World of Warcraft: Shadowlands akan dilancarkan pada 23 November 2020, berikutan penundaan kerana isu kualiti kandungan akhir permainan. Walaupun menyedihkan, keputusan ini disambut dengan baik oleh para pemain yang tidak sabar untuk menyambung kisah MMORPG popular ini. Saya sendiri tidak terkejut dengan respon peminat kerana Shadowlands adalah salah satu kisah paling menarik dalam francais WoW, dengan beberapa zon berbeza yang menawarkan sebuah kisah unik.
Sebelum ini semua berlaku, pasukan biasanya merancang satu hingga dua tahun lebih awal sebelum mula menghasilkan zon dan makhluk. Ia bermula dalam satu sesi brainstorming antara setiap ketua bahagian dan kemudian diteruskan dengan seni konsep dan perkembangan jalan cerita.

Pelancaran rasmi sudah semakin dekat, dan kami berpeluang menemu ramah Lead Game Designer, Morgan Day, dan Executive Producer, John Hight untuk membincangkan idea, konsep, dan motivasi mereka bagi World of Warcraft: Shadowlands. Segalanya diluahkan, dan saya rasa ada beberapa penambahan menarik yang peminat patut tahu.
Shadowlands mempunyai lapan dungeon baru di mana pemain akan mempelajari lebih banyak tentang kawasan dan jalan cerita ketika menerokai zon-zon ini. Sebagai contoh, Mist of Tirna Scithe adalah salah satu bahagian pertama yang meminta pemain menjelajah dan menyelesaikan teka-teki mudah di labirin berkabus demi mengejar Faerie. Jangan jelajah membuta sahaja kerana maklumat daripada petunjuk daripada persekitaran sekeliling boleh digunakan untuk mengalahkan bos tertentu di dalam zon.
Seterusnya, Blizzard ingin memperkenalkan pemain kepada elemen Convenant kerana ia adalah antara aspek terpenting untuk kita memahami, menghargai, dan nilai budaya setiap kaum bagi memutuskan mana yang paling sesuai untuk anda. Itulah sebab utama naratif Shadowlands begitu linear. Permainan juga mengharuskan kita pilih watak yang positif (bukan antagonis) selepas peristiwa nilai yabg menghancurkan laluan bagi roh memasuki Maw. Ini menghalang setiap roh untuk menyertai Convenant pilihan, jadi tugas anda sebagai Maw Walker adalah untuk membetulkan keadaan di Shadowlands.
Daripada jalan cerita semasa dan sinematik Shadowlands, penampilan Sylvanas telah berubah menjadi sangat negatif. Pemaju menjelaskan bahawa ini ialah matlamat mereka untuk sesuatu yang bikin kontroversi, dan mahu orang salah faham dengan perwatakan sebenarnya. Kini, tugas pemain adalah untuk memperbaiki Shadowlands, dan pada masa yang sama, memahami mengapa Sylvanas memilih jalan ini.
Ramai yang tertanya jika watak yang terperangkap di Shadowlands boleh dihidupkan semula.. Sebenarnya, setelah anda memasuki Shadowlands, tiada siapa yang boleh kembali, kecuali Ardenweald yang sebahagian daripada kitaran hidup. Apabila roh menyeberangi antara Ardenweald dan Emerald Dream, ia boleh dilahirkan semula dan kembali ke Azeroth. Oleh itu, ia adalah zon di mana pemain boleh meneroka beberapa konsep naratif.
SPOILER: “Sekurang-kurangnya satu watak terkenal akan mati di Ardenweald selepas adegan bersama Night Fae.” –John Hight.

Shadowlands mungkin menyingkirkan banyak teori lama tentang kisah Warcraft, tetapi juga berpotensi memberi jawapan untuk beberapa pertanyaan terbesar mengenai kosmologi Warcraft. Memahami dengan tepat bagaimana Shadowlands menyesuaikan diri dengan kisah sedia ada akan menjadi misi utama untuk pemain WoW seperti saya ketika expansion keluar pada hujung bulan ini.
Untuk pemain baru yang mencuba WoW: Shadowlands, sebuah zon permulaan baru bernama Exile’s Reach telah diwujudkan yang mempunyai tutorial yang lebih mantap tentang cara-cara WoW berfungsi dengan penjelasan sistem dan pertempuran. Ia akan bantu meningkatkan level pemain hingga lvl 10 dan berakhir dengan latihan dungeon bersama tiga watak lain supaya pemain baru merasa lebih selesa dengan mekanik permainan. Antara contoh yang saya boleh beri ialah Class Quest yang membantu pemain belajar tentang identiti setiap watak, dan apa yang mereka boleh lakukan dalam objektif dan misi. Banyak usaha dikerahkan untuk mencipta pengalaman ini. Dengan kaedah baru untuk leveling, ia memudahkan pemain untuk meningkat level maksimum dan mengurangkan masa yang dilabur untuk mencapai level maksimum bersama bantuan kawan atau NPC tanpa merasa melecehkan atau bosan.

Blizzard mengkaji bagaimana untuk memantapkan lagi pengalaman seseorang pemain dan ternyata grinding hingga lvl 130 bukanlah sesuatu yang menarik bagi kebanyakan orang. Level cap maksimum telah diturunkan ke lvl 60 dan bonus statistik sepatutnya akan berfungsi dalam cara yang hampir sama supaya pemain tidak melihat jurang perbezaan besar.
Dengan “level reflow”, pemain akan menerima sihir/kemahiran baru, dan membuka fitur atau lokasi tertentu, selepas meningkat setiap level. Daripada 50 hingga 60, pemain pasti mendapat peningkatan atau kebolehan yang serba baru untuk bantu menerokai dunia Shadowlands. –Morgan Day.
Kembali pada topik Convenant, pemain berpeluang menyertai salah satu Convenant selepas mencapai level maksimum. Pemain akan bertemu salah satu Covenant semasa memasuki kawasan, lalu sejenis abiliti istimewa akan diberikan berdasarkan kelas anda. ini dinamakan sebagai Soulbind. Pertama sekali, kita menerima Class Ability baru yang bersifat tematik dengan Convenant tersebut. Kedua ialah abiliti tambahan yang lebih kepada arah utiliti atau mobiliti. Dengan semua perkara ini digabungkan, pemain boleh menilai setiap kekuatan dan kelemahan Convenant untuk pilih playstyle yang sesuai.
*Petunjuk awal menunjukkan bahawa Covenant akan memberi akses kepada set baju besi baru.*
Sistem Convenant juga memberikan talent tree baru apabila pemain memihak kepada salah satu Covenant. Sama seperti pemilihan Convenant, pemain boleh memilih statistik atau abiliti yang ingin ditingkatkan, bagi membentukkan watak kepada sejenis build tertentu.

Untuk aspek PvP, banyak perkara menarik telah ditambah selepas pemaju mendengar sentimen pemain dan maklum balas komuniti yang ingin gameplay yang adil dan saksama. Antaranya ialah pengenalan semula PvP Vendor, Honor Vendor dan Conquest Vendor di mana anda boleh memperoleh mata wang semasa mengambil bahagian dalam aktiviti PvP untuk membeli dan menaik taraf gear dan peralatan tertentu. PvP World Quest juga diperkenalkan dan hanya tersedia jika anda berada dalam War Mode. Bersamanya ialah beberapa arena baru seperti Elysium Hold, yang merupakan kubu bagi puak Kyrian.
Sementara itu, komuniti sering mengadu tentang ganjaran Chest yang kerap memberi item yang tidak perlukan, atau ganjaran yang sama berulang kali. Oleh itu, dengan penambahan Great Vault, fitur inimembenarkan pemain untuk memilih item yang diingini daripada senarai barangan rawak.

Seiring dengan pelancaran konsol next-gen seperti PS5, dan Xbox Series X, khabar angin dalam talian mengisyaratkan pengesahan Controller Support adalah petanda Blizzard ingin bersiap sedia untuk generasi seterusnya. Malangnya, itu bukan sebabnya kerana Blizzard ingin memastikan permainan dapat dimainkan oleh sebanyak mungkin pemain. Sebilangan pemain merasa ia sukar untuk bermain dengan papan kekunci dan tetikus. Melalui maklum balas tersebut, pasukan pemaju memasukkan beberapa kaedah tambahan ke UI dengan sokongan gamepad atau peranti bukan tradisional, agar semua orang dapat menikmati permainan.
Seluruh pasukan ingin menghadirkan gameplay terbaik kepada peminat dan berasa sangat beruntung kerana ramai menyertai ujian beta lalu. Melalui ujian ini, ia membolehkan mereka untuk benar-benar memfokuskan pada kawasan yang perlu dibaiki dan ditambah baik. Tetapi seperti biasa, World of Warcraft adalah permainan yang besar dan pemain sering kali menjadi orang yang pertama untuk menemui sesuatu yang bermasalah. Pasukan pemaju akan sedaya upaya bertindak balas terhadap isu tersebut, dan mendengarkan kata-kata komuniti. Sebagai contoh, jika ada sesuatu watak, kelas, atau item yang benar-benar OP (over-powered), misi pemaju adalah untuk membuat perubahan supaya ia kekal adil bagi semua pemain.

Sedikit bonus untuk peminat yang nantikan kolaborasi antara FFXIV dan World of Warcraft! John Hight mengesahkan berita ini dan berkata yang dia sudah bertemu dengan beberapa ahli pasukan mereka.
“Saya rasa kami jumpa beberapa tahun yang lalu. Ia berjalan agak baik kerana kami bercakap tentang setiap persamaan. Kami telah merancang dengan cara yang serupa dan menghadapi beberapa masalah umum yang sama, jadi ia bagus untuk mempunyai beberapa persamaan. Kami telah berbincang tentang “beberapa perkara yang menarik jika ia dimasukkan dalam permainan” tetapi saya tidak tahu mengapa kita tidak sambung berbincang selepas itu. Saya rasa mungkin kerana kedua-dua pasukan sangat sibuk. –John Hight.
Dengan kemunculan permainan moden seperti Genshin Impact dan VALORANT, cara World of Warcraft kekal relevan hinnga hari ini adalah dengan perkembangan setiap expansion dan kemas kini kandungan. Setiap expansion mempunyai fitur utama baru dan evolusi setiap kelas dalam permainan. WoW mempunyai pelbagai aktiviti yang luas untuk pemain cuba dan itu menjadi antara kekuatan mereka sehingga mampu menarik perhatian peminat selama 16 tahun.

Blizzard dan pasukan pemaju menyedari kesalahan mereka semasa pembikinan WoW pada beberapa tahun yang lalu, jadi dengan Shadowlands, mereka membenarkan anda mempunyai pilihan yang lebih untuk menggambarkan diri sendiri atau siapa yang anda mahu bermain dengan lebih baik semasa memasuki Azeroth.
Itu sahaja untuk temuramah ini. Untuk segala liputan kami termasuk ulasan, berita, dan lain-lain tentang World of Warcraft: Shadowlands, sila ikuti pautan ini. World of Warcraft boleh didapati di PC manakala World of Warcraft: Shadowlands akan dilancarkan pada 23 November 2020.

@gamersantaimy
Discussion about this post