Selepas bertahun-tahun tiada khabar berita, nampaknya filem live action untuk Keluang Man masih lagi bernafas. Bukan setakat itu sahaja, produksi terkenal bersama-sama studio animasi akan bergabung tenaga untuk merealisasikannya. Mari kami ceritakan dengan lebih lanjut.

Filem Keluang Man memang sudah lama diminta oleh peminat tempatan lebih-lebih lagi apabila filem superhero di luar negara semakin megah. Nampaknya permintaan tersebut akan direalisasikan oleh Astro Shaw bersama-sama Iconic Animation Studio untuk menghasilkan filem Keluang Man. Tetapi ia bukanlah filem animasi tetapi filem live action sama seperti filem-filem superhero di luar negara.
Keluang Man mungkin satu identiti yang kurang dikenali sekarang, tetapi itulah hero waktu kecil untuk kanak-kanak 90-an. Hero tersebut merupakan hasil ciptaan oleh Kamaruddin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail. Dia jugalah yang menghasilkan Usop Santorian yang menjadi hiburan pada waktu dulu.
Kostumnya ala-ala Batman tetapi ada banyak perkara yang unik tentang Keluang Man ini. Kalau anda ingin tahu, watak utama kita, Borhan sebenarnya pesakit mental. Tetapi pada waktu malam dia akan keluar untuk menjadi Keluang Man dan membantu insan-insan yang dalam kesusahan. Sudah tentu dia tidak berseorangan kerana Tiongman sentiasa bersamanya dalam menyelesaikan misteri serta mengalahkan kejahatan dengan bantuan polis Malaysia.

Selepas pengumuman mengenai filem ini, ramai peminat terus bangkit untuk mulakan perbincangan tentang pelakon yang akan memegang watak Borhan. Bukan setakat itu, peminat juga berharap agar produksi filem ini tidaklah mengecewakan. Mana tidaknya, hero kesukaan waktu kecil ini memberikan hiburan hebat dulu.
Apapun, harap-harap kita dapatlah melihat kostum Keluang Man tidak lama lagi. Rasa tidak sabar pula untuk melihat barisan pelakon. Apa pula perasaan anda selepas mendengar pengumuman filem ini? Boleh kongsikan di ruang komen. Untuk mendapatkan liputan lain mengenai filem daripada kami, sila klik pautan ini.
Sumber: Rojak Daily
@gamersantaimy
Discussion about this post