Pada bulan Jun lalu, Square Enix telah mengesahkan game spinoff “musical rhythm” KINGDOM HEARTS Melody of Memory yang akan dilancarkan tahun ini untuk PS4, Xbox One, dan Switch. Selain daripada menjadi penampilan pertama Kingdom Hearts di Nintendo Switch, KINGDOM HEARTS Melody of Memory akan mempunyai 20 playable character serta 140 lagu daripada dunia Kingdom Hearts dan Disney. Di samping mod single player, KINGDOM HEARTS Melody of Memory juga mempunyai mod online multiplayer.
Itu sahaja yang sepatutnya kita tahu tentang permainan, tetapi berkat temuramah eksklusif bersama produser Ichiro Hazama & pengarah bersama Masanobu Suzui daripada Indieszero, saya berjaya mendapatkan info lanjut tentang permainan yang dinanti-nantikan ini. Ayuh kita selami minda mereka!

Pada mulanya, Suzui dan Hazama mengusahakan siri aksi irama Theatrhythm. Oleh itu, mereka fikir ingin membuat siri permainan irama berdasarkan konsep yang sama untuk Kingdom Hearts. Idea ini datang kira-kira 5 tahun yang lalu. Hanya sehingga baru-baru ini, Tetsuya Nomura berbincang dengan Disney yang cukup bersemangat untuk membawa Kingdom Hearts ke arena permainan irama. Lantas, Nomura menjadi pengarah, dan memfokuskan pada visual dan jalan cerita untuk menjadikannya permainan irama Kingdom Hearts yang baik agar ia tidak mengikuti contoh gaya siri Theatrhythm yang lain.
Perkara yang membezakan KINGDOM HEARTS Melody of Memory daripada siri Theatrhythm ialah asas atau latar belakangnya. Mereka cuba menjadikan gameplay dan butang agak serupa dengan Kingdom Hearts 3 sambil menambahkan lebih banyak elemen permainan irama, seperti menggunakan butang L1 dan R1 untuk melakukan serangan pasukan. Kemudian kita ada party yang terdiri daripada tiga watak, musuh akan keluar untuk menyerang daipada pelbagai arah, dan pergerakan ikonik daripada francais.
Ia disahkan bahawa terdapat 20 playable character dalam permainan, termasuk watak Disney tetapi ramai tertanya jika watak Final Fantasy juga akan disertakan. Hazama terus terang bahawa tidak akan ada watak Final Fantasy dalam permainan. Party terdiri daripada watak-watak utama daripada permainan Kingdom Hearts lalu dan watak Final Fantasy hanya lah tetamu di dunia Kingdom Hearts. Suzui kemudian menjelaskan yang mereka ingin memberi tumpuan kepada kolaborasi bersama Disney kerana sudah menghasilkan Final Fantasy kepada permainan irama, dan tidak ingin permainan yang berulang-ulang.
Bagi pemain yang tidak pernah bermain Kingdom Hearts sebelum ini tetapi ingin mencuba KINGDOM HEARTS Melody of Memory, jangan risau. Kebanyakkan pasukan pemaju adalah peminat tetapi itu tidak bermaksud semua dalam pasukan pernah bermain Kingdom Hearts. Bagi sebilangan daripada mereka, ini ialah pengalaman baru dan semasa penghasilan, mereka jatuh cinta dengan siri dan memutuskan untuk bermain semua permainan Kingdom Hearts yang lalu.
KINGDOM HEARTS Melody of Memory ialah permainan “fast-paced” dengan tempo tersusun di mana anda dapat memainkan semua lagu 140 lagu Kingdom Hearts termasuk lagu asli, lagu Disney, dan lagu Utada Hikaru serta melihat semula peristiwa-peristiwa penting dalam keseluruhan cerita daripada sudut pandangan Kairi. Ini ialah tempat yang bagus untuk meningkatkan pengetahuan anda mengenai siri Kingdom Hearts, dan walaupun diri itu peminat lama yang sudah mempunyai banyak pengetahuan, ia memberi peluang untuk kita kembali dan melihat semula adegan-adegan yang tidak jelas. Ini ialah perkara yang sangat penting untuk sebuah permainan irama yang baik menurut Hazama.
Seperti yang anda tahu, KINGDOM HEARTS Melody of Memory mempunyai mod multiplayer tetapi adakah mod jalan cerita boleh dimainkan melalui fitur ini? Suzui menjelaskan bahawa mod utama adalah World Tour Mode di mana anda bermain melalui jenis tahap (level) yang berbeza, menyelesaikan misi dan beralih ke dunia seterusnya sambil melihat memori masa lalu. Semasa menyelesaikan lagu dalam mod ini, lagu tersebut juga akan tersedia untuk mod lain.
Terdapat juga mod versus dan co-op. Untuk mod versus, ia boleh dimainkan melalui dalam talian bersama AI atau melalui komunikasi tempatan di versi Switch. Dalam mod co-op bernama Double Play, seorang pemain akan menggunakan Sora manakala rakan akan bermain sebagai Riku. Di sini, anda harus bekerjasama untuk mendapatkan skor tinggi.
Cara mod versus berfungsi pula sangat berbeza. Dua pemain akan memilih lagu daripada senarai yang kemudian akan dipilih secara rawak. Kemudian, lagu itu akan dimainkan dan kedua-dua pemain harus bersaing untuk memperoleh markah tinggi. Anda boleh menggunakan Trick System untuk menghalang kemajuan pemain lain dan menggunakan semua muslihat dan abiliti untuk sampai ke garisan penamat. Pemenang akan memenangi dua kad untuk koleksi dan si kalah akan menerima satu kad. Ini merupakan cara yang seronok untuk terus bermain dan membina koleksi koleksi sambil meningkatkan kedudukan ranking.
Sistem penilaian pula memang wujud tetapi bukanlah sistem peringkat seperti papan pendahulu. Dengan sebuah permainan irama, anda hanya dapat memperolehi markah setinggi tanpa apa-apa ganjaran tambahan. Oleh itu, daripada memfokuskan pada aspek itu, mereka lebih suka agar kita menikmati setiap mod perlawanan yang ada.
Dalam permainan, Sora masih menggunakan pakaian Kingdom Hearts pertama dan tidak ada fungsi yang dapat mengubah kostum kerana KINGDOM HEARTS Melody of Memory berlangsung dalam dunia memori yang melihat kembali kisah yang didengari oleh Kairi. Ini juga bermakna bahawa tidak ada kebolehan untuk mengubah atau memakai keyblade berbeza. Sebaliknya, kita ada lebih daripada 800 koleksi kad, termasuk karya seni Tetsuya Nomura, reka bentuk keyblade lama, dan reka bentuk kostum berbeza yang jikalau dikumpul, akan menjadikan Sora dan yang lain lebih kuat.
Permainan muzik irama sangat terkenal dengan “touch screen” khusus untuk versi Switch. Malangnya, kawalan ini tidak disokong untuk KINGDOM HEARTS Melody of Memory kerana ia dibangunkan untuk pelbagai pelantar dan ingin memberikan pengalaman yang sama dan adil kepada semua pemain. Selain itu, mereka juga tidak ada apa-apa rancangan untuk kandungan tambahan dan hanya ingin mencipta pengalaman lengkap dalam satu permainan penuh.
Sebagai contoh, selepas menamatkan mod jalan cerita, anda boleh bermain lagu yang dibuka dengan lebih terperinci, mencabar tahap yang lebih sukar, dan bermain dengan rakan-rakan dalam pelbagi mod lain. KINGDOM HEARTS Melody of Memory akan melalui memori Kairi dan Sora sepanjang siri Kingdom Hearts, termasuk spin-off nya. Daripada segi garis masa, pemain akan alami keseluruhan cerita mengikut urutan kronologi sehingga ke DLC Re: Mind. Semasa bermain World Tour Mode, kita akan melihat bagaimana semua dunia dan kisah yang berbeza dihubungkan dan daripada sana, mendapat pemahaman yang lebih luas tentang francais, hingga akhirnya sampai ke titik kesimpulan iaitu Kingdom Hearts 3. Oleh itu, mereka merasa ia agak pelik untuk menambahkan kandungan pada sesuatu yang sudah lengkap.
Apabila ditanya jika akan ada permainan lain yang akan dikeluarkan di Switch, Hazama tidak boleh bercakap tentang rancangan mereka tetapi menyakinkan semua bahawa Tetsuya Nomura sangat menyukai Switch dan fikir ia adalah konsol yang hebat.
Untuk rumuskan apa yang istimewa tentang KINGDOM HEARTS Melody of Memory dan matlamat sebenar pasukan pemaju, ia dihasilkan untuk semua lapisan pemain di seluruh dunia. Ia seronok untuk pemain baru kerana semua cerita dan lagu dikumpulkan kepada satu dan anda boleh melihatnya daripada satu tempat yang mudah. Untuk peminat lama pula, KINGDOM HEARTS Melody of Memory boleh imbas kembali kenangan lama mereka bersama permainan atau melihat adegan-adegan yang terlepas.
Bagi mereka yang tidak banyak tahu tentang Kingdom Hearts, tetapi peminat permainan irama, pasukan pemaju menyertakan banyak gaya berbeza, termasuk gaya permainan, di mana anda boleh menggunakan banyak butang untuk membuat kombo yang rumit. Sebaliknya, jika anda tidak mahir dalam permainan irama, permainan juga memiliki “One Button Style” untuk pemain meneruskan mod jalan cerita tanpa pening kepala.
Daripada segi bahasa, KINGDOM HEARTS Melody of Memory adalah permainan video dengan bahasa yang paling banyak tersedia di dalam francais. Mereka berharap ramai yang dapat memahami intipati Kingdom Hearts tanpa kekangan bahasa dan dapat mencipta memori baru bersama permainan.
KINGDOM HEARTS Melody of Memory akan dilancarkan untuk Nintendo Switch, PlayStation 4 dan Xbox One pada 13 November 2020 di Asia. Pra-pesanan sudah pun tersedia. Untuk baca segala liputan kami tentang francais Kingdom Hearts, sila klik di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post