Membina sebuah muzium yang berjaya dalam Two Point Museum bukan sekadar mengisi bilik dengan pameran. Untuk memastikan pengunjung terhibur dan keuntungan terus meningkat, anda perlu merancang susun atur pameran dengan teliti, mengurus kakitangan dengan cekap, serta menghantar ekspedisi bagi menambah koleksi baharu.
Jika anda baru mengenali Two Point Museum, semoga panduan di bawah dapat membantu anda mencipta sebuah muzium bertaraf dunia.
1. Ekspedisi Menjana Pendapatan Tambahan

Muzium yang tersusun rapi tidak akan menarik pengunjung jika kekurangan pameran. Oleh itu, menghantar kakitangan dalam ekspedisi adalah langkah penting untuk mendapatkan artifak baharu. Anda boleh klik pada helipad, memilih lokasi ekspedisi, dan menetapkan kakitangan yang sesuai.
Mereka juga boleh dibekalkan dengan peralatan khas untuk membantu mengatasi cabaran sepanjang perjalanan. Semakin lama tempoh ekspedisi, semakin banyak pengalaman yang mereka peroleh, membolehkan mereka membuka slot latihan tambahan dan meningkatkan skil.
Selain menambah koleksi, ekspedisi juga boleh menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan. Jika dana muzium agak terhad, anda boleh menjual sebahagian pameran untuk mendapatkan wang segera. Sebaiknya, wujudkan pasukan khas yang sentiasa menjalankan ekspedisi bagi memastikan muzium anda terus berkembang.
2. Susun Atur Pameran Membuatkan Muzium Lagi Menarik

Pameran adalah aspek utama sebuah muzium, dan cara anda menyusunnya memberi kesan besar kepada kepuasan pengunjung.
Mengelompokkan pameran bertema sama dalam satu kawasan dapat meningkatkan pengalaman pengunjung, mengurangkan masa mereka bersiar-siar tanpa arah, dan membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada artifak yang dipamerkan.
Perancangan ruang yang strategik juga sangat penting. Walaupun muzium bermula dengan ruang terbuka, anda boleh membina bilik untuk mengkategorikan pameran, mewujudkan laluan antara zon pameran, serta menyediakan kemudahan seperti bangku, tandas, dan mesin layan diri untuk keselesaan pengunjung.
Dewan pameran bertema bukan sahaja menambah daya tarikan tetapi juga menjadikan pengalaman lebih imersif.

Jangan lupa untuk menambah dekorasi! Hiasan bukan sahaja mencantikkan suasana tetapi juga meningkatkan tahap Buzz sebuah pameran. Semakin tinggi tahap Buzz, semakin menarik muzium anda kepada pelawat.
Sasar untuk mencapai Buzz Level 5, kerana ia merupakan cara terbaik untuk meningkatkan prestij muzium dan menarik lebih ramai pengunjung.
3. Manfaatkan Area Zoning

Apabila muzium semakin berkembang, pergerakan kakitangan mungkin menjadi kurang efisien, menjejaskan produktiviti keseluruhan. Fungsi Area Zoning membolehkan anda membahagikan muzium kepada beberapa zon dan menetapkan pekerja khusus untuk setiap bahagian.
Sebagai contoh, anda boleh menugaskan janitor ke kawasan tertentu bagi memastikan kebersihan sentiasa terjaga.
Tanpa zoning, kakitangan mungkin bergerak tanpa arah, membazir masa, dan mengurangkan kecekapan operasi. Oleh itu, apabila muzium semakin besar, gunakan sistem zoning ini untuk melancarkan pengurusan dan memastikan aliran kerja yang lebih tersusun.
4. Pentingkan Kepuasan Pengunjung & Kakitangan

Kedua-dua pengunjung dan kakitangan memerlukan kemudahan asas untuk memastikan mereka selesa. Menyediakan bangku, mesin layan diri, gerai makanan, dan tandas yang mencukupi dapat meningkatkan kepuasan pengunjung, membuatkan mereka kekal lebih lama serta lebih cenderung untuk menderma kepada muzium.
Bagi kakitangan pula, bilik rehat yang lengkap amat penting. Tanpa rehat yang mencukupi, prestasi mereka akan merosot, sekali gus menjejaskan operasi muzium. Selain itu, susun atur muzium yang cekap dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan.
Meletakkan tong sampah dan dispenser air bukan sekadar untuk hiasan—tanpa tong sampah, pengunjung mungkin membuang sampah merata-rata, mengurangkan tahap kebersihan dan kepuasan mereka.
5. Latih Kakitangan Agar Cekap

Pasukan yang terlatih adalah tunjang utama kejayaan sesebuah muzium. Kakitangan memperoleh pengalaman berharga melalui ekspedisi, jadi adalah bijak untuk menghantar pekerja yang hampir mencapai level up seterusnya. Dengan cara ini, mereka boleh terus menjalani latihan sebaik sahaja kembali, memastikan kitaran peningkatan berterusan.
Setiap pekerja boleh menguasai skil tertentu mengikut peranan mereka. Janitor, misalnya, boleh dilatih dalam Mechanics untuk menyelenggara pameran atau kemahiran Workshop bagi menangani pembaikan dengan lebih cekap.
Sementara itu, Assistant disarankan untuk mempelajari Reception Skill bagi meningkatkan interaksi dengan pengunjung serta memastikan barisan pengunjung bergerak lancar.

Jangan pula abaikan kemahiran Aerodynamic! Ia sebenarnya sangat berguna dalam meningkatkan kelajuan pergerakan kakitangan. Janitor yang lebih pantas dapat membersihkan kotoran dengan segera, manakala pembantu boleh mengisi semula stok mesin layan diri dengan lebih efisien.
Melabur dalam program latihan yang tepat akan membantu muzium beroperasi dengan lebih lancar, memastikan segala urusan dengan baik.
6. Lawatan Berpandu Amat Penting

Lawatan berpandu perlu disusun mengikut tema tertentu, dengan mengelompokkan pameran yang berkaitan bagi memendekkan tempoh lawatan dan memperkayakan pengalaman pembelajaran.
Menambah elemen seperti hiasan, tempat duduk, dan kemudahan di kawasan lawatan boleh meningkatkan kepuasan pengunjung secara signifikan.
Sebaiknya, latih kakitangan khusus untuk mengendalikan lawatan ini agar mereka dapat memberikan penerangan yang berkualiti memastikan pengunjung terus berminat sepanjang lawatan.
7. Tajaan Menjana Pendapatan dengan Kos Minimum

Untuk menambah sumber pendapatan, pertimbangkan untuk bekerjasama dengan penaja bagi memposisikan pameran tajaan atau gerai promosi di dalam muzium anda. Selain memberikan elaun bulanan, ia juga dapat menjana pendapatan tambahan.
Namun, pameran tajaan boleh mempengaruhi kepuasan pengunjung, jadi pastikan ia ditempatkan secara strategik agar tidak mengganggu pengalaman keseluruhan.
Game ini telah dilancarkan sejak 5 Mac 2025 di PC, PlayStation 5, dan Xbox Series X|S. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post