Dilancarkan pada 20 Oktober 2022, The Valiant adalah satu game Real-Time Strategy (RTS) yang dibangunkan KITE Games dan diterbitkan oleh THQ Nordic. Bagi yang pernah bermain Age of Empire atau Red Alert dan masih mencari game RTS yang lebih mudah dan tidak begitu kompleks, saya sarankan untuk anda mencuba The Valiant ini.
Alang-alang sudah sarankan untuk mencuba game ini, kami berpeluang untuk bermain The Valiant. Jadi, sebelum mengatakan apa-apa tentang game ini, mari saya tunjukkan dengan lebih mendalam dengan review jujur daripada kami.
Jalan cerita

The Valiant memfokuskan kepada Thoderich von Akenburg di mana dia merupakan bekas tentera salib pada abad ke-13. Walaupun dia telah bersara, dia terpaksa bekerja semula selepas rakannya iaitu Ulrich von Greval menjumpai satu artifak purba yang dipanggil Rod of Aaron.
Rod of Aaron sebenarnya mempunyai satu kuasa besar di mana ia boleh melepaskan kejahatan besar apabila dapat disatukan. Oleh itu, dia bersama kawannya merentasi Timur Tengah dan Eropah untuk mengumpulkan kesemua kepingan Rod of Aaron dan tidak mahu ia terjatuh di tangan yang salah.
Saya sebenarnya sangat gembira dengan cara mereka menyampaikan jalan cerita walaupun tidak menggunakan kualiti visual atau cutscene yang canggih dengan CGI malah hanya menampilkan karya seni seperti persembahan “slide”. Dengan gabungan audio dan pelakon suara yang bertenaga, jalan cerita dapat disampaikan dengan sangat bagus sehingga teruja untuk mengikuti kisahnya.

Bukan setakat itu sahaja, “background music” yang dimainkan dalam game ini juga memberikan perasaan yang dinamik dan mengikut keadaan situasi semasa di medan perang. Semasa sedang menyusun strategi, muzik akan dimainkan secara perlahan dan tenang, apabila masuk sahaja ke fasa berperang, muzik yang lebih mendebarkan dan epik pula dimainkan.
Walaupun sedang mendengar background music yang sangat epik, saya masih dapat dengar sound effect yang lain dengan sangat jelas termasuk bunyi pertembungan senjata, askar menjerit dan bangunan runtuh. Pada pendapat saya, game ini mempunyai kekuatan pada bahagian audio di mana ia mampu memberikan perasaan keterujaan kepada pemain.
Mode

Dalam The Valiant, mereka menyediakan dua mode yang berbeza di mana anda boleh bermain secara solo dan juga multiplayer. Untuk solo, anda akan bermain sehingga 16 bab dan setiap daripada bab tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh masa yang singkat. Tetapi ia bergantung kepada tahap kesukaran yang diambil.

Manakala mode Multiplayer pula, mereka menyediakan Competitive di mana pemain akan bertanding dengan 4 pemain lain dengan menggunakan satu hero dan membina pasukan dan menguasai lawan dengan strategi. Selain Competitive, mode Last Man Standing turut disediakan di mana 2 pemain akan bekerjasama untuk mempertahankan “supply” daripada diserang oleh musuh.
Gameplay

Sama seperti game RTS (strategy) yang lain, The Valiant tidak terkecuali untuk menggunakan perspektif top-down di mana ia sangat memudahkan pemain untuk mengatur hero, troop, bangunan seperti Tower, Palisade, Trap dan banyak lagi. Hero dan troop terbahagi kepada pelbagai class seperti Archer, Swordmen, Spearmen, Cavalry dan lain-lain. Mereka juga boleh dipilih untuk menyesuaikan dengan playstyle.
Setiap daripada hero mempunyai skill yang tersendiri. Contoh yang saya boleh berikan di sini adalah Theoderich yang mampu menambah Vigor (sejenis baju perisai besi) supaya tentera dikelilingi dapat terus berperang. Manakala untuk troop juga menampilkan skill yang berbeza di mana Archer boleh memperlahankan pergerakan musuh atau Swordman boleh knockdown musuh.

Masing-masing iaitu hero dan juga troop mempunyai progress seperti skill-tree yang boleh di-upgrade semasa campaign berjalan.
Apa yang best tentang cara mengawal hero dan troop adalah anda tidak mengawal satu per satu malah anda akan mengawal mereka mengikut class. Sistem ini nampak bagus dan optimum kerana saya tidak perlu memilih satu per satu secara individu malah boleh memberikan perhatian kepada satu pasukan sekali gus.
Memandangkan saya tidak biasa bermain RTS, saya sangat sibuk melakukan perkara kecil seperti susunan dan mengurus bangunan pada awalnya. Lama kelamaan, saya sedar rupanya saya sepatutnya memfokuskan kepada pengurusan hero dan troop di mana ia sangat penting tetapi leceh.

Dari posisi sehingga timing, semua itu adalah segala-galanya. Jika anda tersalah letak posisi hero ataupun troop, keadaan boleh menjadi kacau bilau. Ini juga termasuk skill yang ada pada hero dan juga troop. Jika, anda tidak tahu bagaimana cara nak gunakannya, memang sangat susah untuk kendalinya.
Walau bagaimanapun, saya yang tidak biasa bermain RTS juga dapat faham denga pantas tanpa tutorial yang mendalam. Pergerakan musuh juga sangat mudah dibaca. Contohnya, pasukan Cavalry akan menghancurkan posisi Archer di belakang atau pasukan Archer melancarkan serangannya terhadap bangunan berdekatan.

Walaupun saya bermain pada “difficulty” Normal, saya masih rasa yang ianya sangat mudah untuk dimainkan dan tidak perlu mengatur strategi atau taktik yang sangat susah bagi menumpaskan pihak lawan.
Semasa anda bermain, misi turut berjalan dalam kempen dan dapat menyelesaikannya dengan mudah. Contoh-contoh misi yang diberikan semasa bermain termasuk mengambil kubu lawan, memusnah kan kem, mencari rakan sekerja yang diculik dan banyak lagi. Saya dapat merasakan yang misi seperti ini adalah terlalu generik dalam game strategi. Nasiblah kempen yang disediakan sangat segar dari satu bab ke satu bab yang lain dengan menampilkan persekitaran dan musuh yang berbeza.
Kesimpulan

The Valiant tidak menawarkan gameplay yang begitu kompleks. Game ini menampilkan mekanik game semuanya ringkas dan mudah difahami. Jadi, pemain seperti saya yang tidak biasa atau baru nak berjinak-jinak dengan RTS, memang seronok dapat bermain The Valiant.
Tambah pula dengan lakonan suara dan watak yang ditampilkan bagi menyampaikan cerita dengan bagus, saya rasa ia memang sangat menarik perhatian saya untuk menghabiskan game ini. Visual dan animasi yang ditawarkan semasa bertempur juga nampak baik. Walaupun bukan dibangunkan oleh developer berkelas, The Valiant adalah RTS yang sangat kukuh untuk dimainkan.

The Valiant telah pun dilancarkan 20 Oktober 2022 dan kini tersedia di PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam dan Epic Games Store. Untuk mendapatkan lebih banyak review berkenaan game, anime, filem dan banyak lagi, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post