Beberapa minggu yang lalu, saya telah mencuba demo Immortals Fenyx Rising dan sebenarnya agak suka apa yang saya lihat. Sebagai IP terbaru oleh Ubisoft, ia dipenuhi dengan visual yang berwarna-warni, dunia terbuka luas yang penuh dengan mitologi Yunani, dan kisah komedi yang memaparkan dewa-dewa Olimpik dalam cara yang baru.
Keunikan permainan atau gameplay mudah terserlah, dan saya menjadi lebih tertarik selama tempoh yang dimainkan untuk ulasan ini. Kemungkinan besar, saya akan bersambung Immortals Fenyx Rising selepas menamatkan ulasan ini tetapi sebelum itu, berilah saya peluang untuk menjelaskan apa yang begitu seronok tentang permainan.
Latar Belakang & Naratif
Immortals Fenyx Rising menceritakan kisah “good vs evil” yang sering kita dengar, tetapi ia tidak terlalu fokus pada nada serius atau tragedi. Ia memilih komedi sebagai elemen utama, dan mengambil unsur mitologi Yunani untuk memberi naratif yang lebih ringan. Dialog di dalam permainan sering bergurau tentang mitos-mitos lama, menceritakan semula watak-watak legenda dalam cara yang menghiburkan, dan sentiasa merujuk budaya terkini.
Prometheus akan menjadi tukang cerita ketika anda bermain, dan ditemani oleh Zeus yang sentiasa cuba selitkan diri dalam naratif. Ini sering mengakibatkan perubahan alam di sekeliling Fenyx, seperti raksasa Cyclops yang saiznya tiba-tiba bertambah besar dua kali ganda.
Dalam permainan, kita akan menjelajah Golden Isle, sebuah pulau dengan latar belakang yang menarik dan cantik, di mana setiap wilayah menggambarkan Dewa yang menghuni di sana:
- Valley of Eternal Spring yang dihuni oleh dewi cinta Aphrodite, adalah surga yang indah dengan sungai-sungai dan kuil yang berkilauan, makhluk-makhluk yang aman damai, dan flora berwarna-warni.
- The Forgelands yang dihuni oleh dewa Hephaestus, dipenuhi dengan lanskap gunung yang penuh dengan runtuhan, bengkel, dan mesin berkarat.
- Di tengah-tengah pulau adalah gunung berapi Gates of Tartaros. Setelah menyelamatkan keempat-empat dewa, di isinilah kita akan menghadapi Typhon untuk perlawanan terakhir.
*Masih ada banyak lagi kawasan unik dalam permainan, tetapi saya akan berhenti spoiler di sini.*
Antara kelebihan Immortals Fenyx Rising adalah jalan cerita dan naratifnya, yang memaksa kita menyelamatkan dewa-dewa tertewas. Setiap dewa dan watak mitos memiliki personaliti yang eksentrik, dan pelik. Ini menunjukkan bahawa penulis benar-benar cuba bereksperimen dengan setiap watak. Walau bagaimanapun, banyak lawak agak sukar untuk faham kerana pemain harus mempunyai pengetahuan asas tentang mitologi atau rujukan budaya yang diceritakan. Lantas, daya tarikannya boleh hilang di sini bagi pemain yang kurang faham.
Gameplay Asas & Elemen Eksplorasi
Ini adalah salah satu dunia terbuka paling cantik di Ubisoft, dan merupakan alternatif yang bertentangan dengan realisme di Assassin’s Creed Valhalla. Jika kita memanjat ke puncak pulau ini, skala dunia memang terasa besar dan mengagumkan. Gaya seni yang bersifat kartun juga sangat sesuai dengan nada permainan yang lucu. Amat sukar untuk saya jelaskan tetapi ada sesuatu yang sangat menarik tentang dunia sehingga membuat saya mahu meneroka setiap kawasan.
Untuk meneroka dunia yang luas ini, sudah tentu terdapat beberapa cara untuk merentasi, di mana semua dikawal oleh sistem stamina. Anda boleh memanjat hampir semua jenis permukaan selagi meter stamina masih ada (ala-ala Genshin Impact). Sekiranya HP terlalu rendah, minum Potion untuk mengisi semula nyawa. Selain itu, kita boleh menyelinap belakang beberapa makhluk termasuk unicorn biru atau kuda emas lalu menjinakkannya untuk meneroka alam sekitar (setiap makhluk mempunyai meter stamina sendiri). Apabila anda menemui sayap Icarus di awal permainan, inilah satu-satunya cara untuk meluncur di langit bagi penjalanan jarak jauh. Sekali lagi, ia dikawal oleh sistem stamina.
Semasa menerokai Golden Isle, kita akan sentiasa mengutip pelbagai jenis barang, seperti Ambrosia, Zeus’s Lightning, Coins of Charon, Golden Amber, Adamantine (terdapat dalam jenis biru, kuning, merah, dan ungu), Flower Nectar, Olympian Figs, Blue Mushroom, dan Pomegranate. Terdapat juga empat jenis potion untuk cipta, beberapa Skill Tree besar, dan sejumlah peralatan seperti senjata, baju besi, dan skin untuk teman burung anda, Phosphor.
Semua objek ini mempunyai tujuan. Zeus’s Lightning akan meningkatkan stamina, yang merupakan sesuatu yang patut dilaburkan kerana ia membolehkan anda berlari, meluncur, dan mendaki dengan lebih lama. Olympian Figs, Mushroom, Nectar, dan Pomegranate, yang tersebar di seluruh dunia, boleh dibancuhkan untuk menjadi Potion yang memberi peningkatan berguna, termasuk meningkatkan pertahanan atau serangan. Sekiranya memerlukan barang-barang tertentu, anda boleh panjat ke tempat yang tinggi dan mengaktifkan pandangan jauh, sebuah mod yang membolehkan Fenyx mengimbas persekitaran sekeliling dan menandakan sesuatu unik, yang kemudian muncul di peta.
Misi & Teka-Teki
Misi dalam permainan boleh dibahagikan kepada pelbagai jenis, di mana kebanyakkan lebih cenderung kepada aspek teka-teki. Tersebar di peta adalah cabaran-cabaran unik bernama Vault of Tartaros, yang mengandungi teka-teki yang rumit. Sebahagian daripadanya direka dengan bagus, ada yang teruk, tetapi kebanyakkan terlalu mudah. Beberapa adegan penting dalam jalan cerita juga melibatkan teka-teki, termasuk labirin yang besar dan rumit di penghujung misi setiap dewa. Pada masa yabg sama, saya harus memuji Ubisoft untuk pilihan aksesibiliti, yang memudahkan teka-teki jika anda tidak suka aspek ini.
Kebanyakkan teka-teki permainan melibatkan penggunaan Bracers of Herakles, yang membolehkan Fenyx memegang dan melemparkan objek berat. Menjatuhkan kotak pada butang di lantai juga adalah perkara biasa, bersama menembak anak panah berapi untuk membakar sejenis objek dan mengawal bola besi yang besar untuk meletakkan di sesuatu lokasi. Teka-teki permainan tidak memiliki interaksi yang banyak, tetapi ia menggabungkan setiap elemen dalam cara yang cukup pintar. Vault of Tartaros sendiri dibahagikan kepada beberapa bahagian, di mana kesukaran cabaran akan meningkat secara beransur-ansur. Bagi mereka yang risau tidak faham, teka-teki pertama akan mengajar asas-asas, di mana ia akan berakhir dengan cabaran yang menguji kemahiran anda.
Sistem Pertempuran & Customization
Sistem pertempuran dalam Immortals Fenyx Rising adalah dramatik dan pantas, serta mencampurkan senjata jarak dekat dan elemen serangan jarak jauh. Fenyx dapat melakukan serangan yang perlahan dan berat dengan kapak, serangan cepat dengan pedang, dan beralih ke busur bila diperlukan untuk menembak musuh dengan anak panah. Mengelak (dodge) atau bertahan (block) ketika serangan musuh hampir terkena untuk membuatkan masa perlahan, lalu membiarkan mereka terbuka untuk kita serang.
Dengan penggunaan busur, Fenyx juga boleh boleh menggunakan Apollo’s Arrow untuk mengawal arah anak panah (banyak teka-teki memerlukan kemahiran ini). Cukup menarik juga, kita dapat membuka macam-macam kuasa istimewa, termasuk menghancurkan musuh dengan tukul gergasi. Walaupun kuasa-kuasa ini sangat kuat, ia memakan stamina yang banyak. Jadi pemain perlu berhati-hati untuk mengelakkannya habis. Secara keseluruhan, ia menyeronokkan dan mudah untuk dikendalikan.
Tidak seperti permainan lain yang membolehkan pemain menaik taraf secara langsung, sistem Upgrade hanya berlaku di tempat-tempat tertentu. Muncul lah Hall of the Gods! Segala HP, Stamina, peralatan, kuasa/kebolehan Dewa dan perubahan penampilan watak boleh dilakukan di sini. Saya ingin menjelaskan sedikit tentang sistem Upgrade -selagi salah satu peralatan ditingkatkan, peralatan yang lain akan ditingkatkan bersama. Sebagai contoh, pemain mempunyai topi keledar A, B, dan C. Jika kita naik taraf helmet B sahaja, A dan C juga akan menaik taraf bersama. Selain itu, pemain juga dapat mengubah suai penampilan senjata dan peralatan.
*Permainan ini mempunyai 5 jenis kesukaran, iaitu Story, Easy, Normal, Hard dan Nightmare. Nightmare hanya dapat dibuka setelah menyelesaikan permainan utama.*
Pendapat
Immortals Fenyx Rising amat mudah untuk disukai. Ia mempunyai daya tarikannya yang tertentu, rasa humor yang hebat, dan dunia yang penuh dengan warna dan kehidupan. Teka-teki mungkin terasa membosankan kerana mempunyai elemen repetitif tetapi gambaran Ubisoft yang unik pada mitos Yunani, watak dan perwatakan yang ditulis dengan baik, dan misi utama yang menyeronokkan berjaya mengalihkan perhatian saya pada kekurangannya.
Maka, tamatlah ulasan ini, dan bagi pembaca yang berminat, Immortals Fenyx Rising adalah permainan terakhir yang dikeluarkan oleh Ubisoft pada tahun ini serta boleh didapati di PC, Switch, PS4 dan Xbox Series S/X. Sudah tentu, ia juga akan dikeluarkan di konsol next-gen bagi mereka yang ingin membeli. Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!

@gamersantaimy
The Review
Immortals Fenyx Rising
Immortals Fenyx Rising amat mudah untuk disukai. Ia mempunyai daya tarikannya yang tertentu, rasa humor yang hebat, dan dunia yang penuh dengan warna dan kehidupan.
Discussion about this post