Wizards of the Coast bakal melancarkan Fizban’s Treasury of Dragons, sebuah buku yang memaparkan segala info dan visual tentang naga untuk permainan RPG pertama di dunia, Dungeons and Dragons (D&D). Oleh itu, kami mempunyai kesempatan untuk mengadakan temu ramah bersama James Wyatt, pereka utama bagi buku ini sebelum pelancaran debut buku pada 9 November 2021. Jika anda salah satu yang ingin tahu apakah kepentingan naga di dalam Dungeons and Dragons, teruskan membaca temu ramah ini!
Konteks ayat dalam temu ramah diubah suai untuk memudahkan pemahaman pembaca tentang permainan Dungeons and Dragons.
Soalan pertama yang saya rasa ramai pembaca ingin tahu adalah “mengapa mengarang buku tentang naga?”
“Naga adalah elemen penting dari fantasi Dungeons & Dragons. … yang saya rasa cukup jelas dengan nama permainan. Ia sangat berkaitan dengan keajaiban dunia. Sebuah sarang naga mengubah persekitaran di sekitarnya, lalu mencerminkan sifat dan keperibadian naga. Watak seperti ahli sihir, memperoleh kuasa mereka dari sentuhan beberapa naga dari zaman nenek moyang atau sejarah”, kata James.
Panduan bagus untuk para Dungeon Master yang baru mula

Dia juga menekankan bahawa bahagian penting dari pengalaman D&D adalah input kreatif kita sendiri dan menyifatkan buku Treasury of Dragons sebagai panduan yang sepatutnya akan menunjukkan berbagai cara kepada Dungeon Master (DM) untuk bertemu naga.
“Dewa naga Bahamut dan Tiamat, yang menciptakan dua keluarga Chromatic Dragon dan Metallic Dragon, adalah kuasa penting untuk sisi kebaikan dan kejahatan (masing-masing) di dunia D&D. Oleh itu, DM berbeza dapat memilih bagaimana dan berapa banyak mereka ingin menekankan naga dalam kempen”.
“DM yang berbeza dapat memilih betapa besar peranan naga dalam pembentukkan kempen, dan salah satu perkara yang dilakukan oleh Fizban’s Treasury of Dragons adalah membantu DM membuat pilihan itu,” dia sambung. Sekiranya anda ingin mengumpulkan naga yang hebat untuk kempen, kami mempunyai alat untuk membantu melakukannya. Atau jika anda ingin membina keseluruhan kempen berkisarkan naga, kami mempunyai beberapa inspirasi ke arah itu”.
Walaupun banyak untuk dihadam, James meyakinkan pembaca bahawa buku ini sangat berharga untuk DM yang baru mula. Mereka bahkan dapat menggunakannya untuk menemui idea baru semasa memulakan pengembaraan.

“Sekiranya anda seorang DM baru yang masih belajar bagaimana cara untuk memulakan pengembaraan, saya rasa banyak yang Fizban boleh tawarkan, bermula dengan 15 peta sarang naga yang dapat digunakan sebagai penjara bawah tanah! Ada juga berpuluh-puluh rajah yang memberi sebab kepada pemain untuk datang ke sarang itu, dan banyak rajah yang boleh anda gunakan untuk mengisi ruang dan kawasan sekitarnya dengan makhluk unik selain naga. Saya rasa ia adalah sumber yang cukup hebat untuk asas-asas memulakan pengembaraan”, kata James.
“Sekiranya baru sahaja mula kempen D&D pertama, Fizban menawarkan beberapa contoh untuk memasukkan naga ke dalam kisah dunia pemain dalam cara yang memberi impak besar atau kecil. Pada asasnya, Fizban adalah peti harta karun yang penuh dengan idea, dan harapan saya adalah supaya pemain dan Dungeon Master, sama ada pemain baru atau pemain lama, mendapat banyak inspirasi untuk pengembaraan, watak, dan kempen mereka yang seterusnya!”, kata James.
Hanya naga sahaja dari awal sampai habis
Sudah tentu, tarikan terbesar Fizban’s Treasury of Dragons adalah jumlah naga yang terdapat dalam buku ini. Ditulis oleh Fizban the Fabulous (gurauan semata-mata kerana dia adalah watak dalam permainan), ia juga menyentuh tentang Gem Dragon – kaum naga kristal yang kali terakhir dilihat di edisi ke-3 D&D.

“Seperti yang diceritakan dalam Fizban’s Treasury of Dragons, Gem Dragon masih sama seperti versi sebelumnya dalam edisi lama permainan. Ia memiliki abiliti psionik, dan bersifat neutral (dari segi baik/jahat dan dari segi konflik di antara naga), serta mempunyai serangan nafas yang menangani ‘force, necrotic, radiant, thunder, atau psychic damage, jelas James.
“Apa yang saya harap berjaya dilakukan adalah menjelaskan kedudukan mereka di dunia ini secara lebih baik. Menurut mitos yang kami ceritakan dalam buku, Bahamut dan Tiamat bekerjasama untuk menciptakan First World , yang merupakan benih dari Material Plane. Kemudian ia mencipta Sardior, Ruby Dragon, di mana Sardior menolong masing-masing mencipta keluarga Chromatic Dragon dan Metallic Dragon”.
“Apabila First World hancur, Sardior nampaknya pecah menjadi serpihan-serpihan psikik yang tak terhitung jumlahnya – dan terhasillah Gem Dragon di dunia Material Plane. Mitos ini bantu menjelaskan mengapa Gem Dragon bersifat psionik, mengapa ia sangat jarang, dan mengapa ia lebih sedar dan berminat dengan jumlah dunia di Material Plane berbanding naga lain. Saya harap ini memberi lebih banyak sebab kepada para DM untuk menggunakannya dalam permainan mereka!”
Bukan Gem Dragon sahaja, banyak naga lain juga boleh dilihat di muka surat buku dari Chromatic Dragon dan Metallic Dragon hingga ke makhluk seperti Dragon Turtle, Moonstone Dragon dan banyak lagi.

“Setiap 20 jenis naga berlainan mendapat beberapa halaman dalam bab 5 untuk buku ini, termasuk rajah bagi sifat personaliti, cita-cita, kisah pengembaraan, makhluk yang berkaitan, dan reka seni untuk harta karun! Sebilangan besar juga mempunyai peta sarang. Ramai yang mencadangkan menambah sihir jika anda mahu naga menggunakan sihir. Oleh itu, kami telah menambahkan info dalam Manual Monster serta naga baru yang diperkenalkan dalam buku ini!”, kata James dengan bersemangat.
Naga dianggap sebagai entiti bertaraf dewa
Ramai yang menganggap naga sebagai spesies raksasa yang tipikal. Namun seperti yang dikatakan oleh James, ia sebenarnya lebih daripada itu di mana beberapa naga terkenal juga dianggap sebagai dewa.
“Caranya adalah dengan mempertimbangkan skop dan skala yang tepat, dan memastikan bahawa naga muncul sebagai makhluk yang hebat, pintar, ajaib dan bukan hanya reptilia besar yang boleh terbang. Dengan prinsip itu sebagai panduan, kami melakukan perkara seperti menyertakan rajah untuk membantu anda tentukan dari mana telur naga berasal: mungkin lima Elder Dragon diperlukan untuk menghasilkan telur, atau mungkin telur naga berasal di World Tree”, kata James.

“Kami menggunakan mitos dan legenda mengenai naga untuk reka kuasa draconic yang mungkin anda peroleh selepas membunuh seekor naga atau jika seekor naga memutuskan untuk memberi kuasa ini kepada pemain. Jadi, anda mungkin akan memperolehi kuasa kebal atau menjelma sebagai Dragonborn!”.
“Idea untuk mendapatkan kuasa dari membunuh naga adalah tema penting dalam legenda. Kami berusaha untuk mengembangkan idea sedikit demi sedikit sehingga kita tidak semestinya perlu membunuh naga untuk dapatkan kuasa naga”, dia cakap. “Atas sebab-sebab tertentu, seekor naga yang akan mati mungkin akan memberi sebahagian kuasanya ke parti anda. Oleh itu, terdapat banyak idea mitos yang dapat kita cuba dalam permainan”.
Bantu mempelbagaikan pilihan supaya sepadan dengan kisah yang ingin anda ceritakan

“Salah satu tujuan kami untuk bab pertama Fizban adalah untuk membantu pemain mencari hubungan antara watak dan kisah naga yang menyeluruh di dunia D&D. Terdapat beberapa cara berbeza: anda boleh memilih salah satu suku naga, memilih subkelas ranger atau sami yang memberi anda kekuatan bersumberkan naga, atau membentuk kisah watak dengan pengaruh naga dalam jalan cerita. Kami menawarkan rajah mudah yang bertujuan untuk membantu mengilhamkan idea, supaya watak dapat jadi sebahagian daripada jalan cerita tanpa membuat pilihan khusus.” kata James.
Dua subkelas baru adalah Drakewarden Ranger dan Way of the Ascendent Dragon untuk Monk. Walaupun Bahamut dan Tiamat selalu berada di latar belakang untuk beberapa kelas, James mengatakan bahawa perkara ini harus dipertimbangkan semasa memutuskan siapa yang mendapat subkelas draconic baru.
“Ketika merancang subkelas Monk dan Ranger, kami melihat pilihan yang ada dan memilih yang paling sesuai. Bagi saya, apabila setiap kali kita mencipta satu pilihan baru bertema naga, ia cenderung untuk melangkau pilihan lain bagi kelas sama yang boleh berfungsi dengan baik. Saya rasa permainan ini lebih seronok jika kami bantu mempelbagaikan pilihan supaya sepadan dengan kisah yang ingin anda ceritakan.”
Itu sahaja untuk temu ramah kami bersama James Wyatt tentang buku panduan Fizban’s Treasury of Dragons bagi siri Dungeons and Dragons. Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan buku ini, sila lawatan laman web rasmi mereka di SINI atau dapat menonton video deep dive yang memperkenalkan buku tersebut acara langsung di atas.
@gamersantaimy
Discussion about this post