KONAMI dan Unity hari ini melancarkan Survival Kids, sebuah game co-op adventure yang berwarna-warni dan mesra keluarga, eksklusif untuk Nintendo Switch 2 (yang masih belum dijual secara rasmi di Malaysia).
Bermula 6 Jun 2025, para pemain dijemput untuk bekerjasama dalam mod multiplayer secara tempatan atau online multiplayer, meneroka dunia menarik, mengatasi cabaran secara kolaboratif, dan membongkar rahsia di pelbagai lokasi unik.
Survival Kids direka sebagai pengalaman bersama yang menyeronokkan, dengan memanfaatkan sepenuhnya ciri sosial terbaru yang ditawarkan oleh Nintendo Switch 2.
Pemain boleh bermain dalam mod split-screen, menyambungkan sehingga dua konsol tambahan melalui GameShare, atau berbual dengan pemain lain di seluruh dunia menggunakan GameChat.

Game ini sangat menekankan kepentingan kerjasama dan komunikasi, dan menawarkan mod co-op yang fleksibel—sama ada untuk sesi singkat atau pengembaraan yang lebih panjang. Melalui GameShare, hanya satu salinan game diperlukan untuk menjemput dua lagi pemain menggunakan konsol Nintendo Switch atau Switch 2.
GameChat pula menambah dimensi sosial dengan sokongan mikrofon, dan bagi yang menggunakan Nintendo Switch 2 Camera, terdapat ciri video langsung yang dipaparkan dalam UI pemain untuk pengalaman yang lebih imersif.

Survival Kids membawa pendekatan baru kepada genre permainan survival. Ia mengetepikan penalti yang berat dan sistem kompleks, dan lebih menumpukan kepada rasa seronok dan penemuan.
Pemain akan menghadapi pelbagai halangan dalam persekitaran, cabaran fizik masa nyata, dan detik penyelesaian masalah secara berkumpulan—seperti mengangkat balak, memasak makanan untuk tingkatkan tenaga, atau sekadar bersantai sambil memancing di tepi pantai.
Tiada meter kelaparan atau pengurusan inventori yang rumit, membolehkan pemain baru menikmati game tanpa tekanan.

Sama ada anda ingin bergelak ketawa bersama keluarga atau rakan-rakan, Survival Kids memberi peluang untuk mengeratkan hubungan melalui kerjasama dan pengalaman yang unik setiap kali dimainkan.
Kini boleh didapati di Nintendo Switch 2—sedia untuk membawa anda dan orang tersayang ke dalam sebuah pengembaraan yang penuh kenangan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
Discussion about this post