Ketika Diablo IV melangkah ke Season 8, pemain boleh menjangkakan lebih daripada sekadar ganjaran baharu dan musuh ganas—musim kali ini membawa perubahan besar terhadap pengalaman endgame yang selama ini menjadi nadi permainan.
Untuk menyelami lebih dalam visi kreatif serta pendekatan reka bentuk di sebalik musim terbaru ini, kami sempat berbual bersama Deric Nunez (Lead Season Designer) dan Colin Finer (Associate Director, Game Design).
Dalam temu bual ini, mereka berkongsi pandangan tentang pengajaran yang dipelajari dari musim-musim lalu, cabaran mengekalkan dunia Sanctuary agar terus segar, dan bagaimana Season 8 bakal mengubah cara pemain melihat masa depan game ini.
Belial Kembali: Lord of Lies Sedia Menipu Lagi
Kemunculan semula Belial, Lord of Lies, dalam Season 8 menandakan detik penting buat penceritaan dan gameplay Diablo IV. Menurut Deric Nunez, pasukan pembangunan cukup teruja membawa kembali watak antagonis ikonik ini:
“Bagi pihak pasukan, saya boleh katakan kami sangat teruja untuk menghidupkan semula Belial di Sanctuary—bukan sekadar sebagai pemangkin seasonal quest baharu, tapi juga sebagai sebahagian tetap dalam sistem Lair Boss.”

Sistem tersebut kini diperluas secara besar-besaran, dengan Belial diperkenalkan sebagai pertembungan paling mencabar dan berbaloi.
Apa yang menarik, menurut Nunez, bentuk kecil Belial akan menghantui pemain dan muncul secara mengejut ketika mereka menghadapi bos lain, mewujudkan ancaman yang sentiasa mendebarkan sepanjang endgame: “Ada kemungkinan dia menyerang mengejut selepas anda kalahkan mana-mana Lair Boss lain.”

Kedua-dua Deric dan Colin turut berkongsi keterujaan peribadi terhadap elemen-elemen baharu yang mereka rasa akan mencuri tumpuan pemain. Bagi Deric, kembalinya Belial adalah sorotan utama:
“Saya benar-benar teruja untuk Belial, sejujurnya… Dia bukan sahaja kembali, tapi benar-benar menjadi tunjang kepada sistem Lair Boss kami.” Integrasi Belial bukan sahaja estetik, tapi turut hadir dengan mekanik mengejut yang meningkatkan cabaran serta intensiti permainan.

Colin Finer pula menyebut dua perkara utama yang membuatkan dia tidak sabar menantikan maklum balas pemain. Pertama, kuasa baharu berfokuskan Rogue:
“Anda dapat kuasa ini daripada Wandering Death… bila anda channeling kuasa itu, anda akan pancarkan laser maut dari dada,” sesuai dengan build Dance of Knives serta item unik yang menyokong Death Trap. Sorotan keduanya pula adalah pertarungan bos yang diperbaharui, khususnya perubahan ganas pada serangan Duriel: “Kalau anda dijatuhkan oleh Duriel, dia akan buat serangan besar dari atas dan sedut anda masuk ke perutnya… dan ya, dia akan makan anda.”
Kepelbagaian Boss Power & Fleksibiliti Build
Season 8 Diablo IV memperkenalkan 24 Boss Power yang boleh dikumpul, setiap satunya direka untuk memperluas variasi build dan memberi ruang kepada pemain untuk menyesuaikan gaya permainan mereka dengan lebih bebas. Menurut Nunez, setiap kuasa sebenarnya mempunyai dua sisi:
“Setiap kuasa ada sisi A dan sisi B… Jadi ia bukan sekadar 24 pilihan, tetapi 48, bergantung kepada gabungan dua sisi itu.”
Sisi utama menyampaikan abiliti ikonik bos seperti Duriel’s Burrow atau Wandering Death’s Chest Beam, manakala sisi kedua bertindak sebagai modifier—sama ada menguatkan kuasa utama atau menyelaraskannya dengan elemen lain dalam build pemain.

Kuasa ini juga direka agar mudah diakses dalam pertempuran sebenar.
“Contohnya, Duriel’s Burrow diaktifkan melalui Evade, manakala Chest Beam boleh dicetuskan sewaktu Channeling,” jelas Nunez, menekankan kepentingan keserasian dengan pelbagai gaya permainan. Colin Finer pula memberikan contoh sinergi menarik—seperti item unik untuk Rogue yang memperkuat Death Trap, digandingkan dengan Urovar’s Loved Bomb untuk mengurangkan cooldown Ultimate: “Anda boleh buat Death Trap aktif hampir sepanjang masa.”
Mengenai cabaran menyeimbangkan semua kuasa ini, Finer mengakui: “Semakin sukar untuk diseimbangkan, biasanya semakin seronok bagi pemain… sebab itu kami adakan PTR.”

Dengan tema bos sebagai tunjang utama, pasukan Blizzard benar-benar ingin memastikan abiliti-abiliti bos ini terasa istimewa dan berimpak. Nunez menjelaskan, “Musim ini kami ingin pergi lebih jauh dan lebih berani… Kami mahu anda rasa macam anda sendiri adalah bos.”
Itulah sebabnya mereka mencipta 24 abiliti yang bukan saja menyeronokkan untuk diperoleh, tetapi turut disesuaikan dengan pelbagai jenis build. Colin Finer menambah, “Setiap musim kami cuba ubah meta supaya terasa segar. Jadi kenapa tidak beri anda peluang curi kuasa bos dan jadi bos itu sendiri?”

Season 8 juga membawa satu ciri open-world baharu yang dikenali sebagai Apparition Incursion — acara sosial pantas yang direka untuk disepadukan ke dalam struktur gaemplay harian.
Menurut Nunez, “Ini adalah cara baharu untuk pemain merasai keseronokan leveling yang lebih laju di awal musim.” Ia juga menawarkan peluang untuk mendapatkan abiliti bos sejak awal, menjadikannya satu titik mula yang hebat.

Walaupun Apparition Incursion menyerlah pada awal musim, ia turut direka untuk kekal relevan dalam jangka panjang. “Sejak PTR, kami jadikan ia juga sebagai sumber untuk Whisper Bounty, supaya pemain terus terdorong untuk kembali dan mendapatkan nilai segera,” jelas Nunez.
Selain itu, acara ini turut diseimbangkan agar sesuai diselitkan bersama aktiviti lain seperti Helltide dan Nightmare Dungeon, menjadikannya sebahagian kukuh dalam ekosistem Season 8.
Sambutan Kembali ke Sanctuary
Season 8 Diablo IV membuka pintu luas untuk pemain baharu dan lama, dengan campuran kandungan ikonik, sistem kemajuan yang lebih tersusun, serta kolaborasi menarik yang menyuntik semula semangat ke dunia Sanctuary. Nunez menekankan bahawa pengalaman musim ini mengekalkan elemen yang dikenali tetapi dengan pendekatan segar:
“Matlamat utama kami adalah membawa semula watak penting seperti [Belial] ke dunia Sanctuary—dalam bentuk yang benar-benar sesuai dengan struktur permainan baharu.”
Tidak terhad kepada kandungan bermusim, Season 8 turut memperkenalkan penambahbaikan kekal, termasuk sistem Lair Boss yang telah diperkemaskan.

Finer menekankan betapa mudahnya untuk mana-mana pemain kembali: “Ini adalah permulaan baharu… walau berapa lama anda tinggalkan permainan, anda masih boleh kembali bermain dengan kawan-kawan atau sendiri tanpa rasa ketinggalan.”
Menurut Nunez, sistem pengumpulan abiliti bos juga dirangka agar perjalanan awal pemain lebih terpandu: “10 kuasa pertama yang anda kumpul akan datang daripada aktiviti musiman baharu seperti Apparition Incursion.”
Menambahkan lagi keunikan musim ini, Finer turut mendedahkan kolaborasi dengan manga gelap Berserk: “Ia betul-betul suram… gabungan sempurna yang seolah-olah tercipta di neraka.”

Musim ini turut mencerminkan reaksi pasukan kepada maklum balas pemain, terutamanya berkenaan kadar leveling. Finer mengakui bahawa leveling pantas dalam Season 7 agak keterlaluan: “Kebanyakan pemain boleh mencapai level maks dalam masa beberapa jam… ia tidak memberi rasa puas atau bermakna.”
Dalam PTR Season 8, pasukan cuba memperlahankan kadar leveling, namun selepas maklum balas diterima, mereka melakukan pelarasan: “Kami kurangkan kesan ‘nerf’ supaya leveling rasa lebih teratur dan mengalir dengan baik.”

Bagi pemain kasual, Finer menggalakkan mereka untuk menikmati kempen Vessel of Hatred sebagai penghubung selesa ke endgame dan menyarankan mereka mengikuti sistem Season Journey: “Kalau anda rasa tertekan, Season Journey sentiasa direka supaya memberi ganjaran dan arah yang jelas.”
Untuk pemain hardcore pula, cabaran sebenar menanti dalam sistem Torment, seperti yang dijelaskan Finer: “Jika anda betul-betul serius… Torment akan benar-benar mencabar kemahiran anda.”

Nunez pula menambah bahawa sistem Lair Boss kini lebih mudah diakses: “Semua Lair Boss boleh diseru secara percuma… jadi anda boleh cuba sendiri dan lihat sama ada anda mampu hadapinya.”
Ganjaran Lebih Bermakna dengan Sistem Reliquary
Dalam Season 8 Diablo IV, Blizzard memberi nafas baharu kepada sistem Battle Pass dan Seasonal Journey dengan memperkenalkan sistem baharu yang dinamakan Reliquary, hasil daripada maklum balas pemain yang mahukan lebih kawalan terhadap ganjaran mereka. Finer menjelaskan puncanya:
“Ramai pemain rasa mereka perlu grind untuk ganjaran yang mereka tidak minat atau tidak perlukan.”
Reliquary direka semula untuk memberi kebebasan kepada pemain memilih sasaran ganjaran, menjadikannya lebih fokus dan peribadi. Finer menambah, “Perubahan ini bukan sekadar kosmetik—ia mengandungi lebih banyak kandungan, tapi dalam bentuk yang membolehkan anda fokus pada apa yang anda betul-betul mahukan. Kalau ada set perisai tertentu yang anda idamkan, anda boleh betul-betul usahakan ke arah itu.”

Sistem ini hadir sebagai jawapan langsung kepada rasa tidak puas hati pemain terhadap struktur lama Battle Pass yang terlalu linear. Menurut Finer, “Kami sedar sistem sebelum ini seolah-olah hanya senarai panjang ganjaran di mana anda tiada kawalan bila atau bagaimana anda dapat barang yang anda mahu.”
Dengan Reliquary, pemain kini mempunyai kuasa untuk menetapkan keutamaan dan arah sendiri, selari dengan falsafah Diablo IV yang menekankan kebebasan dan customization. Finer merumuskan pendekatan ini dengan jelas:
“Reliquary dan kemas kini lain benar-benar dibina atas semangat untuk beri lebih banyak pilihan dan customization kepada pemain—walaupun dalam sistem seperti Battle Pass.”

Keseimbangan Kelas
Dalam Season, pasukan pembangunan memberi tumpuan kepada memastikan semua kelas mempunyai pengalaman gameplay yang lebih seimbang, tanpa memihak kepada mana-mana satu kelas secara berlebihan. Finer menerangkan pendekatan mereka:
“Kami sebenarnya tidak cuba untuk lebihkan mana-mana kelas… fokus kami adalah untuk capai tahap di mana semua kelas lebih setara antara satu sama lain.”
Matlamat ini adalah untuk mengelakkan situasi di mana kelas tertentu, seperti Rogue, mendominasi sepenuhnya permainan, sekali gus mewujudkan medan permainan yang lebih adil untuk semua.

Finer turut mengakui cabaran dalam musim-musim terdahulu, di mana pemain sering memberi maklum balas bahawa jurang kuasa antara kelas terasa terlalu ketara. “Kami dengar banyak keluhan yang mengatakan permainan jadi kurang seronok kalau satu kelas jauh lebih hebat daripada yang lain,” katanya.
Disebabkan itu, pasukan kini lebih bersedia untuk membuat pelarasan sewajarnya, berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang lebih berhati-hati: “Dulu, kami agak berat hati untuk ubah kelas yang terlalu kuat kerana kami mahu hormati masa dan usaha yang pemain dah laburkan.”
Namun untuk Season 8, pendekatan itu telah dirombak demi mencapai keseimbangan yang lebih sihat dan menyeronokkan untuk semua pemain.

Kolaborasi Berserk dalam Diablo IV
Kolaborasi yang dinanti-nantikan antara Diablo IV dan manga ikonik Berserk membawa gabungan dunia fantasi gelap yang epik ke Season 8, menampilkan elemen bergaya suram yang sinonim dengan karya agung Kentaro Miura. Finer berkongsi sedikit gambaran tentang apa yang boleh dinantikan pemain:
“Kami akan lancarkan beberapa trailer yang sangat epik.”
Finer turut mendedahkan bahawa kolaborasi ini akan hadir bersama “kosmetik khas yang boleh diperoleh dalam permainan,” membolehkan pemain menghias watak mereka dengan item yang diinspirasikan daripada Berserk melalui penglibatan terus dalam kandungan musim ini. Untuk pemain yang mahu lebih, beliau menambah:
“Kami juga akan tawarkan beberapa pakej premium yang membolehkan anda kelihatan seperti beberapa watak ikonik dari Berserk di kedai.”
Season 8 bersama semua ciri baharunya akan tiba di Sanctuary pada 30 April 2025, sebaik sahaja Season of Witchcraft melabuhkan tirai. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post