Mission: Impossible – The Final Reckoning, bab kelapan dan juga penamat kepada francais aksi ikonik ini, hadir ke pawagam dengan penuh gaya, menampilkan semula Tom Cruise sebagai Ethan Hunt dalam misi terakhirnya yang paling mencabar.
Di bawah arahan Christopher McQuarrie, filem ini berhasrat merangkum keseluruhan naratif luas francais ini sambil mengekalkan elemen aksi mendebarkan dan dunia perisik yang kompleks — elemen yang telah menjadi wajah francais ini sejak hampir tiga dekad lalu.
Dihiasi barisan pelakon lama seperti Ving Rhames dan Simon Pegg serta wajah baharu seperti Hannah Waddingham, filem ini cuba mengimbangkan penutup emosi dengan aksi yang dinanti-nantikan peminat.
Namun persoalannya, adakah filem ini benar-benar memberikan kesimpulan yang memuaskan, atau adakah ia gagal menampung beban visinya yang terlalu besar? Reviu ini menyelami sama ada The Final Reckoning mampu mencapai harapan yang tinggi itu.
Misi Terakhir yang Paling Genting
Bersambung dari Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One, kali ini Ethan Hunt dan pasukan setia IMF sekali lagi terjerumus ke dalam misi berskala global yang berisiko tinggi.
Sasaran mereka: Entity — sebuah AI yang berbahaya, memiliki keupayaan luar biasa, dan telah menyusup senyap ke dalam sistem perisikan negara-negara besar di seluruh dunia.
Semakin licik dan sukar dijejaki, Entity menjelma sebagai ancaman utama, dan Ethan kini diburu bukan sahaja oleh kerajaan yang dulunya mempercayainya, malah mereka yang pernah bergantung padanya kini melihatnya sebagai musuh.

Dengan masa semakin suntuk dan bahaya menjelma dari setiap arah, Ethan perlu bertindak pantas untuk mengekang kuasa Entity sebelum ia mengubah masa depan dunia secara kekal.
Untuk menghadapi musuh yang belum pernah mereka temui sebelum ini, Ethan merekrut beberapa sekutu baharu — masing-masing dengan kemahiran tersendiri, dan agenda peribadi. Namun, dia tidak keseorangan.
Rakan lamanya dari IMF seperti Luther Stickell dan Benji Dunn kembali membantu, menggabungkan pengalaman mereka dengan semangat pasukan baharu.

Kini, Ethan berlumba dengan masa untuk mencari kunci bagi menamatkan ancaman Entity buat selamanya. Namun, dalam dunia yang hampir tenggelam dalam manipulasi dan ketidakpastian, perjuangan ini memerlukan lebih daripada sekadar keberanian atau kemahiran taktikal.
Ia memerlukan pengorbanan sebenar, kepercayaan yang tidak berbelah bahagi, dan kesediaan untuk menghadapi akibat setiap keputusan. Dengan masa depan dunia di hujung jari, Ethan berdepan misi paling berbahaya — bukan sahaja kepada keselamatan global, tetapi juga kepada dirinya sendiri.
Aksi Masih Mendebarkan, Semuanya Lakonan Sebenar
Aksi telah lama menjadi ciri utama dalam francais Mission: Impossible, dan kali ini Tom Cruise sekali lagi membuktikan komitmennya yang luar biasa terhadap adegan fizikal yang mendebarkan. Dia berlari, melompat, dan mempertaruhkan segalanya demi menghasilkan babak-babak yang benar-benar menakjubkan di layar perak.
Salah satu momen paling mengagumkan ialah babak udara yang dirakam pada ketinggian 8,000 kaki dengan kelajuan angin mencecah 140 batu sejam — semuanya tanpa bantuan CGI.
Terutamanya dalam adegan menggunakan pesawat Smith Miniplane, saya hampir tidak dapat membezakan antara yang sebenar dan yang rekaan; segala-galanya kelihatan terlalu nyata. Dan dengan reputasi Tom Cruise yang sanggup melakukan aksi sendiri, tidak syak lagi dialah sendiri yang menjayakannya.

Komitmen terhadap keaslian dan aksi fizikal ini menjadikan Mission: Impossible – The Final Reckoning satu pengalaman sinematik yang luar biasa, lebih-lebih lagi apabila ditonton di layar IMAX. Babak kapal selam juga antara babak yang mencuri tumpuan — penuh tension, mengingatkan kembali kepada adegan bawah air dalam Rogue Nation.
Lokasi kapal selam yang ditinggalkan, dipenuhi peluru berpandu aktif dan dikelilingi jurang, mencipta suasana sesak dan bahaya. Setiap keputusan tampak seperti pertaruhan hidup dan mati, dan apabila Ethan Hunt melakukan kesilapan, kesannya benar-benar terasa hingga ke penonton.

Namun begitu, harus diakui bahawa jika dibandingkan dengan entri terdahulu seperti Fallout, separuh pertama filem ini terasa agak perlahan dari segi intensiti aksi. Dengan ancaman utama kali ini berupa kecerdasan buatan dan bukannya antagonis fizikal, filem ini kurang menampilkan perlawanan tangan-ke-tangan atau konfrontasi peribadi.
Sebaliknya, ia lebih menekankan elemen ketegangan, penyusupan berstrategi, dan tekanan mental. Walaupun adegan aksi yang ada masih berkualiti tinggi dan memukau dari segi visual, jumlahnya secara keseluruhan tidak sebanyak yang mungkin dijangkakan peminat setia siri ini.
Penghargaan Emosi Buat Peminat Setia

Meskipun filem ini tidak sarat dengan aksi seperti beberapa entri terdahulu, satu perkara yang jelas — Mission: Impossible – The Final Reckoning tetap akan mendapat tempat istimewa di hati peminat, khususnya mereka yang telah mengikuti perjalanan Ethan Hunt sejak permulaan.
Penonton kasual mungkin akan menikmati aspek hiburan — adegan mendebarkan, sinematografi hebat, dan rentak pantas — namun bagi peminat lama, filem ini mengandungi lapisan emosi yang jauh lebih mendalam.
Ia dipenuhi dengan rujukan dan easter egg yang tersusun kemas, menghubungkan semula kepada filem-filem awal, termasuk yang pertama pada tahun 1996.
Kebanyakan momen ini disampaikan dengan cara ‘subtle’ — tidak dijelaskan secara langsung, tetapi cukup untuk membuatkan peminat setia tersenyum atau terasa sebak jika mereka mengikuti setiap langkah Ethan selama ini.
Ia seperti ganjaran buat mereka yang telah menyaksikan setiap pengkhianatan, setiap pelarian mustahil, dan setiap pilihan sukar yang dilalui watak utama ini.

Tanpa mendedahkan sebarang plot penting, apa yang boleh dikatakan ialah The Final Reckoning benar-benar terasa seperti sebuah kemuncak. Dari nada cerita, susunan muzik, hingga tema yang dibawa, semuanya membentuk satu penutupan yang tersirat tetapi kuat.
Filem ini tidak beri “penamat” secara terang-terangan, tetapi ada satu rasa ‘melancholy’ terhadap perjalanan panjang Ethan Hunt. Ia bukan sekadar satu lagi episod — ia ibarat permulaan kepada pengakhiran yang sebenar.
Pendapat
Mission: Impossible – The Final Reckoning mungkin bukan filem paling aksi dalam siri ini, tetapi ia muncul sebagai antara entri yang paling mendalam dari segi emosi dan penceritaan.
Tom Cruise sekali lagi membuktikan dedikasinya terhadap aksi praktikal yang autentik, manakala Christopher McQuarrie mengarah dengan ketelitian sinematik yang menghasilkan babak-babak yang memikat. Hasilnya ialah sebuah pengalaman yang berbaloi untuk ditonton di pawagam.

Lebih daripada sekadar hiburan aksi, filem ini terasa seperti satu penghargaan terhadap perjalanan panjang Ethan Hunt dan pasukannya — satu penghormatan buat peminat setia yang dihargai melalui momen-momen emosional, rujukan halus, dan sebuah permulaan kepada penamat dramatik.
Sama ada anda datang untuk aksi atau naratif, filem ini berjaya menyampaikan kedua-duanya dengan pendekatan yang lebih matang.

Bagi yang berminat, Mission: Impossible – The Final Reckoning kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.
@gamersantaimy
The Review
Mission: Impossible – The Final Reckoning
Mission: Impossible – The Final Reckoning bukanlah entri paling penuh aksi, tetapi ia menonjol dengan emosi dan penceritaan yang kuat. Tom Cruise memukau dengan aksi praktikal yang autentik, diarahkan dengan cemerlang oleh Christopher McQuarrie, menghasilkan pengalaman pawagam yang memikat. Lebih daripada sekadar aksi, filem ini adalah penghargaan kepada perjalanan Ethan Hunt, memanjakan peminat setia dengan rujukan halus dan penutup dramatik yang matang.
PROS
- Aksi menakjubkan, terutamanya adegan Smith Miniplane pada ketinggian 8,000 kaki dan urutan kapal selam yang intense
- Berat emosi dan perkembangan watak yang kuat, khususnya untuk peminat setia
- Rujukan dan easter egg dari filem-filem sebelumnya yang pasti menggembirakan penonton setia
- Persembahan dan komitmen fizikal Tom Cruise yang tiada tandingan
CONS
- Kurang adegan aksi berbanding entri sebelumnya seperti Fallout, terutamanya pada separuh pertama
- Kekurangan penjahat fizikal mengurangkan jumlah adegan lawan
- Fokus yang lebih berat pada naratif dan dialog mungkin terasa perlahan untuk peminat aksi kasual
- Beberapa babak emosi atau rujukan mungkin kurang memberi kesan kepada mereka yang tidak biasa dengan sejarah siri ini
Discussion about this post