merasa aliran ombak yang tenang di alat kawalan.
Jika pemain sedang menaip di komputer dalam Spider-Man: Miles Morales, ada getaran yang mensimulasikan setiap penekanan kekunci. Biasanya, kita akan meletakkan alat kawalan ke bawah atau membiarkannya berehat semasa cutscene atau sinematik, tetapi Haptic Feedback akan menyuruh pemain untuk memegang alat kawalan dengan kuat daripada awal hingga akhir kerana elemen getaran di DualSense kini boleh sebahagian daripada aspek penceritaan.
Seperti Adaptive Trigger, penggunaan Haptic Feedback amat berbeza mengikut pemaju, tetapi tidak sukar untuk melihat cara-cara teknologi ini dapat digunakan. Sesuatu yang mudah seperti membezakan jenis tanah yang watak berjalan pon boleh menjadi imersif. Bagi mereka yang tidak suka, fitur ini boleh dimatikan di tetapan.
Jangka hayat bateri juga sepatutnya lebih kuat. Saya tidak mengira denan tepat tetapi sepanjang tempoh bermain selama hujung minggu, saya hanya perlu mengecas sekali sahaja menggunakan cable USB Type-C. Butang-butang pula semuanya mempunyai warna yang saa sekarang, bukan warna individu (segitiga – hijau, bulat – merah, segi empat – merah jambu, X – biru). Ini kelihatan lebih seragam, tetapi atas sebab nostalgia, saya lebih suka skema warna lama.
Agak aneh untuk menonjolkan alat kawalan sebagai salah satu titik penjualan terpenting dalam sebuah konsol baru, tetapi DualSense mempunyai pelbagai potensi menarik. Adaptive trigger dapat menambahkan sedikit variasi pada tindakan atau aksi yang repetitif, dan haptic feedback pula dapat memperdalam elemen imersif dengan cara yang halus. Walaupun anda memilih untuk mengabaikan penambahan tersebut, DualSense adalah alat kawalan terbaik dan paling responsif yang dicipta oleh Sony setakat ini.
UI Baru PlayStation 5
Sebelum saya cerita tentang UI, saya harus menunjukkan yang PS5 sangat membantu pengguna semasa “start-up“. Sekiranya anda sudah mempunyai akaun PSN, ia membolehkan anda login melalui kod QR. Ini sangat berguna jika anda paranoid seseorang akan melihat anda menaip kata laluan di TV atau monitor.
UI PS5 mempunyai beberapa perubahan yang mungkin mengelirukan pengguna lama pada mulanya. Fungsi butang PS atau cara meletakkan konsol ke dalam Rest Mode adalah amat berbeza, tetapi bukan dalam cara yang buruk. Setiap pengguna mempunyai bahagian UI yang mereka utamakan dan Sony berusaha menjadikan semua aspek lebih mudah diakses, dan berkat SSD, keseluruhan pengalaman kini menjadi lebih cepat, jadi fakta ini pun sudah cukup sebagai peningkatan besar berbanding era PS4. Sony juga mencuba untuk menawarkan cara baru semasa menavigasi menu yang kekal fokus pada permainan.
Dengan menekan butang PS, ia akan menampilkan menu ringkas yang boleh diubah suai dengan pilihan untuk kawalan kelantangan bunyi, pengurusan party, dan banyak lagi. Ada juga fitur baru bernama Switcher yang membolehkan pengguna menukar permainan dengan cepat tanpa harus menavigasi kembali ke menu utama. Switcher hanya mengingatkan dua permainan terakhir yang diakses oleh pengguna, tetapi bagi mereka yang suka melompat-lompat antara permainan, ini adalah ciri yang sangat berguna.
Boleh dikatakan perubahan terbesar untuk UI adalah Game Hub, yang mengumpulkan segala maklumat tentang apa-apa permainan di perpustakaan pemain. Terdapat pemantauan Trophy untuk melihat kemajuan seseorang dalam tugas-tugas tertentu dan bahkan beberapa petunjuk juga diberikan untuk anda yang suka memburu trofi. Semuanya sepenuhnya optional tetapi terdapat banyak maklumat yang mudah diakses untuk setiap permainan individu.
Zaman tema juga sudah tamat. Di PS4 dan PS3, anda boleh meletakkan tema untuk di menu utama untuk menyerlahkan lagi personaliti anda. Sebagai contoh, saya mempunyai tema Tifa daripada Final Fantasy VII Remake, di mana ia akan memainkan muzik daripada permainan dan menggantikan kesan bunyi istimewa. Di PS5, semua itu sudah tiada. Sebaliknya, kita mendapat sejenis “tema mini” berdasarkan permainan yang kita letakkan kursor.
PS5 telah menambah baik fitur “Share” di PS5. Di PS5, anda dapat mengawal “berapa lama anda mahu merakam“. Anda juga boleh merakam untuk masa depan, dengan memilih “Please record the next one hour“. PS5 juga merakam jika anda mendapat “achievement“, selain daripada mengambil gambar.
Sebilangan besar perubahan yang telah dibuat oleh Sony ke UI adalah untuk menjadikan menu yang penting lebih mudah diakses. Ia kini lebih mudah untuk bergerak di UI (sebahagian besarnya disebabkan oleh CPU dan SSD yang lebih pantas) dan ciri-ciri utama juga lebih mudah diakses. Yang paling penting, semuanya terasa lebih senang daripada generasi terakhir, yang merupakan peningkatan kritikal. Pengalaman masih terasa selesa, cuma ia mempunyai susun atur yang lebih baik dan menjadikan ciri-ciri utama lebih mudah dikunjungi.
Perasaan bermain di PS5
Pada masa penulisan, kami tidak mencuba banyak permainan selain daripada Astro’s Playroom, Call of Duty: Black Ops Cold War,Demon’s Soul dan Spider-Man: Miles Morales, jadi penilaian untuk permainan lain seperti Sackboy: A Big Adventure harus menunggu ulasan masing-masing.
Astro’s Playroom disertakan sekali dengan konsol PS5 dan nampaknya dicipta sebagai tutorial untuk alat kawalan DualSense dan kekuatan perkakasan. Visualnya memang lawa dalam resolusi 4K60 dan permainan akan melonjak dari satu tahap ke tahap yang lain dengan lancar. Walaupun begitu, fungsi sebenar Astro’s Playroom hanyalah untuk menonjolkan apa yang ditawarkan oleh alat kawalan DualSense dalam pelbagai senario.
Antara permainan yang boleh dimainkan di PS5 termasuk:
- Spider-Man: Miles Morales
- Demon’s Soul
- Astro’s Playroom
- Devil May Cry V: Special Edition
- Call of Duty: Black Ops Cold War
- Assassin’s Creed Valhalla
Untuk sesiapa yang mempunyai langganan PS Plus, PS Plus Games Collection adalah senarai permainan gen lalu yang cukup mengagumkan untuk pengguna dapatkan secara percuma. Jika PS5 adalah konsol pertama anda, ini adalah cara terbaik untuk bermainan permainan PS4 yang anda terlepas seperti God of War, Bloodborne dan Final Fantasy XV.
Spider-Man: Miles Morales mempunyai pendekatan yang lebih tradisional, iaitu untuk menonjolkan kehebatan PS5. Seperti yang saya tulis dalam ulasan lama di PS4, ini adalah antara permainan paling cantik yang dikeluarkan oleh Sony setakat ini. Selain itu, penggunaan Ray Tracing membuatkan permainan lebih menakjubkan, dengan load time yang seperti “tidak wujud“, dan kecepatan aksi yang sentiasa kekal konsisten. Sama ada permainan mengutamakan visual atau frame rate, Spider-Man: Miles Morales adalah permainan yang hebat untuk menunjukkan kekuatan yang ditawarkan oleh PS5.
Malah permainan yang tidak direka khusus untuk PS5 juga mendapat banyak kelebihan daripada SSD dan perkakasannya yang lebih kuat. Load time dalam permainan adalah sangat pantas (biasanya dalam masa kurang daripada 30 saat dari permulaan) dan prestasinya jauh lebih konsisten. Visual pun lebih tajam dan dengan mudah dapat capai 4K atau hampir. Pengalaman saya sendiri terasa lebih teratur, di mana melakukan sesuatu yang mudah seperti pergi ke menu untuk melaburkan mata ke abiliti pun kekal pantas.
Sebilangan besar perbincangan tentang PS5 telah memfokuskan pada SSD dan permainan yang mendapat kelebihan besar. Dalam permainan “open-world” seperti Spider-Man: Miles Morales, tidak ada lagi perasaan kekangan. Pertempuran masih kelihatan luar biasa, cutscene memang sangat terperinci, dan dunia nampak lebih “hidup” atau realistik. Kamera dengan mudah dapat menjejaki aktiviti pemain dan semuanya kelihatan sempurna, atau kamera boleh menjadi luas dan pemain akan melihat seluruh bandar yang terperinci.
Tidak perlu dipersoalkan, GPU dan CPU yang lebih baik adalah sebahagian daripada pencapaian ini, tetapi SSD membantu membuatnya lebih lancar. Untuk ceritakan pengalaman saya, ia terlalu menggembirakan buat saya untuk menggunakan “fast-travel“, di mana skrin berubah menjadi hitam dalam hanya satu saat, dan kemudian kita boleh segera sambung beraksi.
Hampir mana-mana permainan PS4 yang kamu lihat diuji dalam talian, tidak kira jika third party atau first party, akan berjalan dengan lebih baik di PS5. Permainan yang telah dioptimumkan secara khusus untuk generasi berikutnya, seperti God of War dan Ghost of Tsushima, akan mencecah purata 60FPS yang konsisten dalam Performance Mode atau mencecah 4K yang lebih terperinci pada Graphics Mode. Walaupun permainan itu belum dioptimumkan sama sekalipun, ia masih dapat bermain dengan lebih pantas dan kelihatan lebih baik.
Kerana terdapat banyak lagi permainan yang belum tersedia untuk PS5, kami belum tahu lagi bagaiman setiap permainan akan memanfaatkan keunikan perkakasan. Namun begitu, kecanggihan grafik dan kelajuan frame rate itu adalah kelebihan wajib dalam mana-mana permainan.
Pendapat
Walaupun PlayStation dan Xbox ingin mengekalkan status quo pada generasi dahulu, saya harus memuji Sony kerana percubaan mereka untuk menyerlahkan beberapa aspek baru PS5. Tidak semua perubahannya akan dihargai oleh peminat, tetapi yang paling penting, ia menjaminkan kehebatan PS5.
Keupayaan grafiknya sudah cukup kuat untuk mencipta dunia mengasyikkan yang penuh dengan perincian pada pelbagai skala dan SSD-nya benar-benar mengagumkan sehingga mampu menghilangkan load time. Paling mengejutkan sekali ialah alat kawalan DualSense, kerana banyak menjauhkan diri daripada DualShock dengan menawarkan adaptive trigger dan haptic feedback.
Generasi PS5 baru sahaja bermula, tetapi masa depan kelihatan sangat cerah untuk konsol ini. Sama ada daripada segi imersif, kemudahan penggunaan, atau konsol dengan perkakasan yang canggih, Sony kelihatan bersedia untuk membawa PS5 ke tahap seterusnya. Sony PlayStation 5 telah keluar di Malaysia pada 11 December 2020 dengan harga RM2,299 untuk versi pemacu BluRay dan pada harga RM1,869.00 untuk versi digital. Untuk segala liputan kami tentang PS5, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post