Dunia bola sepak mungkin telah berubah kerana COVID-19, tetapi ia masih berjalan seperti biasa untuk dunia permainan video FIFA. Seperti ansuran lama, EA telah mengumumkan banyak fitur baru untuk permainan video terkini, FIFA 21, dan saya cukup bernasib baik kerana berpeluang bermain sebelum pelancaran rasminya secara akses awal hari ini. Rupanya, memang benar ada beberapa ciri dan perbezaan menarik yang saya dapat jumpa!
Setelah menerima banyak aduan tentang gameplay di FIFA 20, EA telah berusaha untuk membuat beberapa perubahan yang menjadikan pengalaman keseluruhan lebih menyeronokkan dan kurang bikin frustrasi. Menurut para pemaju, “asas-asas bola sepak”sangat penting dalam edisi permainan tahun ini.
Saya tidak akan menerangkan asas gameplay seperti butang apa untuk sepak atau menghantar bola kerana saya rasa ramai sudah tahu. Oleh itu, saya hanya akan membincangkan ciri-ciri atau tambahan baru yang mereka terapkan dalam FIFA 21. Tanpa melengahkan masa, mari kita dalami ulasan ini!
Perubahan gameplay yang ofensif & versatil
Pasukan pemaju memberi fokus pada tiga teras iaitu kreativiti, kelancaran, dan responsif. Setiap teras ini berkait dengan elemen-elemen yang membentuk gameplay FIFA 21, daripada menggelecek, membuat hantaran, menciptakan peluang, tackle, “marking”, dan sebagainya. Ini diilhamkan oleh sukan bola sepak sebenar dan maklum balas komuniti.
Sebagai contoh, “agile dribbling” adalah teknik menggelecek baru yang diilhamkan oleh pemain daripada kehidupan sebenar. “Playmaker” mahir memegang posisi di kawasan yang kecil dengan menggunakan kawalan bola yang licik dan kepantasan untuk melepasi barisan pertahanan. Dengan memegang R1 dan bergerak dengan analog kiri, anda dapat menggunakan gaya ini untuk memberi lebih banyak pilihan ketika melarikan diri daripada cengkaman pihak lawan.
Pendek cerita, “agile dribbling” memberikan anda lebih banyak kawalan dan ciri responsif dalam situasi 1v1, bersama dengan beberapa kemahiran baru seperti “bridge dribble” dan “ball roll fake turn“. Purata kejayaan semasa menggunakan teknik ini berbeza-beza, dan anda harus belajar untuk menggunakan fitur ini dengan berkesan.
Selain itu, bahagian ofensif keseluruhan FIFA 21 telah direka semula untuk meningkatkan gameplay yang lebih menarik dan kreatif. Sekali lagi, ini untuk memberi anda lebih banyak pilihan ketika memiliki bola. Rakan AI kini lebih pintar ketika melakukan larian “off-the-ball“, tetapi anda juga dapat menentukan secara langsung bagaimana mereka bergerak di atas padang. Dengan menekan L1 dua kali dan analog kanan, pemain akan menyuruh AI untuk berlari ke arah ke arah pilihan. Ini sangat berguna untuk menggerakkan rakan sepasukan ke posisi berbahaya untuk menerima bola, atau menjadikan mereka umpan demi membuka ruang untuk diri sendiri.
Fitur baru “player lock” juga mempunyai fungsi yang serupa, di mana anda mengawal seorang pemain tertentu setelah menghantar bola kepada rakan sepasukan. Dari sini, anda bebas bergerak ke mana saja lalu memberi isyarat kepada AI untuk mengembalikan bola kepada anda apabila sudah bersedia. Ini adalah strategi yang berisiko, tetapi player lock hanyalah cara lain untuk memberi kawalan tambahan bagi mencipta peluang.
Sebilangan besar gameplay berpunca daripada pemain di atas padang. EA telah berusaha untuk membuatkan pemain terasa lebih unik dan mencerminkan versi sebenar dengan lebih tepat. Fitur ini diberi nama “position personality“. Secara dasarnya, ia meningkatkan kepentingan atribut “posisi pemain” di kedua-dua sisi ofensif dan defensif. Sebagai contoh, penyerang bertaraf dunia lebih pandai mengawal larian agar setara dengan barisan pertahanan manakala playmaker akan mencari ruang untuk memajukan bola ke kawasan berbahaya. Pada masa yang sama, pertahanan dapat menutup dan memintas laluan hantaran dengan lebih berkesan. Semua ini menyumbang kepada keunikan setiap pasukan dan pemain.
Utimate Mode untuk gamer berkelas dunia
Antara perkara paling menarik saya jumpa ialah FIFA 21 telah memperkenalkan tahap kesukaran baru bernama FIFA Mode. Ia sepatutnya mereplikasikan pengalaman bermain dengan pemain FIFA profesional. Ini adalah mod paling sukar yang pernah ada dalam permainan, jadi jika anda benar-benar pemain bertaraf dunia, atau hanya ingin memperbaiki diri, ini merupakan pilihan yang terbaik.
Dan ya, ia memang sukar. Pihak lawan melakukan gelecek dan hantaran yang tidak akan pernah digunakan oleh pemain biasa, tetapi merupakan ujian yang bagus untuk melihat betapa handalnya anda. Saya tidak mampu menang atau seri dalam mana-mana perlawanan, jadi jika kamu rasa diri memerlukan cabaran, mari cuba mod FIFA.
Bina pasukan paling handal di Career Mode
Penambahan fitur Interactive Match Sim adalah untuk pemain di luar sana yang suka Football Manager tetapi ingin sekali-sekala bermain di mana anda boleh lompat masuk ke dalam perlawanan untuk mempengaruhi rentak permainan, serta kawal saat-saat penting termasuk penalti dan sepakan percuma demi mengubah keputusan perlawanan.
Salah satu sebab terbesar mengapa career mode amat bosan adalah kerana AI yang kurang pintar. Selama bertahun-tahun, FIFA menampilkan taktik dan pendekatan yang sama tetapi di FIFA 21, kepintaran AI menerima peningkatan dalam pertahanan dan serangan. Sistem baru memberi AI kemampuan untuk membuat keputusan yang lebih tepat dalam apa-apa situasi. Ini memberi anda lebih banyak cabaran dalam setiap perlawanan dan memastikan mod sentiasa lain daripada lain.
Career mode juga meningkatkan realisme “transfer market” dengan menyediakan cara baru bagi manusia atau AI mendapatkan pemain seperti “Loan to Buy” dan permintaan AI yang diperbaiki. Untuk pengalaman yang lebih realistik pada awal permainan, aktifkan Authentic Transfers, atau gandakan anggaran budget dengan Financial Takeover.
Sistem kemajuan yang lebih baik juga membolehkan anda untuk mengawal perkembangan pemain dengan lebih mudah, lantas melatih mereka dalam posisi baru untuk mengisi kekosongan dalam pasukan. Pada masa sama, Match Sharpness merupakan atribut baru yang mempengaruhi bagaimana seorang pemain berprestasi dalam perlawanan. Berikut adalah perkara yang berkait:
- Sistem Active Training: membolehkan pemain meningkatkan “sharpness”.
- Activity Management: membolehkan pemain mempunyai kawalan taktikal yang lebih banyak dengan menyeimbangkan morale, sharpness, dan kecergasan pasukan.
FIFA Volta kembali sekali lagi
Kalau kamu pernah cuba Volta, kamu tahu ini ialah FIFA Street. Di sini, kita akan bermain mod “The Debut” yang lebih kurang seperti mod naratif yang fokus utamanya adalah untuk melatih kita bagi lebih memahami mekanik Volta. Di sini, anda akan menemui lokasi baru, majukan Avatar, mempelajari strategi baru, memperoleh ganjaran unik, dan membina skuad idaman. Anda juga boleh bermain dalam talian dengan rakan-rakan melalui Volta Squads. Melalui mod ini, anda dapat bermain dalam talian sehingga 5 rakan lain atau solo.
Pendapat
FIFA 21 terasa seperti permainan video yang lebih baik daripada FIFA 20, dan walaupun perubahan yang dibuat mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi kesan besar pada gameplay keseluruhan, yang sudah pasti adalah perkara yang paling penting.
Sudah tentu, ujian sebenar untuk segala sistem dan perubahan baru ini akan berlaku apabila FIFA 21 dilancarkan kepada seluruh dunia dan diuji oleh komuniti dalam talian untuk mengenal pasti kelemahannya. Buat masa ini, tanda-tanda awal FIFA 21 memang banyak potensi. EA suka menggunakan banyak cara menarik untuk mempromosikan FIFA, tetapi ada bukti di sebalik promosi ini yang jelas kelihatan dalam ulasan saya.
Pemain yang membeli FIFA 21 di PS4 atau Xbox One akan dapat menaik taraf ke versi generasi seterusnya seperti PS5 atau Xbox Series X|S secara percuma. Selain itu, ia boleh didapati di Nintendo Switch dan PC. Saya akan tamatkan ulasan ringkas saya di sini dan kalau anda peminat, dapatkan FIFA 21 sekarang! Sehingga kita berjumpa lagi, selamat ber-gaming!
GS Gameplay
@gamersantaimy
The Review
FIFA 21
FIFA 21 terasa seperti permainan video yang lebih baik daripada FIFA 20, dan walaupun perubahan yang dibuat mungkin kelihatan kecil, tetapi ia memberi kesan besar pada gameplay keseluruhan, yang sudah pasti adalah perkara yang paling penting.
Discussion about this post