Tara Gaming, sebuah studio game dari India yang diasaskan oleh pembangun game veteran Noredine Abboud (Tom Clancy’s Ghost Recon Wildlands), pelakon ikonik Amitabh Bachchan, dan penulis tersohor Amish Tripathi (Shiva Trilogy), baru sahaja mengumumkan The Age of Bhaarat, sebuah RPG aksi berlatarkan dunia fantasi gelap yang berhasrat mengangkat era purba India ke pentas gaming antarabangsa.
Digambarkan sebagai “pengembaraan aksi epik India”, game ini bakal dilancarkan untuk konsol (yang masih belum didedahkan) dan PC melalui Steam serta Epic Games Store, walaupun tarikh rasminya masih belum diumumkan.
The Age of Bhaarat membawa pemain menerokai sebuah dunia yang dibina dengan teliti, diilhamkan oleh kisah-kisah agung India seperti Ramayan. Pemain akan menggalas watak sebagai Forest Warden, seorang penjaga hutan yang ditugaskan mempertahankan tanah air daripada serangan kejam makhluk iblis Rakshasa.
Game ini menggabungkan pertempuran intensif, kuasa mistik, serta penceritaan hasil tulisan Amish Tripathi, menjanjikan sebuah perjalanan merentas lanskap misteri dan rahsia kuno.

Antara tarikan utama game ini adalah sistem combat dinamik, termasuk penggunaan mekanik grappling hook yang membolehkan pemain bergerak secara menegak dan bertarung dengan lebih pantas.
Sepanjang pengembaraan, pemain dapat menguasai senjata tradisional India, artifak berkuasa, dan kuasa mistik hutan untuk mengalahkan ancaman yang menggerunkan. Dunia dalam The Age of Bhaarat meliputi hutan yang musnah, tasik-tasik mistik, dan puncak gunung berbahaya — semua ini diilhamkan daripada kisah-kisah epik India.

Naratif utama berkisar kepada Forest Warden dari Anandpur, di mana setiap pilihan yang pemain buat bakal menentukan masa depan dunia yang sedang berada di ambang kehancuran.
“Ini adalah kisah epik tentang tugas, pengkhianatan, dan kuasa purba,” ujar Tripathi, yang turut menekankan fokus game terhadap penceritaan yang dipacu oleh pilihan pemain.

The Age of Bhaarat turut menawarkan sistem customization, membolehkan pemain membentuk Forest Warden mereka mengikut gaya permainan masing-masing.
Sama ada menguasai kekuatan primal atau menggunakan artifak mistik, pemain berpeluang mencorakkan perjalanan mereka sendiri dalam mempertahankan dunia daripada serangan iblis. Game ini juga menyokong mod solo dan multiplayer, membolehkan pemain menikmati pengembaraan ini sama ada secara individu atau bersama rakan-rakan.

Amitabh Bachchan, ikon budaya India yang juga pengasas bersama Tara Gaming, menekankan misi studio ini untuk memperkenalkan kekayaan warisan penceritaan India kepada dunia. “India telah lama menjadi tanah penuh cerita-cerita agung,” kata Bachchan.
“Melalui game ini, kami berpeluang untuk berkongsi epik, kreativiti, dan imaginasi kami dengan seluruh dunia. Dunia gaming adalah medan baharu untuk cerita-cerita hidup, dan saya teruja untuk membantu membentuk pengalaman ini dari sudut pandang India yang unik.”

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Tara Gaming.
@gamersantaimy
Discussion about this post