Sempena pelancaran akan datang Hearthstone, kami berpeluang menyertai sebuah sesi playtest Hearthstone Mercenaries. Buat sesiapa yang berminat untuk tahu asas-asas mod ini, anda boleh baca ulasan awal saya di SINI. Tanpa diduga, sebuah sesi temu ramah kasual juga berlangsung secara serentak, di mana para pembangun Hearthstone Mercenaries menjawab serba sedikit tentang reka bentuk mod tersebut. Antara yang hadir untuk sesi ini adalah:
- Ben Lee (Pengarah permainan)
- Joseph Killion (Pereka)
- Ates Bayraktaroglu (Pereka bersekutu)
Jangan lupa untuk baca ulasan akses awal kami, untuk memahami lebih banyak tentang konteks di bawah! Tanpa melengahkan masa lagi, inilah temu ramah eksklusif kami tentang Hearthstone Mercenaries.
Sesi soal jawab ini telah diedit untuk memudahkan penjelasan.
UI & gameplay

Mercenaries sebagai mod permainan dihasilkan untuk menerima semua pemain, dan secara beransur-ansur memudahkan kita mempelajari semua sistem asasnya.
Joseph Killion: Inilah yang kita panggil sebagai Ability Tray. Ini menunjukkan skil Mercenary, dan harta yang anda miliki. Pertarungan tutorial pada dasarnya wujud untuk menunjukkan kepada anda bagaimana ia berfungsi, setiap kombo, dan sebagainya.
Speed (kelajuan) adalah salah satu mekanik terpenting dalam mod ini. Segala berlaku mengikut urutan dari Speed terendah hingga Speed tertinggi, seperti abiliti 1 Speed akan bergerak sebelum 8 Speed. Apa yang menarik ialah jika seri, pemenang akan ditentukan secara rawak. Jika semua abiliti mempunyai Speed yang sama, ia bergantung pada urutan yang anda pilih.
Sesetengah abiliti memiliki ikon jam pasir yang tidak mempunyai “tooltip”. Apakah itu?
Ates Bayraktaroglu: Itulah cooldown untuk abiliti, dan bermaksud jumlah giliran yang diperlukan untuk membolehkan anda menggunakannya.
Joseph Killion: Abiliti bermula pada cooldown, dan apabila menggunakannya, ia akan kembali pada cooldown. Mercenary yang berada di bangku simpanan juga akan mengisi cooldown, jadi jika anda mempunyai watak seperti Ragnaros dengan cooldown yang panjang, anda boleh memasukkannya kemudian dan segera menggunakan abiliti terkuat untuk mengubah arus pertarungan.
Adakah mod Colourblind (buta warna) disediakan?
Ben Lee: Dari segi pilihan “accessibility”, ini adalah sesuatu yang kami selalu cuba untuk memberikan yang terbaik. Kami cuba memastikan rona dapat dilihat, dan semua dapat dibaca dalam spektrum warna yang berbeza.
Ates Bayraktaroglu: Selain itu, ia bukan hanya warna. Batu permata mempunyai reka bentuk berbeza yang bergantung pada nombor jadi kami juga menggunakan perwakilan visual untuk membantu membezakannya.
Ben Lee: Terdapat kesan visual yang lebih jelas untuk dilihat ketika anda bermain dan melihat jika anda melakukan “damage” yang berkesan. Kami mendapati bahawa ia berfungsi dengan baik untuk playtester, tetapi jika pemain berpendapat bahawa kami perlu berusaha lebih banyak lagi, kami akan melakukannya.
Ben Lee: Tutorial disuarakan sepenuhnya. Kami ingin memberikan pengalaman naratif yang menarik.

Dalam permainan Roguelite lain, anda boleh menggunakan nombor di papan kekunci sebagai hotkey. Adakah ada pilihan seperti ini di Mercenaries?
Ben Lee: Ini sebenarnya bukan sesuatu yang dapat kita lakukan di Hearthstone. Ini adalah permainan yang dikendalikan oleh tetikus, dan juga di telefon, jadi kami mengutamakan kawalan tersebut. Bukan bermaksud kita tidak akan melakukannya, tetapi buat masa ini, kita tidak fokus padanya.
Joseph Killion: Ia seperti anda berada di dunia Hearthstone semasa bermain. Anda perlu menarik kad fizikal dan kami benar-benar mahukan gameplay Mercenaries mempunyai perasaan yang serupa dengan itu.
Selain dari pengetahuan tentang dunia Warcraft dan wataknya, adakah ada cara yang cepat dan mudah untuk mengenal pasti Horde dan Alliance?
Joseph Killion: Semasa pelancaran, kami tidak mempunyai cara untuk menunjukkannya, tetapi itu adalah sesuatu yang kami merancang untuk menambah tooltip bagi menunjukkan kaum apa yang ada di Alliance atau Horde, seperti contoh kata kunci.
Adakah akan ada sistem penapis apabila lebih banyak ‘mercs’ diperkenalkan untuk membuatnya lebih mudah bagi mengasingkan dan mencari sinergi?
Ben Lee: Anda sebenarnya dapat menggunakan carian, seperti menaip perkataan “demon” atau “legendary”. Kata kunci adalah kaedah yang cekap, tetapi kami tidak mempunyai penapis lain buat masa ini. Pada masa depan, mungkin ada 300 Mercenary. Buat masa ini, saya rasa kami cukup berpuas hati dengan keadaan semasa.

Adakah emote akan ditambahkan?
Ben Lee: Tidak ada emote tetapi watak akan bercakap apabila saling membunuh, atau situasi lain. Watak-watak akan membuat emote sendiri, dan itu adalah sesuatu yang ingin kita tambah dalam permainan itu sendiri. Anda mengawal apa yang dilakukan oleh Mercenary, dan mereka mempunyai ayat sendiri. Ini adalah sesuatu yang akan kita perhatikan di masa depan, tetapi ia berfungsi dengan setiap Mercenary apabila mereka bercakap.
Ates Bayraktaroglu: Pada masa ini, hanya Diamond Mercenary yang mempunyai emote dengan kata ucapan untuk membezakannya dengan Mercenary bukan Diamond atau kosmetik. Tidak ada power-up yang berkait dengan penampilan, jadi ini adalah cara untuk menjadikan mereka lebih istimewa.
Reka bentuk permainan

Ben Lee: Cariel dan Xyrella adalah antara watak pertama yang kami reka abilitinya. Saya rasa mereka adalah yang terbaik, dan masih boleh digunakan sepanjang mod permainan. Cariel ada Taunt dan abiliti menyembuh, manakala Xyrella dapat mengurangkan ATK musuh, dan sembuh.
Joseph Killion: Saya juga suka Grommash (Hellscream). Semasa menjelajah Mercenaries, kami mula memikir, “apa yang ada dalam Hearthstone yang dapat kami masukkan dalam mode ini”? Hearthstone standard tidak mempunyai tag “Orc” atau “Human”, tetapi kerana Mercenary adalah nadi utama mod ini, kami benar-benar ingin menunjukkan siapa wataknya. Grommash sebagai orc adalah penting untuk wataknya.
Ketika mula-mula menubuhkan suku berlainan, kita harus selidik apa yang membuat Orc menonjol dari yang lain. Mereka sangat agresif, semuanya lebih kepada meningkatkan efek ATK untuk menembus pertahan pihak lawan. Jadi mereka muncul sebagai pasukan bersinergi baik yang pemain dapat guna.

Adakah ada apa-apa inspirasi khusus untuk mekanik baru di Mercenaries?
Ben Lee: Dari segi inspirasi dan mekanik, sebenarnya terdapat banyak persamaan antara JRPG tradisional dan Mercenaries, seperti Final Fantasy dan Pokemon lama. Terdapat permainan di mana kita kumpul hero dan ini pun mempunyai beberapa persamaan, tetapi pertempuran kami lebih “engaging” dan anda tidak dapat menyelesaikan masalah secara auto battle.
Kami berusaha untuk menjadikan pertempuran pendek, cepat dan menyeronokkan tanpa menjadi terlalu rumit. Kami benar-benar ingin membuat starter set terbaik yang dapat dicuba oleh pemain, dengan beberapa penambahan yang mengagumkan. Untuk Mercenary yang muncul selepas pelancaran, kita pasti akan melebihi batas abiliti semasa dan melakukan perkara yang lebih eksplosif dan kompleks.
Ates Bayraktaroglu: Sebagai tambahan, kami juga melihat Hearthstone untuk mendapatkan inspirasi. Banyak motif yang mengingatkan kita kepada Dungeon Run, atau Duels, di mana anda memperoleh harta karun dan menguatkan dek sepanjang perjalanan.
Ben Lee: Terdapat banyak kemajuan dalam permainan, di mana watak akan meningkat level, memperoleh statistik tambahan, kebolehan baru. Kami telah berusaha untuk membuat bos seperti teka-teki pada tahap tertentu, dan ada banyak alat yang anda miliki. Kami mahu pemain berasa seronok dengan watak mereka yang semakin maju. Segala-galanya di Mercenaries menawarkan ganjaran, sama ada dari bermain PVP, Bounties, dan Rewards Track.
Kami tidak membuat terlalu susah pada awal kerana tidak mahu membebankan pemain, tetapi jika anda merancang untuk mencuba Heroic, atau tahap selanjutnya, anda perlu melihat ekologi dan mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan pertempuran.
Ates Bayraktaroglu: Di Mercenaries, kami memperkenalkan konsep yang bernama pertempuran “Ecology”. Pertempuran ini tertuju kepada bos dan makhluk yang anda jumpa di World of Warcraft. Jika Bounty berada di “Barrens” (lokasi), mungkin kita akan melihat Kobold, Centaur, atau Elemental.

Adakah ada batasan untuk berapa banyak Treasure yang boleh dimiliki/dipakai oleh seorang Mercenary?
Ben Lee: Hanya satu, tetapi kadang-kadang anda mungkin akan ditawarkan dua jika hanya satu Mercenary sahaja yang masih hidup untuk memberi lebih banyak pilihan.
Joseph Killion: Begitu juga dengan peralatan, di mana anda hanya dapat memakai satu sahaja. Kami merancang setiap bahagian untuk sepadan dengan Mercenary anda, dan menambahkan lebih banyak ATK atau kesan pada skil.
Ben Lee: Kami berusaha mendapatkan pemain untuk membina pasukan hebat bagi menghasilkan kombo eksplosif yang sangat menyeronokkan.
Adakah anda mampu menggantikan Mercenary dari bangku simpanan ke pertarungan pada bila-bila masa atau hanya apabila seseorang mati?
Ben Lee: Sesetengah abiliti dan harta karun membolehkan perkara ini.
Adakah perlawanan mempunyai sistem “fatigue” setelah beberapa pusingan, seperti dalam “Control Matchup”?
Joseph Killion: Kami tidak mempunyai sistem fatigue pada pelancaran, tetapi ini adalah sesuatu yang ingin kami perhatikan, dapatkan maklum balas pemain dan lihat jika kami memerlukannya. Kami mahu perlawanan yang cepat dan pantas; masuk, dapatkan ganjaran PVP, dan kembali untuk lebih banyak lagi.
Ben Lee: Secara amnya, apabila anda menggunakan Mercenary dengan kebolehan jarak dekat misalnya, mereka akan meletihkan diri sendiri dari masa ke semasa. Sekiranya anda bermain dengan pasukan yang sepenuhnya menyembuh, (terutamanya apabila ada efek double damage), memang sukar untuk menyembuh semuanya. Kami tidak melihat ini sebagai masalah, tetapi jika ada, kami akan mengatasinya.
Adakah ada saiz maksimum untuk papan?
Ben Lee: Ia adalah 6. Dari segi menyeru minion, kami cuba menjauhinya. Dalam beberapa kes, di mana mekanik masuk akal, seperti Murlocs, ia sangat menyeronokkan untuk memenuhi papan. Tetapi kami juga mahu berfokus pada Mercenary itu sendiri. Kami berusaha untuk menggunakannya hanya apabila keadaan memerlukan dan bukan untuk menyeru semua askar.

Apakah ciri-ciri combo? Adakah itu abiliti Mercenary atau giliran berterusan?
Joseph Killion: Kami mempunyai beberapa ciri. Terdapat kata kunci Combo biasa, kemudian Combo Spellschool (contoh: Fire, Frost Combo). Cara Combo berfungsi di Mercenaries pada dasarnya adalah apabila ada orang dalam pasukan anda menggunakan abiliti atau abiliti Spellschool. Oleh itu, skil 2 Speed akan berjalan dahulu sebelum abiliti 4 Speed dalam Combo.
Apakah idea yang menentukan jumlah serangan/pertahanan terakhir untuk setiap Mercenary atau bagaimana mereka meningkat level?
Ben Lee: Dari segi nombor, ada banyak faktor yang berkait. Watak jarak dekat yang akan mendapat jumlah nombor yang lebih tinggi, manakala watak yang mempunyai kemahiran sinergi yang membolehkan serangan mereka berkembang akan diberi jumlah nombor yang lebih rendah. Itu bergantung pada jenis/”alignment” atau siapakah diri mereka sebagai watak.
Millhouse Manastorm mungkin tidak akan ada serangan tinggi kerana dia adalah Gnome Spellcaster, jadi ini juga berkait dengan latar belakang. Kami cuba menjadikan setiap watak itu menyeronokkan, berbeza, atau unik. Ada yang akan mempunyai HP yang lebih banyak dan ATK lebih rendah jika mereka “tank” yang bagus, atau ATK tinggi dan HP rendah untuk watak ofensif. Terdapat banyak playtesting, formula dan teori untuk menyelaraskan di mana kita mahukan jumlah nombor tersebut.
Struktur “unlock” dan ganjaran
Ben Lee: Selepas menyelesaikan setiap peta Bounty, termasuk tutorial, anda akan mendapat ganjaran. Tidak ada had untuk jumlah ganjaran yang boleh diperolehi setiap hari, sama ada 10 jam atau 30 minit di mana anda mendapat Merc Coin untuk upgrade-kan watak.

Memandangkan kita dapat bermain Bounty tanpa had setiap hari, satu-satunya masalah untuk pemain Free To Play (F2P) adalah mereka mungkin mengalami masalah mendapatkan Hero baru, yang memerlukan kita untuk membuka pack.
Ben Lee: Dari segi cara ekonomi berfungsi, kami berusaha memaksimumkannya agar pemain dapat meningkatkan abiliti ke level 3 dengan cepat. Saya tidak ingat butirannya, tetapi kekuatan boleh berlipat ganda atau lebih. Kemudian, ada Rank ke-4 dan ke-5, di mana kita membuat peningkatan yang kecil. Kami mahu kuasa ini diakses oleh lebih banyak orang. Kemudian, jika anda benar-benar melaburkan diri dalam mod ini, anda dapat mengakses upgrade minimum untuk pemain tegar dan end-game. Kami berusaha untuk berlaku adil kepada semua orang.
Mendapatkan hero sebenarnya bukan halangan. Anda tidak memerlukan hero baru melainkan jika anda mahu, dan boleh menyelesaikan keseluruhan kempen dengan enam watak asas. Kami mahu pemain meneroka pelbagai pilihan, menaikkan level Mercenary lain, bermain PVE/PVP, atau power leveling. Anda juga mendapat banyak pek percuma dari bermain Mercenaries, dan emas dari Rewards Track, atau mencipta Hero dari ganjaran dari Task, dan sebagainya. Kami benar-benar berusaha menjadikan Mercenaries supaya F2P selagi boleh.

Adakah anda dijamin sekurangnya satu Mercenary dari pek?
Ben Lee: Ada beberapa spesifik untuk itu. Dalam rarity tertentu, anda akan mendapat Rare Mercenary. Ia berfungsi sedikit berbeza untuk Epic atau Legendary, tetapi masih ada peraturan “non-duplicate”. Saya tidak ingat maklumatnya, tetapi memang ada banyak. Kami akan teruskan melancarkan Rare Mercenary , dan seiring dengan kandungannya, anda akan dapat memperoleh sebahagian besar hanya dengan bermain.
Masalah dengan power level adalah Legendary Mercenary tidak semestinya yang terbaik. Kami cuba menjadikannya menarik, berbeza, dan menyeronokkan jadi terdapat banyak pilihan untuk dibuka. Mendapatkan Mercenary adalah sesuatu yang sangat mudah. Anda dapat menggunakan ganjaran dari menyelesaikan misi untuk mencipta seorang wira lalu mendapatkan duit untuk watak yang belum anda miliki. Anda boleh mendapatkannya dari “Tasks”.
Ini formula yang rumit. Sekali lagi, kami berusaha untuk menjadikan semuanya seadil mungkin.
Ekstra: Terdapat blogpost mengenai drop rate bagi yang boleh anda baca di sini.
Kemajuan

Adakah semua upgrade yang anda dapat dari PVE boleh digunakan di PVP? Jika begitu, kita umumnya perlu meningkatan tahap untuk abiliti Mercenary sebelum bermain PVP.
Joseph Killion: Ya, semua kemajuan yang anda buat pada Mercenary akan dibawa ke PVE/PVE. Kami cuba membuat perlawanan setaraf dengan Power Level pemain, tetapi perkara sama; anda mendapat ganjaran dari PVP untuk digunakan di PVE. Terdapat ganjaran setiap hari untuk anda, dan anda boleh mendapatkan EXP, Coin dan lain-lain di PVP.
Kami mempunyai algoritma yang luas, sambil melihat pelbagai faktor seperti:
- Tahap Mercenary
- Tahap skil, dan peralatan
- Sejauh mana sinergi pasukan
Kami cuba membuat permainan yang menyeronokkan untuk anda. Kami juga mempunyai sistem; jika tidak dapat menjumpa perlawanan untuk anda, kami akan membuat anda menentang PVP AI. Ini mewujudkan pengalaman hebat di pemain sentiasa dapat mencari lawan untuk bertarung.
Ben Lee: Hadiah bermusim berbeza dengan Hearthstone tradisional. Anda memperolehnya apabila mencapai braket rating/promosi, ala-ala sistem serupa dengan Battlegrounds. Anda bermain dan memperoleh mata Rating bergantung pada betapa sukarnya pertarungan itu, dan akan mendapat ganjaran serta-merta apabila mencapai tahap penentu di Rating. Di Mercenaries, anda benar-benar mahukan ganjaran serta merta untuk upgrade watak. Kemudian, anda boleh terus naik rank dan mendapat ganjaran. Memandangkan setiap musim terdiri daripada beberapa bulan, kami mahu pemain cuba PVP untuk melihat jika mereka menikmatinya.
Joseph Killion: Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam PVP berbanding PVE ialah anda tidak dapat melihat abiliti yang akan digunakan oleh lawan anda. Di PVP, semuanya tentang permainan minda, dan untuk menghalang mereka dari menggunakan kombo. Pada masa yang sama, anda akan berlawan sejenis Mercenary di PVE, jadi kita dapat mempelajari abiliti watak tersebut semasa bermain.

Bagaimana perubahan ganjaran apabila kita naik tahap Heroic?
Ben Lee: Terdapat beberapa nombor yang kompleks, tetapi secara amnya anda mendapat lebih banyak ganjaran ketika mencuba Heroic supaya setimpal dengan masa yang dihabiskan. Kami tidak mahu membuatnya seperti “ada cara yang betul untuk bermain”.
Berapa banyak masa diperlukan untuk menaikkan level Mercenary dari 1 ke 30?
Ates Bayraktaroglu: Sangat sukar untuk beritahu berapa banyak masa yang diperlukan. Terdapat cukup banyak kandungan di Mercenaries, dan jika anda bermain secara linear melalui Bounties, anda hampir sampai ke bahagian akhir untuk melihat satu mencapai 30.
Joseph Killion: Ya, sudah tentu bukan selama berbulan-bulan untuk mencapai level 30. Kami mahu pemain menaikkan Power Level, dan bermain dengan Mercenary dan peralatan tahap maksimum. Kami menyeimbangkannya untuk menjadi pengalaman yang bermanfaat bagi keseluruhan kemajuan, tetapi masih membolehkan pemain untuk bersenang-senang supaya tidak terlalu tergesa-gesa.
Ben Lee: Sekiranya anda ingin melihat semua kandungan dalam minggu pertama, boleh. Jika anda ingin mengambil masa berbulan-bulan dengan kempen, itu pun tidak mengapa. Tidak ada tekanan untuk menyelesaikannya serta kerana tiada hadiah yang terhad atau seumpamanya. Anda boleh berinteraksi dengan Mercenaries mengikut kehendak sendiri, dan kami rasa itu betul-betul sihat. Kami hanya berharap pemain berseronok melakukannya.

Ekstra: Kami juga mempunyai akses ke akaun dengan semua Mercenary, skil dan peralatan pada tahap maksimum. Ini bertujuan untuk membayangkan sekitar 20 jam playtest. Ben Lee mengakui ia sukar untuk playtest, dan mengatakan; “banyak perkara memerlukan waktu berjam-jam untuk difahami. Anda tidak boleh mencampak seseorang ke tahap tinggi dengan segera dan bertanya jika ini terasa betul.”
Berapa banyak Merc Coin yang diperlukan untuk mencipta Hero?
Ben Lee: Ini berbeza dengan hero bergantung pada rarity: Rare> Epic> Legendary, dari segi kenaikan kos. Crafting akan ada sebagai pilihan terakhir. Kami hanya ingin memastikan ada jalan untuk mendapatkan hero. Cara terbaik untuk mendapatkan Mercenary adalah untuk bermain, membuka pek, menggunakan ganjaran dari Rewards Track untuk membelinya dan sebagainya. Anda benar-benar harus menggunakan Coin untuk meningkatkan abiliti dan sebagainya. Sangat menarik untuk melihat bagaimana pemain akan memaksimumkan ini, jadi kami menantikan panduan dan video Youtube anda.
Mengenai kandungan, jika sesiapa ingin fokus pada PVE, adakah mereka mempunyai cukup kandungan untuk bahagian itu atau perlu beralih ke PVP?
Ben Lee: Anda boleh terus bermain PVE, banyak hadiah yang boleh anda perolehi. PVP adalah jalan lain untuk pemain mencuba jika mereka mahu, ini tidak wajib. Ganjarannya lebih kurang sama jika anda bermain PVE selama 3 jam atau PVE selama 2 jam/PVP selama 1 jam. Kami mahu pemain bermain dengan apa yang mereka gemari, rasa selesa dan memberi ganjaran kepada mereka kerana melakukannya. Saya tidak pasti sama ada semasa pelancaran kita mempunyai kemampuan untuk mencabar rakan, tetapi ini adalah sesuatu yang sedang kita usahanya.
Masyarakat, masa depan dan hal-hal lain
Adakah anda membayangkan Mercenaries untuk menjadi esport tahap tinggi seperti permainan utama, Hearthstone?
Ben Lee: Saya sangat percaya pada asas esports. Sekiranya masyarakat kita berpendapat bahawa Mercenaries adalah cara yang luar biasa untuk bermain secara kompetitif, maka kita boleh mempertimbangkannya. Kami tidak mempunyai matlamat untuk itu, kami hanya ingin membuat sesuatu yang menyeronokkan dan menarik bagi pemain kami. Fokus kami adalah pada PVE, dengan kempen single-player yang cukup panjang, bos yang hebat, teka-teki dan pertarungan yang berbeza.
Ketika Hearthstone berkembang dari CCG (collectible card game) kepada beberapa platform, adakah ada rancangan untuk dikeluarkan pada platform lain selain PC/Mobile? Adakah anda masih akan memanggilnya permainan kad?
Ben Lee: Dari segi Hearthstone “menjadi platform”, kami tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan pada platform lain buat masa ini. Anda tidak tahu apakah yang akan jadi pada masa depan, tetapi itulah yang kami selesa, dan di situlah kebanyakan pemain kami berada.
Kita boleh memanggil Hearthstone sebagai koleksi permainan kad, permainan strategi. Ramai orang bimbang tentang identitinya atau tidak, tetapi hakikatnya adalah bahawa kita hanya ingin berseronok. Main apa yang anda mahukan, berseronok. Memang mudah untuk keliru tentang definisi.
Selain Diablo, adakah kami akan melihat watak lain dari Blizzard seperti Overwatch?
Ben Lee: Tidak, saya rasa? Siapa tahu apa akan jadi di masa depan. Saya dapat melihat watak-watak dari permainan fantasi lain, kemungkinan watak Diablo. Diablo pada dasarnya adalah iblis, dan dia sesuai dengan tema. Walaupun anda tidak kenal siapa Diablo, dia masih boleh menjadi iblis dari Warcraft dan itu pun okay. Lebih sukar untuk meletakkan Jim Raynor, atau Tracer, kerana mereka tidak sesuai.

Adakah anda mempunyai idea kasar tentang beberapa kerap untuk mengemaskini mod ini?
Ben Lee: Dari segi masa, mungkin setiap bulan. Kami cenderung melakukan kemas kini besar sebulan sekali di Hearthstone, dan semasa setiap penambahan/expansion utama, kami ingin memperkenalkan Mercenary baru, level baru – semuanya percuma. Tidak ada kos untuk kandungan dalam Mercenaries, jadi kami ingin memperkenalkan zon bos baru, mungkin 6 bos baru, untuk pemain terlibat dengan teka-teki, dan sebagainya. Kami mahu pemain melaluinya dan berseronok, dan kami akan mengembangkan cerita di Mercenaries juga. Mengenai Mercenary, saya tidak mahu mengesahkan apa-apa, tetapi akan ada segelintir dengan Rarity yang berbeza dan visi yang menarik agar permainan dapat memberi kandungan baru.
Mailbox adalah tempat kami akan menghantar berita kepada pemain. Kami telah melakukannya di Hearthstone melalui pop-up. Kami mencuba untuk melihat jika mod lain harus mempunyai sistem mini mereka sendiri untuk notifikasi.
Maka tamatlah sesi soal jawab ini dan itu sahaja bagi temu ramah kami tentang mod terbaru Hearthstone Mercenaries! Saya harap anda semua pun menikmati mod ini dan pastikan diri menghantar maklum balas kepada Blizzard supaya mereka sentiasa boleh membuat kerja pembaikan yang diperlukan! Untuk segala liputan kami tentang Hearthstone, sila tekan pautan ini.
Hearthstone Mercenaries akan dilancarkan di PC dan peranti mobile bermula hari ini!
@gamersantaimy
Discussion about this post