Baru-baru ini, kita dapat pengesahan oleh Netflix bahawa mereka akan menambah siri anime baharu berdasarkan francais Detective Conan ke katalog. Bernama Detective Conan: The Culprit Hanzawa, siri ini mengadaptasi manga komedi spin-off berdasarkan watak “penjahat serba hitam” dan bakal ditayangkan pada 1 Februari 2023 di Netflix.
Sempena tayangan rasminya tidak lama lagi, Netflix turut memuat naik trailer Detective Conan: The Culprit Hanzawa di halaman YouTube.
Spin-off ini pertama kali didedahkan pada November 2021, dan dihasilkan oleh syarikat hiburan besar TMS. Watak utama “Hanzawa” akan disuarakan oleh Shota Aoi, yang sebelum ini turut menyuarakan watak Rosado dalam Fire Emblem Engage, Louis Kisaragi dalam King of Prism dan Ai Mikaze dalam Uta no Prince-sama.
Pada masa yang sama, Netflix juga memuat naik poster untuk anime itu.

Jadi siapakah Hanzawa?

Kisahnya begini; “Hanzawa” adalah seorang penjahat yang berpakaian hitam ketat di seluruh badannya. Walaupun sentiasa memikirkan tentang “pembunuhan”, Hanzawa merupakan watak “lawak” daripada siri Detective Conan.
Supaya anda semua faham, setiap kali apabila sebuah jenayah digambarkan dalam “flashback”, identiti penjahat tidak didedahkan dan diwakili oleh sosok siluet serba hitam. Dijadikan lawak dalam siri ini, lama-kelamaan “watak serba hitam” ini diberi nama “Hanzawa” (permainan kata untuk “hanzaisha” atau “pesalah”).

Pada Mei 2017, manga komedi berdasarkan Hanzawa dilancarkan di Shonen Sunday S dan diilustrasikan dan ditulis oleh Mayuko Kanba. Kini dijadikan orang sebenar, si penjahat itu dinamakan sebagai “Makoto Hanzawa” di mana manga menceritakan tentang kehidupan sehariannya yang penuh lawak. Hingga sekarang, manga spin-off ini masih berjalan dan menerima banyak sambutan positif di kalangan pembaca.
Sekali lagi saya ingatkan, Detective Conan: The Culprit Hanzawa akan ditayangkan di Netflix pada 1 Februari 2023.
@gamersantaimy
Discussion about this post