Ansuran terkini dalam francais Yakuza oleh SEGA akhirnya tiba beberapa minggu lepas. Yakuza: Like a Dragon adalah entri utama ketujuh dalam siri Yakuza yang telah lama wujud sejak 2005, dan asalnya berada di PlayStation tetapi kini tersedia untuk kedua-dua konsol Xbox dan PlayStation.
Seperti perubahannya daripada Sony ke Microsoft, Yakuza telah mengubah genre daripada sebuah “brawler action-adventure” kepada “action-RPG” yang diinspirasikan oleh beberapa JRPG klasik seperti siri Dragon Quest. Tetapi adakah perubahan ini sesuatu yang bagus dalam francais Yakuza, atau adakah ia terlalu berbeza sehingga tidak menjadi menarik. Inilah ulasan penuh saya untuk Yakuza: Like a Dragon di PlayStation 4.
Latar Belakang & Naratif
Kisahnya bermula di bandar fiksyen Kamurocho, Tokyo, di mana Ichiban Kasuga dengan senang hati bekerja sebagai yakuza tahap bawahan. Ichiban sebenarnya adalah yatim piatu dan dibesarkan di sebuah “soapland“. Walaupun menjadi seorang yakuza, dia terlalu baik untuk menjadi samseng tetapi nasib baik lah, ketua klannya menganggap Ichiban sebagai anak sendiri sendiri. Tidak lama kemudian, segalanya berubah apabila Ichiban mengaku kepada pembunuhan yang dilakukan oleh ahli klan lain, dan terpaksa menghabiskan 18 tahun dalam penjara.
Pada saat pembebasan, semuanya masih tidak berjalan seperti yang dirancang, dan di situlah Ichiban mula mengumpul rakan-rakan yang boleh dipercayai. Seorang anggota polis bernama Adachi berjumpa dengannya di pintu penjara, dan menunjukkan kepadanya bagaimana pengaruh yakuza telah berubah secara radikal ketika dia berada di penjara. Keadaan bertambah teruk dalam sebuah konfrontasi, dan Ichiban akhirnya pergi ke Yokohoma, untuk memulihkan diri dengan bantuan Nanba, seorang gelandangan yang pernah menjadi jururawat.
Yakuza: Like a Dragon kadang-kala terasa seperti drama yang kita tonton di TV3. Dialognya sangat dramatik, jalan cerita didedahkan secara beransur-ansur dan ia menampilkan pelbagai jenis elemen untuk pemain terokai. Adegan awal memperkenalkan wira baru kita, Ichiban Kasuga, untuk sebuah perjalanan panjang penuh dengan selok-belok, pengkhianatan, dan akhirnya kemaafan di mana ttema utama permainan memberi tumpuan pada “persahabatan” dan hubungan yang dijalin melalui kesukaran dan kesusahan.
Gameplay Asas & Misi
Satu perbezaan besar antara Yakuza: Like a Dragon dan JRPG klasik lain adalah setiap rakan-rakan Ichiban mempunyai latar belakang, motivasi, dan kekurangan yang membuat perwatakan mereka merasa lebih hidup berbanding dengan stereotaip yang kita sering jumpa dalam JRPG tradisional.
Pada akhir cerita, kita akan ada tujuh anggota parti untuk dipilih, walaupun hanya empat sahaja yang boleh ada dalam parti dalam satu masa. Di sini, kita boleh menghabiskan masa untuk meningkatkan statistik mereka, atau mempelajari lebih lagi tentang latar belakang setiap watak dalam misi peribadi. Selain daripada satu bahagian daripada cerita utama yang menghalang kita untuk mengggunakan seorang ahli tertentu, semuanya bebas untuk dipilih.
Selain daripada jalan cerita utama, terdapat banyak aktiviti sampingan, misi, dan minigame untuk mengelakkan gameplay menjadi terlalu membosankan. Sekiranya saya tidak ingin membuat misi utama, saya boleh membantu seorang gadis kecil, bermain Virtua Fighter di arked, menyelesaikan objektif Part-Time Hero, atau mengumpul serangga di taman. Hampir semuanya bermanfaat untuk meningkatkan kekuatan keseluruhan parti, sama ada untuk membuka senjata baru atau memperoleh cukup wang bagi membeli perisai yang lebih baik. Setiap aktiviti adalah berguna!
Aktiviti Part-Time Hero secara khusus menyediakan beberapa misi berbeza, yang mendorong pemain untuk menyelesaikan objektif tertentu dan memeriksa setiap aktiviti. Kadang-kadang, ia melibatkan kita untuk menyelamatkan orang awam daripada sekumpulan samseng, mengumpulkan barang-barang daripada seluruh bandar, atau “bunuh [jumlah] musuh” yang menghadiahkan wang dan bahan.
Sistem Pertempuran JRPG
Pertempuran dalam Yakuza: Like a Dragon mengubah formula “beat-em-up” biasa dan memperkenalkan sistem pertempuran JRPG. Sistem ini banyak mengingatkan saya kepada siri Persona, di mana musuh dibahagikan kepada enam jenis dan mempunyai kelemahan berbeza. Untuk menjauhkan diri daripada siri Persona dan JRPG lain, Yakuza: Like a Dragon menggunakan ruang 3-D dalam pertempuran supaya musuh bebas berkeliaran di sekitar kawasan. Ini agak menjengkelkan kerana serangan AOE (Area-of-Effect) saya sering tidak kena kerana musuh sentiasa bergerak.
Itu cuma masalah kecil kerana saya suka bagaimana pertempuran kini terasa lebih dinamik dengan memasukkan sistem “perfect guard” dan Quick-Time Event (QTE) untuk meningkatkan damage pada musuh. Dengan menekan ‘Block’ pada waktu yang tepat, ia akan menghalang serangan musuh dan mengurangkan jumlah kerosakan yang diambil. Ia juga menghalang beberapa serangan yang mampu menjatuhkan anggota parti saya (membuatkan mereka terdedah kepada serangan seterusnya). Sebilangan besar abiliti juga mempunyai QTE untuk meningkatkan damage. Dengan menguasakan dua teknik ini, pertarungan dapat diakhiri dengan lebih cepat dan lebih efisien.
Aspek Minigame
Yakuza: Like a Dragon menampilkan jumlah minigame yang sangat banyak. Ini termasuk klasik arked seperti Space Harrier, Fantasy Zone, dan Virtua Fighter yang disebutkan di atas serta golf, besbol, Dragon Kart, kumpul tin, karaoke, damak, mahjong, dan banyak lagi. Di samping itu, terdapat simulator pengurusan perniagaan yang boleh dianggap minigame asing. Saya melabur lebih daripada 5 jam sahaja dalam minigame ini, dan berjaya mendapatkan berjuta-juta yen untuk Ichiban dan rakan-rakan.
Minigame Ichiban Confections pula melihat Ichiban mengambil alih perniagaan sebagai presiden. Anda kemudian boleh mengupah pekerja daripada sekitar bandar, menguruskan hartanah, dan menghadiri mesyuarat yang mempunyai pertempuran o-som. Mengupah pekerja mempunyai elemen seperti gacha, di mana pekerja mempunyai pangkat sehingga SSR. Nasib baik lah, kita boleh merekrut pekerja secara langsung daripada bergantung pada RNG seperti dalam permainan gacha lain.
Di francais Yakuza, minigame adalah fitur yang seronok untuk pemain berehat daripada jalan cerita tetapi di Yakuza: Like A Dragon, minigame dapat digunakan untuk memperoleh beberapa senjata kuat pada awal permainan. Kelemahannya adalah sejumlah senjata memerlukan masa yang banyak untuk memperolehnya.
Mod Premium Adventure & New Game+
Setelah menamatkan Yakuza: Like a Dragon, mod Premium Adventure dibuka, dan membolehkan kita sambung bermain selepas pertarungan bos terakhir. Ini adalah cara yang baik untuk menghabiskan semua minigame atau cabaran baru seperti dungeon Final Millennium Tower, yang diberitahu oleh individu misteri bernama ‘The Manager.’ Ini adalah dungeon terakhir dan memerlukan level watak yang sangat tinggi. Ganjarannya ialah adegan tambahan yang saya tidak akan cerita di sini kerana *SPOILER*.
Selain itu, mod New Game+ juga dibuka setelah menyelesaikan jalan cerita utama, yang membolehkan Ichiban memulakan semula keseluruhan cerita sambil mengekalkan level, peralatan, wang, dan barang daripada playthrough pertama. NG+ juga membuka mod kesukaran baru, di mana Hard Mode mempunyai syarat minimum level 50 dan Legendary Mode mempunyai syarat minimum level 70.
Pendapat
Walaupun ada beberapa kekurangan seperi bug teknikal & load time yang panjang, Yakuza: Like a Dragon tetap berjaya memberikan pengalaman Yakuza yang mengagumkan dan berkualiti. Jalan ceritanya memang seronok dan persahabatan antara watak-watak terasa mendalam dan realistik. Antagonis utama dan watak-watak sampingan juga mempunyai latar belakang yang mendalam, dan lebih realistik berbanding permainan Yakuza yang lama. Dengan beberapa penghormatan dan tribut kepada JRPG klasik, pengalaman permainan saya sangat memuaskan dan penuh dengan nostalgia.
Secara keseluruhan, Yakuza: Like a Dragon adalah salah satu JRPG terbaik yang pernah saya bermain sejak saya menghabiskan Dragon Quest XI. Ia lebih mengagumkan lagi apabila kita tahu ia datang daripada studio Ryu ga Gotoku yang tidak pernah membuat RPG sebelum ini. Sekiranya masalah teknikal dapat disempurnakan, saya berani jamin bahawa Yakuza: Like a Dragon adalah antara JRPG terbaik tahun ini. Maka, tamat lah ulasan ini, dan untuk mana-mana peminat Yakuza atau RPG, saya mengesyorkan anda cuba permainan ini. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!

@gamersantaimy
The Review
Yakuza: Like a Dragon
Walaupun ada beberapa kekurangan seperi bug teknikal & load time yang panjang, Yakuza: Like a Dragon tetap berjaya memberikan pengalaman Yakuza yang mengagumkan dan berkualiti. Jalan ceritanya memang seronok dan persahabatan antara watak-watak terasa mendalam dan realistik.
Discussion about this post